Showing posts with label Global. Show all posts
Showing posts with label Global. Show all posts

Tuesday, March 25, 2014

Kronologi Kehilangan MH370






Berakhir Di Samudera

MISTERI kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 terjawab pada hari ke-16 operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara.

Selepas 17 hari kehilangan MH370, akhirnya malam tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa pesawat berkenaan berakhir di Lautan Hindi.

Berikut adalah pengumuman yang dibuat beliau di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan wajah dan suara sayu.

“PETANG tadi (semalam), saya diberikan penerangan oleh wakil daripada Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) yang memaklumkan bahawa INMARSAT iaitu syarikat di United Kingdom yang menyediakan data satelit termasuk di Koridor Selatan dan Utara sudah melakukan kiraan lanjut mengenai data berkenaan.

Menerusi pelbagai analisis yang belum digunakan dalam siasatan sebelum ini, pihak itu mendapat petunjuk mengenai laluan penerbangan MH370.

Berdasarkan analisis terbaru, INMARSAT dan AAIB membuat kesimpulan bahawa pesawat itu terbang melepasi Koridor Selatan dan itu adalah lokasi terakhir di tengah Lautan Hindi iaitu barat Perth, Australia.



Kronologi Kehilangan MH370

8 MAC

* Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada
12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang
sama.

* Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.

* Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi membabitkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

* Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).

9 MAC

* Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

* Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya
dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat
MH370.

10 MAC

* Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370.

* APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui
di perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak
bagi kapal kargo.

11 MAC

* Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29.

* Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas
dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.

12 MAC

* Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat.

* Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat.
Tiada bagasi yang tidak dimuatkan.

* Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki
pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.

13 MAC

* Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang
kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.

* China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.

14 MAC

* Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian.

* Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.

15 MAC

* Perdana Menteri tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.

* Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan
dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi
kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

* Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.

16 MAC

* Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubung kehilangan pesawat.

* Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.

* Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

17 MAC

* Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.

18 MAC

* Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usaha mencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.

19 MAC

* Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.

20 MAC

* Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Najib pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang.

* Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek
di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya
Perth.

* Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang
dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.

21 MAC

* Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan dengan MH370.

* Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang
keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu.

* Hishammuddin berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang
dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar belakang
penumpang berkenaan bersih.

22 MAC

* Transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA.

* Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran
22.5 meter x 13 meter.

* Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek
dalam pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya
Perth.

23 MAC

* Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat Australia.

* Hishammuddin berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia
memaklumkan mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370.

24 MAC

* Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370.

* Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370
dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

* MAS meluahkan rasa duka penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama

Keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih
 @Misteri MH370: Doakan yang terbaik buat mereka.  Hanya kotak hitam dapat beri jawapan. 

Friday, March 14, 2014

Akhirnya 4 Perogol Ganas Dihukum Mati


(Dari kiri) Mukesh, Vinay, Akshay dan Pawan
berdepan hukuman gantung.



New Delhi: Mahkamah di sini semalam mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan sebuah mahkamah rendah ke atas empat lelaki yang didapati bersalah merogol dan membunuh seorang wanita di dalam bas yang sedang bergerak pada 2012.

Sebuah mahkamah khas menjatuhkan hukuman itu pada September lalu dengan berkata jenayah seperti itu sangat jarang berlaku dan wajar menerima hukuman mati.

Mahkamah Tinggi Delhi mengenepikan rayuan yang difailkan tertuduh dan berkata ia bersetuju dengan hukuman yang dijatuhkan mahkamah rendah.

Dalam kes berkenaan, seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun pulang dari menonton wayang bersama rakannya sebelum diperdaya kumpulan lelaki itu untuk menaiki bas terbabit. Mereka kemudian memukul rakan mangsa sebelum merogol mangsa.

Mangsa juga disula dengan batang besi mengakibatkan kecederaan teruk hingga menyebabkan dia mati dua minggu kemudian.

