Punca Pergolakan di Syria
Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu penindasan
rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain dan
kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis “RAKYAT
MAHU JATUHKAN KERAJAAN”. Remaja-remaja itu ditangkap, diseksa, dicabut kuku,
tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal dunia.
Apabila ibu bapa kanak kanak itu datang untuk membebaskan anak-anak mereka
dari penjara, ketua polis penjara mengatakan kepada mereka:
“Kamu balik sahajalah, lupakan anak anak-anak itu dan anggaplah mereka
telah tiada…, jika kamu hendak anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu
(agar kami rogol), hasil daripada itulah anak-anak kamu.”
Dari situlah bermulanya demonstrasi yang semakin hari bertambah momentumnya
dari hanya ratusan ribu hingga pada hari ini 3 juta demonstran telah mengadakan
tunjuk perasaan di 157 bandar seluruh Syria mendesak Basyar berundur.
Syeikh Khalid turut menjelaskan tentang pendirian Dr Sa’id Ramadhan al-Buti
dalam politik Syria. Menurutnya, Dr Sa’id adalah antara lima orang ulama yang
menyokong rejim berbanding 95% ulama yang menentang. Beliau menyifatkan Dr
Sa’id sebagai ulama yang ‘berilmu’ tetapi kurang tajam dalam perspektif
politik.
“Tidak hairanlah para pemuda di sana membakar buku-buku karangan beliau.
Ramai lagi ulama lain yang menulis buku sirah yang amilin. Jadikanlah
ulama-ulama amilin sebagai rujukan,” katanya.
Akhirnya, beliau menyeru umat Islam membantu rakyat Syria, menyeru peranan
mufakkir, duat, asatizah untuk mengetengahkan dan sentiasa prihatin tentang isu
di Syria, menceritakan kepada masyarakat tentang kezaliman dan apa yang berlaku
di Syria.
Beliau turut menyarankan kepada para wanita yang solehah, untuk
menceritakan kekejaman yang berlaku kepada saudara perempuan mereka di Syria
dan berdoa untuk mereka.
“Hendaklah kamu berdoa untuk saudara-saudara kamu di Syria dengan ikhlas,
siang dan malam supaya Allah membantu mereka dan membebaskan mereka daripada
kezaliman pemerintah mereka.”
Perkongsian Antarabangsa Syria
Syeikh Dr Khalid Hassan Al-Hindawi, pembantu khas Dr Yusuf al-Qardhawi,
telah diamanahkan Ketua Ikatan Ulama Islam Antarabangsa itu untuk memberitahu
berita dan hal sebenar yang berlaku di Syria.
Beliau yang baru sahaja melawat Indonesia diminta oleh Dr Yusuf al-Qardhawi
untuk ke Malaysia. Seperti mana revolusi yang sedang berlaku di Yaman dan
Syria, beliau juga mengharapkan agar di Malaysia juga berlaku perubahan yang
lebih baik khususnya dalam kalangan umat Islam.
Di Indonesia, Syeikh Khalid telah menerangkan berkenaan isu Syria di
beberapa tempat, dan kemuncaknya, beliau bertemu dengan Presiden Indonesia,
Susilo Bambang Yudhoyono ditemani sahabat dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS).
Setelah menerangkan kisah sebenar, akhirnya Presiden Susilo telah bersetuju
untuk menyokong revolusi rakyat Syria.
Menurut beliau, revolusi bermula di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar
lain seperti di Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat
di Syria menentang pemerintahan kejam Basyar Al-Assad.
Tambahnya, golongan zalim tidak berhenti mengaburkan kebenaran, tapi mereka
gagal, seperti kata Ali r.a. “Pemerintah yang batil (zalim) itu hanya sementara
tetapi pemerintah yang benar kekal selamanya.”
Kata-kata Ali r.a. bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala di
dalam surah al-Israk ayat 81:
“Dan katakanlah: ”Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah
perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya
satu perkara yang tetap lenyap.”
Dr Khalid melihat kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang
sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh
pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya. Mereka mencuri harta-harta rakyat
dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh
para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan
wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta
menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.
Dan mereka ini tidak akan kekal seperti dalam surah ar-Ra’d ayat 17:
“Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala
benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi.
Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.”
Beliau menceritakan latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada
penjajahan Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria
sendiri sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan
diikuti oleh anaknya, Basyar Al-Assad yang kini memerintah selama 11 tahun.
Syria telah menjadi negara yang diperintah oleh diktator. Syeikh Khalid
menceritakan tentang konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku
selama 27 hari, mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan
penganut Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Komposisi rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah Alawiyah, 10% beragama
Kristian dan 84% Muslim ASWJ. Iran mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez
dan Basyar yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan
yang menyokong tindakan Hafez yang merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya
menyebut sifat-sifat Syiah yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa
Ar-Rasyidin dan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan
Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di
Syria.
“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membela darah pemuda,
pemudi dan huffaz. Kita kena sokong revolusi di Syria, kena tunjukkan
keberanian kita menentang rejim zalim ini.
“Mereka membenci ASWJ, dan Hizbullah di Lubnan juga menyokong mereka. Jadi
kita perlu menyokong saudara kita di Syria. Sekiranya Hizbullah berani
menyokong Basyar ini, kenapa kita tidak berani menyokong golongan yang
mempelopori revolusi ini?” tegasnya.
Fakta kekejaman rejim Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang
menunjukkan kematian 8,500 orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera,
sementara 19 doktor serta 40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan
180,000 tahanan dalam penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam
tahanan.
