Showing posts with label Islam Itu Indah. Show all posts
Showing posts with label Islam Itu Indah. Show all posts

Friday, February 21, 2014

Meninggal Dalam Senyuman Ketika Menghadap Tuhan



Pasir Mas: Dalam kejadian jam 8.45 malam, Mahama Jehma, 56, dari Kampung Weng, Thailand berkunjung ke Rantau Panjang untuk membeli-belah dan bersolat Isyak berjemaah di masjid berkenaan sebelum pulang ke kampungnya.

Ketika rakaat pertama, guru pondok itu rebah dan kemudian disahkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

“Walaupun arwah penduduk negara jiran, namun dia selalu solat berjemaah di masjid ini. Saya terkejut arwah meninggal dunia ketika sedang solat di masjid ini.

JEMAAH Masjid Beijing melihat anggota polis 
mengangkat jenazah Mahama yang meninggal 
dunia ketika solat Isyak, malam kelmarin.

“Saya lihat wajah arwah kelihatan tersenyum,” kata Samsuddin Yasin, 52, antara saksi seorang guru pondok meninggal dunia ketika solat Isyak pada rakaat pertama di Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau lebih dikenali sebagai Masjid Beijing di Rantau Panjang, di sini, kelmarin.

Samsuddin yang juga Setiausaha Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan masjid itu berkata, kejadian berlaku ketika kira-kira 60 jemaah sedang solat Isyak pada rakaat pertama sebelum dia terdengar bunyi seperti benda jatuh.

@Innalillah. Hanya insan yang terpilih saja yang berpeluang merasai detik ini. Wallahu a’lam.

Maka Allah berfirman;

هَلۡ جَزَآءُ ٱلۡإِحۡسَـٰنِ إِلَّا ٱلۡإِحۡسَـٰنُ 
Ertinya: Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga? [Surah Ar-Rahman (60)]

Tuesday, February 11, 2014

Ibu Bapa Dibicarakan Kerana Pukul Anak


IbuBapa Mitsali 2014


Apakah berdosa seorang ibu atau bapa yang merotan, menyangkut bajukan atau mentalipinggangkan anak mereka yang degil, tak mengikut kata?.  

Apakah berdosa jika pukulan itu dengan niat untuk mendidik ke arah kebaikan? Asalkan tidak mendatangkan kecederaan parah atau cacat menjadi OKU seumur hidup?.

Maaf cakap, hakikatnya budak-budak kini lebih mendengar cakap dari kawan atau gurunya. Lebih parah lagi, pantang lepa saja asyik melayan tenet saja. Melainkan ibubapa itu hebat yang boleh dijadikan idola seperti superhero.  

Jika GAGAL! Maka akan habislah duit mak bapak berulang alik ke Balai Polis mengeluarkan sianak dari lokap. Lebih kejutan lagi bila dapat cucu segera yang entah siapa bapanya...

Sesungguhnya anak itu satu amanah. Apabila mati nanti, segala perbuatan baik buruk sianak, ibubapa akan dapat sahamnya juga. Ibubapa tidak lagi perlukan segala harta dunia. Hanya perlukan doa. Doa dari anak yang Soleh atau Solehah.

Ada Sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarna dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi ... (riwayat Bukhari dan Muslim).

Wallahu a’lam.

Usah pilih jalan ke Neraka..

Seperti Dilaporkan oleh Utusan...

Pertuduhan Di Luar Jangkaan

Pasangan warga Malaysia, Azizul Raheem Awalluddin dan isterinya, Shalwati Nor Shal hari ini didakwa di mahkamah daerah Solna, Stockholm, Sweden atas pertuduhan memukul keempat-empat anak mereka antara tahun 2010 hingga 2013.

Tuntutan pertuduhan yang disifatkan sebagai luar jangkaan itu diterima mahkamah dalam bentuk bertulis yang dikemukakan pendakwaraya, Anna Arnell.

Pertuduhan itu menyebut pasangan berkenaan didakwa memukul anak-anak mereka dengan penyangkut baju, kayu dan tali pinggang dalam beberapa kejadian.

Pasangan berkenaan dijangka dibicarakan selama 10 hari bermula 18 Februari ini atas kesalahan yang berulang-ulang antara 2010 sehingga tahun lalu.

Mahkamah menggunakan istilah melanggar integriti seseorang bagi menggambarkan pertuduhan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun. Baca lanjut di sini.