Jenayah seksual yang kejam pada Disember 2012 itu menimbulkan kemarahan orang ramai hingga mencetuskan keganasan dan bantahan di seluruh negara. – Reuters

Ikuti berita berkaitan sini


Wednesday, March 12, 2014

MH370 masih gagal dikesan




KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran bagi mengesan kehilangan penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang memasuki hari kelima, setakat ini masih gagal menemui sebarang petunjuk berkaitan pesawat yang membawa 239 orang itu.
   
Misi SAR bagi mengesan pesawat Boeing B777-200ER yang hilang dari skrin radar ketika terbang merentasi Laut China Selatan itu, diperluas ke barat daya semenanjung sehingga perairan Selat Melaka.
   
Setakat ini, jumlah aset yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat meningkat kepada 42 kapal laut dan 35 pesawat dari Angkatan Tentera Malaysia serta angkatan tentera asing dari negara China, Amerika Syarikat, Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura, New Zealand dan Australia.
   
Malaysia menggerakkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725 dan dua helikopter Augusta selain sembilan kapal laut iaitu enam dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta tiga dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
   
Qatar turut menawarkan bantuan kepada Malaysia bagi mengesan pesawat itu yang hilang sejak awal pagi Sabtu.

Selain itu, Persatuan Nelayan Kuala Kedah menggunakan peralatan teknologi sonar yang terdapat dalam bot mereka bagi membantu mengesan pesawat milik MAS itu atau objek berkaitan dalam laut.
   
Lebih 30 bot nelayan yang beroperasi di zon C dan C2 Selat Melaka di Kedah dan Perlis diminta membantu mengesan pesawat itu, kata Timbalan Pengurus Besar persatuan itu Mohd Sam Mohd Zuki.
   
Beliau berkata selain Sistem Kedudukan Global (GPS), peralatan sonar yang mampu mengesan objek di dasar laut juga boleh mengesan haba atau tindak balas arus udara panas pesawat berkenaan.
   
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapa, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.
   
Pesawat itu dilapor hilang pada kira-kira 1.30 pagi ketika terbang merentasi Laut China Selatan di antara pantai timur Malaysia dan pantai bahagian selatan Vietnam.

Perkara ini turut disokong laporan polis beberapa penduduk di kawasan pantai timur yang mendakwa mereka ternampak cahaya daripada lampu besar dan sebuah pesawat terbang dianggar pada ketinggian 1,000 meter dari paras laut di Kota Baharu, Kelantan.
   
Hari ini lapan penduduk kampung di pesisir pantai Terengganu membuat laporan polis mendakwa mereka terdengar bunyi kuat pada Sabtu lepas dari arah Pulau Kapas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hekhilangan pesawat berkenaan.
   
Bagaimanapun pihak berkuasa operasi SAR gagal menjumpai sebarang petanda yang menunjukkan pesawat itu berada di perairan Laut China Selatan.
   
Indikasi bahawa penerbangan MH370 mungkin berpatah balik setakat ini menyebabkan operasi SAR diperluas ke Selat Melaka dan Laut Andaman.
   
MAS telahpun menolak kemungkinan bahawa isu teknikal adalah punca kehilangan misteri MH370 kerana pesawat berusia 11 itu diselenggara 10 hari sebelum insiden berkenaan.

Sementara itu, pihak berkuasa Vietnam berikrar akan terus berusaha mengesan pesawat terbabit dan memperluas lokasi pencarian.
   
Timbalan Komander Tentera Udara Vietnam Do Minh Tuan juga berkata Singapura akan menyertai pencarian dalam laut esok dari Ca Mau sehingga selatan Pulau Con Son.
   
"Kami tidak akan berhenti mencari sehingga menemui sesuatu kerana kami mempunyai tanggungjawab di peringkat antarabangsa," katanya.
   
China pula melahirkan rasa puas hati dengan usaha kerajaan Malaysia mencari pesawat yang membawa penumpang terbanyak dari negara itu setakat ini.
   
Duta China ke Malaysia Dr Huang Hukiang berkata meskipun terdapat kritikan daripada pihak berkuasa dan anggota keluarga mangsa di negara itu berhubung  kelewatan dalam kes ini, namun perkara itu sudah diperjelas kepada mereka. – Bernama