Wednesday, March 12, 2014

MH370 masih gagal dikesan




KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran bagi mengesan kehilangan penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang memasuki hari kelima, setakat ini masih gagal menemui sebarang petunjuk berkaitan pesawat yang membawa 239 orang itu.
   
Misi SAR bagi mengesan pesawat Boeing B777-200ER yang hilang dari skrin radar ketika terbang merentasi Laut China Selatan itu, diperluas ke barat daya semenanjung sehingga perairan Selat Melaka.
   
Setakat ini, jumlah aset yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat meningkat kepada 42 kapal laut dan 35 pesawat dari Angkatan Tentera Malaysia serta angkatan tentera asing dari negara China, Amerika Syarikat, Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura, New Zealand dan Australia.
   
Malaysia menggerakkan 15 pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725 dan dua helikopter Augusta selain sembilan kapal laut iaitu enam dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta tiga dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
   
Qatar turut menawarkan bantuan kepada Malaysia bagi mengesan pesawat itu yang hilang sejak awal pagi Sabtu.

Selain itu, Persatuan Nelayan Kuala Kedah menggunakan peralatan teknologi sonar yang terdapat dalam bot mereka bagi membantu mengesan pesawat milik MAS itu atau objek berkaitan dalam laut.
   
Lebih 30 bot nelayan yang beroperasi di zon C dan C2 Selat Melaka di Kedah dan Perlis diminta membantu mengesan pesawat itu, kata Timbalan Pengurus Besar persatuan itu Mohd Sam Mohd Zuki.
   
Beliau berkata selain Sistem Kedudukan Global (GPS), peralatan sonar yang mampu mengesan objek di dasar laut juga boleh mengesan haba atau tindak balas arus udara panas pesawat berkenaan.
   
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapa, hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.
   
Pesawat itu dilapor hilang pada kira-kira 1.30 pagi ketika terbang merentasi Laut China Selatan di antara pantai timur Malaysia dan pantai bahagian selatan Vietnam.

Perkara ini turut disokong laporan polis beberapa penduduk di kawasan pantai timur yang mendakwa mereka ternampak cahaya daripada lampu besar dan sebuah pesawat terbang dianggar pada ketinggian 1,000 meter dari paras laut di Kota Baharu, Kelantan.
   
Hari ini lapan penduduk kampung di pesisir pantai Terengganu membuat laporan polis mendakwa mereka terdengar bunyi kuat pada Sabtu lepas dari arah Pulau Kapas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hekhilangan pesawat berkenaan.
   
Bagaimanapun pihak berkuasa operasi SAR gagal menjumpai sebarang petanda yang menunjukkan pesawat itu berada di perairan Laut China Selatan.
   
Indikasi bahawa penerbangan MH370 mungkin berpatah balik setakat ini menyebabkan operasi SAR diperluas ke Selat Melaka dan Laut Andaman.
   
MAS telahpun menolak kemungkinan bahawa isu teknikal adalah punca kehilangan misteri MH370 kerana pesawat berusia 11 itu diselenggara 10 hari sebelum insiden berkenaan.

Sementara itu, pihak berkuasa Vietnam berikrar akan terus berusaha mengesan pesawat terbabit dan memperluas lokasi pencarian.
   
Timbalan Komander Tentera Udara Vietnam Do Minh Tuan juga berkata Singapura akan menyertai pencarian dalam laut esok dari Ca Mau sehingga selatan Pulau Con Son.
   
"Kami tidak akan berhenti mencari sehingga menemui sesuatu kerana kami mempunyai tanggungjawab di peringkat antarabangsa," katanya.
   
China pula melahirkan rasa puas hati dengan usaha kerajaan Malaysia mencari pesawat yang membawa penumpang terbanyak dari negara itu setakat ini.
   
Duta China ke Malaysia Dr Huang Hukiang berkata meskipun terdapat kritikan daripada pihak berkuasa dan anggota keluarga mangsa di negara itu berhubung  kelewatan dalam kes ini, namun perkara itu sudah diperjelas kepada mereka. – Bernama


No comments:

Post a Comment