Tuesday, December 31, 2013

Sambutan Ambang 2014: Gandingan Ustaz Azhar-Shiro, Ustaz Haslin-Sepahtu





KUALA LUMPUR: Ustaz Azhar Idrus-Shiro dan Ustaz Haslin Bahrim-Sepahtu merupakan antara gandingan tokoh agama dan kumpulan pelawak popular yang bakal mewarnai program ambang tahun baru 2014 Negeri Selangor.

Dua gandingan terbabit akan ditampilkan dalam segmen Sembang Santai dalam Program Generasi Idaman Selangor (GEMS) Sempena Ambang Tahun Baru 2014 yang diadakan pada 31 Disember di Dataran Kemerdekaan Shah Alam nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali, berkata berbeza dari program sambutan tahun baru dikebanyakkan negeri, GEMS Sempena Ambang Tahun Baru 2014 itu turut memfokuskan Kempen Anti Zina bagi membendung gejala zina di kalangan generasi masa kini.


“Ini adalah satu program yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan di bawah GEMS di mana kita akan menganjurkan program alternatif dari kelaziman sambutan tahun baru yang sering diisikan dengan program yang melalaikan dan akhirnya remaja belia kita hari ini kerana keseronokkan yang melampau, mereka boleh terjebak dalam gejala sosial seperti berzina, mabuk dan sebagainya.

“Sembilan bulan selepas itu dah ada anak luar nikah, ada yang buang anak, jual anak dan sebagainya. Jadi kita lihat ini adalah satu program mendidik generasi muda iaitu boleh berseronok, bergembira tetapi dengan cara yang ada pengisian sekaligus mengelakkan mereka dari terjebak dengan dosa,” kata Dr Halimah.

Turut memeriahkan program itu nanti, penyanyi cilik dari Indonesia Tegar, pengacara David Teoh, pelawak Sathiya dan pelakon Diana Amir.

Program GEMS Sempena Tahun Baru 2014 dengan konsep yang menekankan pengisian bercorak pendidikan ini merupakan kali ketiga diadakan sejak 2011.

Program sebelum ini mendapat sambutan memberangsangkan sehingga mencecah hampir 100,000 hadirin dan manakala tayangan di laman sosial, youtube pula mencecah jumlah penonton melebihi satu juta pengunjung.

Sumber: Selangorku.com 




@Pepatah Arab ada mengatakan tentang pemilihan sahabat atau kawan.
...Jika kita berkawan dengan seorang tukang besi, lambat laun baju kita akan terbakar disambar percikan apinya dan jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, nescaya kita akan terpercik juga bau wangiannya.

Jom Kita Berubah! Untuk esok yang lebih baik pada hari ini..
Selamat tinggal pada dunia Maksiat! Jika tersasar jauh, maka kembalilah ke pangkal jalan.

Wallahu a’alam.

Sunday, December 29, 2013

Air Mata Peninju Mike Tyson Di Taman Raudhah




Cerita Tyson dibuli di zaman kanak-kanak.

“Angkat kotak tu!” jerkah sekumpulan remaja lelaki. Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun akur mengikut arahan. Setiap anak tangga dipijak dengan berat hati.
Tiba di atas bumbung bangunan kosong itu, baru dia sedar terdapat burung merpati di dalam kotak itu. Timbul rasa kagum terhadap haiwan berbulu putih dan terus menyukainya.

Tapi seorang daripada mereka mengambil merpati itu dan mematahkan lehernya sehingga ia terkulai mati. Bukan itu sahaja, dia juga menerima tumbukan bersama merpati itu pada mukanya.

Bagaikan harimau yang sedang tidur dikejutkan, kanak-kanak itu Mike Tyson atau nama sebenarnya Michael Gerard sudah tidak tahan dibuli anak jiran yang nakal itu, lalu memukul pembulinya berkali-kali.

Sejak itu, sikap Tyson yang pendiam dan pemalu, berubah menjadi berani dan liar untuk sesuaikan diri kehidupan sosial di Brooklyn, kawasan yang baru dia sekeluarga berpindah.


Peninju Berbakat

Kenakalan Mike Tyson ketika zaman kanak-kanaknya yang juga dipengaruhi faktor keluarga kurang stabil menyebabkan dia keluar masuk penjara juvana. Pelatih tinju terkenal, Cus D’Amato tertarik dengan bakat Mike Tyson untuk dilatih menjadi peninju profesional. Pada 6 Mac 1985, beliau bertanding secara profesional di Albany, New York dan menang pada setiap pusingan pertama bagi 16 perlawanan.