Dalam tempoh lapan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam, rakyat
menghadapi senjata berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid
dirobohkankan, wanita dibawa ke tempat yang tidak diketahui, malah ada wanita
yang diperkosa di hadapan suami mereka sambil diikat.
Menurut Syeikh Khalid lagi, seorang remaja perempuan di Homs, bernama
Zainab Al-Husni, 23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau melawan.
Akhirnya beliau dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya. Ratusan
kanak-kanak turut dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.
Beliau menegaskan, ”Apakah kita perlu berdiam diri? Bagaimana kita harus
bersabar di atas taghut yang kejam ini!“
Rejim Basyar juga telah memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar berdemonstrasi
menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan memberitahu dunia bahawa rakyat
masih menyokong mereka. Kakitangan yang tidak menyokong kerajaan akan hilang
pekerjaan mereka.
Katanya, pejuang yang terlibat dalam revolusi akan bersiap, berwuduk dan
mandi dengan wangian kerana mereka bersedia untuk mati syahid. Beliau
menganggarkan 95% rakyat Syria menentang rejim itu walaupun mereka
ditakut-takutkan dan diugut sekiranya turun menyertai revolusi.
Jelasnya, ada maklumat yang silap difahami oleh bukan negara Arab yang
menyangka kononnya rejim Basyar sedang menyerang Israel sedangkan mereka tidak
pernah menyentuh Israel, tetapi mereka membunuh rakyat mereka sendiri. Malah
kapal terbang Israel boleh berada di atas istana Presiden tanpa diambil
sebarang tindakan.
“Selama 43 tahun Bukit Golan diduduki oleh Israel tetapi regim Hafez
Al-Assad dan ayahnya tidak pernah membunuh walau seorang pun Yahudi, tetapi
mereka telah membunuh ribuan penduduk Hama yang terletak hanya enam kilometer
dari Bukit Golan.”
“Maka di mana buktinya bahawa rejim yang kejam ini menunjukkan permusuhan
ke atas Israel?” tanya beliau.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa terdapat perjanjian rahsia antara Syria
dan Israel. Basyar merupakan al-Assad (singa) kepada rakyat mereka tetapi
penakut dengan Israel.
Kekejaman rejim Basyar terserlah sehingga jika ada tentera rejim yang tidak
mahu menembak ASWJ, mereka akan dipenjarakan dan dibunuh. Keadaan ini
menyebabkan lebih 30,000 tentera Syria berpaling tadah meninggalkan rejim.
Beliau seterusnya menyatakan fatwa Rabitah Ulama Syria oleh Dr Ali
As-Sobuni bahawa sekiranya tentera menyerang rumah penduduk, mereka hendaklah
melawan walau dengan sebilah pisau, dan mereka dihukumkan syahid sekiranya
terbunuh berdalilkan hadis berikut:
“Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa
terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan
agamanya, maka dia syahid ”(HR Abu Daud, An-Nasaie dan Tirmizi, disahihkan oleh
Al-Albani dan Ahmad dengan sanad yang Sahih).
Campurtangan Liga Arab
Sebanyak 18 negara Liga Arab telah bersetuju untuk mengenakan sekatan
politik dan ekonomi ke atas Syria sehingga rejim Syria menghentikan kekejaman
ke atas rakyatnya. Begitu juga, negara-negara Persidangan Negara-negara Islam
(OIC) turut memulau Syria.
Liga Arab bersetuju untuk membuka hubungan dengan penentang Presiden Bashar
al-Assad di Syria serta menawarkan segala bantuan politik dan kewangan kepada
mereka.
Blok Arab itu juga bersetuju untuk meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) menubuhkan pasukan pengaman bersama PBB-Arab untuk dihantar ke Syria,
bagi menggantikan misi pemerhati Arab yang dibubarkan.
"Diplomat Liga Arab akan membuka saluran komunikasi dengan penentang
rejim di Syria dan menawarkan sokongan penuh politik dan kewangan, di samping
menggesa penentang rejim supaya menyatukan barisan," menurut satu
kenyataan Liga Arab.
Mereka (diplomat) juga akan 'meminta Majlis Keselamatan PBB membuat
keputusan mengenai penubuhan sebuah pasukan tentera pengaman PBB-Arab untuk
menyelia pelaksanaan gencatan senjata', tambah kenyataan itu.
Pada satu mesyuarat yang berlangsung sehingga larut malam di Kaherah
semalam, blok 22 negara anggota itu mengumumkan berakhirnya secara rasmi misi
pemantaunya ke Syria, yang digantung pada bulan lepas disebabkan keganasan yang
menjadi-jadi.
Hanya Algeria dan Lebanon melahirkan kesangsian berhubung resolusi
tersebut.
Duta Syria ke Kaherah, Yusef Ahmed mengutuk kedua-dua keputusan Liga Arab
itu.
"Republikan Arab Syria menolak sama sekali keputusan Liga Arab yang
mencerminkan histeria kerajaan-kerajaan terlibat selepas mereka gagal menarik
campur tangan asing pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB," kata Ahmed
dalam kenyataannya.
Burhan Ghalioun, pemimpin Majlis Kebangsaan Syria yang menjadi penaung bagi
semua penentang rejim Assad, memberitahu televisyen Al-Jazeera, beliau
menyambut baik keputusan Liga Arab itu dan menyifatkannya sebagai langkah
pertama 'ke arah kejatuhan rejim'.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 39 lagi penduduk awam dilaporkan terbunuh
semalam, ramai daripada mereka maut dalam serangan berterusan tentera rejim
Assad ke atas bandar raya Homs, tengah Syria. - AFP
No comments:
Post a Comment