Tanggal 22 November 1986, Tyson berusia 20 tahun meraih gelaran juara kelas berat apabila dapat menjatuhkan pihak lawannya, Trevor Berbick. Ini menjadikan beliau sebagai juara dunia ‘heavyweight’ termuda di dunia.



Kerjaya Tyson terjejas apabila dibabitkan dengan kes jenayah seksual terhadap peserta Miss Black America 1991, Desiree Washington pada 10 Februari. Beliau dijatuhkan hukuman dipenjarakan selama tiga tahun.

Belajar Islam di penjara

Berita Tyson dimasukkan penjara di Indiana menjadi tumpuan umum. Tatkala itu terdetik di hati sukarelawan, Muhammed Sadiq berkata, ‘mungkin ALLAH dah rancang untuk Tyson belajar dengannya tentang Islam’.

Muhammed pernah memberi nasihat yang berbekas di hati Tyson: “Walaupun anda di dalam penjara, tetapi dunia di luar sana adalah penjara yang sebenar. Ia adalah mudah mengamalkan Islam di dalam penjara berbanding di dunia yang penuh dugaan dan godaan, mampu membelenggu kita yakni perlu mencari perlindungan melalui Islam.”

Bagi Mike Tyson, masuk penjara tidaklah seburuk disangka. Malah beliau dapat mengenali Islam, belajar al-Quran. berpuasa ketika Ramadan, mempelajari agama itu lebih mendalam serta mengamalkannya di sana.

Selepas keluar penjara pada 1995, Tyson mengumumkan keislamannya yang dipelajari selama di penjara dan nama barunya, Malik Abdul Aziz. Selepas menjadi Muslim, Tyson dilihat lebih lebih tenang, bersederhana dan menghormati.

Pada November 1996, beliau kembali beraksi di gelanggang tetapi dikalahkan Evander Holyfield. Insiden Tyson menggigit telinga Holyfield pada pertarungan Jun 1997 menyebabkan beliau didenda sebanyak RM9.9 juta. Kehidupan Tyson diuji lagi apabila mengalami bankrap dan kariernya semakin malap sehingga memaksanya untuk bersara pada 2005.

Pada 2 Julai 2010, menjadi detik bersejarah buat Mike Tyson apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah yang diatur CDA, dengan ditemani presidennya, Shazad Mohammad. Pada masa sama kehadiran beliau turut menjadi tarikan pengunjung di sana. Beliau berharap peminat membiarkannya bersendirian untuk menjalani ibadah dengan penuh penghayatan.


Doa setiap hari

Bertubuh gagah, berwajah serius dan tangkas di gelanggang, tetapi bila Tyson dengan hanya berpakaian ihram di berada di Taman Raudah, Masjid Nabawi Madinah, hatinya mula meruntun. Selepas 10 tahun memeluk Islam, barulah beliau menjadi tetamu ALLAH.

“Saya tidak dapat menahan air mata apabila mendapat tahu saya berada di dalam satu daripada taman syurga.

“Insya-ALLAH, ALLAH akan merahmati saya untuk berada di jalan yang benar,” katanya yang berada di Taman Raudhah beberapa jam untuk bersolat, mengaji al-Quran dan berzikir.

Beliau akui sangat takutkan ALLAH kerana banyak kesalahan dalam hidup dan mengenangkan neraka kerana dosanya. Oleh itu beliau berdoa memohon ampunan ALLAH setiap hari.

Menurut Shahzad, Tyson menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Rasullah SAW untuk mengucapkan salam sambil mengangkat tangan.

Di Tanah Suci, Tyson turut terpesona dengan kawanan merpati dan sempat memberi makan kepada haiwan kesukaannya itu. Ini mengimbas kenangan ketika usianya 10 tahun, sanggup mencuri wang untuk membeli merpati menjadi peliharaannya.

Mike Tyson mempunyai lapan anak melalui tiga perkahwinan. Anak perempuannya, Exodus, 4, meninggal dunia pada 2009. Kini Tyson menjalani kehidupan berkeluarga bersama isterinya, Lakiha Spicer, dan anak-anaknya di Las Vegas.

“Saya kini gembira bersama keluarga. Tidak perlu keluar ke mana-mana lagi. Setiap hari saya menunggu anak pulang dari sekolah,” katanya.

Dipetik dari:ceritasemasa.com