Tuesday, September 10, 2013

Pak Da Dapat Pucuk Muda




ESOK pagi-pagi aku akan balik kampung yang jauhnya kira-kira dua ratus enam puluh kilometer. Dalam telefon dua hari lepas, ayah suruh sangat-sangat aku balik.

Aku tak tahu kenapa. Rindu sangatkah ayah kepada aku? Atau ada hal lain maka ayah suruh aku balik?

Memang pun sudah lama aku tidak balik ke kampung. Aku kira-kira sudah hampir empat belas bulan tak balik kampung tengok ayah. Ada-ada saja halangan bila aku hendak balik kampung.

Sesekali nak pulang ke kampung yang jauh dari hiruk-pikuk kota metropolitan Kuala Lumpur ini terasa menyeronokkan juga. Suasana antara kampung dan kota memang sangat jauh bezanya, apatah lagi macam kampung aku yang belum seratus peratus dikunjungi pembangunan.

Sejak aku belum masuk sekolah rendah lagi hinggalah aku bekerja dan merantau ke Kuala Lumpur, kampung aku belum ada masjid baru untuk menggantikan masjid lama yang semakin hari semakin uzur keadaannya. Dewan orang ramai pun tidak ada di kampung aku. Kalau ada perjumpaan antara orang-orang kampung untuk membincangkan satu-satu perkara yang dikira penting maka mereka akan adakan di masjid atau pun di rumah Imam Darus yang dilantik kerajaan sebagai Ketua Kampung di kampung kami.

Walau pun kampung aku tidaklah semaju kampung-kampung ditempat lain dan tidak pula semundur kampung-kampung yang lain, tapi bagi aku ia tetap kampung yang istimewa dan unik. Ada tujuh puluh enam keluarga menghuni kampung aku dengan jumlah penduduk lebih kurang enam ratus orang campur lelaki dan perempuan.

Aku percaya jumlah itu akan bertambah dari masa ke semasa.

Sejak dulu hingga sekarang kami hidup aman damai. Tak ada sengketa dan perbalahan. Tak ada masam-masam muka. Apa-apa masalah yang timbul akan dibincang dan diselesaikan secara musawarah. Kami amalkan hidup bagai satu keluarga yang sentiasa bantu membantu dan bergotong-royong, terutama bila satu-satu keluarga itu akan mengadakan majlis, tak kiralah majlis berkhatan atau kenduri tahlil untuk arwah atau pun kenduri kahwin.

Majlis kenduri kahwin adalah satu-satunya majlis yang cukup meriah di kampung aku. Macam pesta. Semua orang kampung, tak kira lelaki perempuan, tak kira duda atau janda, tak kira kanak-kanak atau dewasa, pakat datang bergotong-royong ke rumah pengantin sehari sebelum majlis kenduri sebenar berlangsung. Riuh rendahlah rumah pengantin hari itu. Riuhnya mengalahkan suara penjual ikan di pasar borong. Sambil tangan rancak membuat kerja, mulut pot pit pot pit macam burung murai tercabut ekor. Tak kurang juga ada yang merapu bukan-bukan. Bukanlah semua begitu. Semuanya berlangsung dalam suasana mesra dan meriah.

Dalam kumpulan lelaki yang selalu jadi gamat bila ada Pak Ngah Ca dan Husin Bulat. Kalau ada sama Som ketika usik mengusik itu lagi gamatlah suasananya. Som memang rajin buat kerja dan rajin juga merayap dekat kumpulan lelaki.

Dia pantang diusik. Dia akan jawab ikut sedap mulut dia saja. Dia tak peduli perkataan yang dikeluarkan itu berbau lucah atau tidak. Dia tak peduli orang suka atau tidak dengan jawapannya itu. Dia peduli apa orang nak kata kepada dia. Jawab mesti jawab. Pantang tok nenek dia kalau tak jawab. Orang kampung semua dah tahu fiil Som memang begitu.

"Tanah aku masih subur, " begitu balas Som bila dia diusik oleh Husin Bulat dalam satu majlis kenduri kahwin di rumah Hamid Panjang. Aku masih ingat benar peristiwa itu. Husin Bulat memang suka usik Som yang kematian suami sejak lima tahun lalu. Kini Som janda anak satu.


Penceroboh

"Masih boleh berkebun nampaknya," sampuk Pak Ngah Ca selamba.

"Kalau nak berkebun kena beli tanahnya dulu. Tanah ini ada geran, ada tuan. Bukan boleh nak berkebun ikut suka. Penceroboh tanah orang boleh ditembak, " balas Som serius. Dia jeling Pak Ngah Ca untuk melihat reaksi lelaki berusia enam puluh tiga tahun itu.

Pak Ngah Ca dan Husin Bulat terkulat-kulat mendengar tempelakan Som. Mereka hanya mampu tersengih macam kerang busuk. Mereka kenal benar siapa Som. Som akan lawan siapa yang usik dia. Som tidak peduli laki orang atau anak muda yang mula gatal-gatal nak kahwin. Som pantang diusik lelaki.

Selain peristiwa itu, aku masih ingat sungguh-sungguh satu peristiwa lain ketika majlis kenduri di rumah Pak Leman kerana mengahwinkan anak perempuan sulungnya. Ketika itu usiaku baru lapan tahun. Aku dan Mat Kulup yang seusia dengan aku merayau-rayau dekat khemah tempat orang memasak sementara menunggu waktu makan. Ketika itu aku nampak ramai juga berada di kawasan itu, termasuklah Pak Ngah Ca dan Husin Bulat.

"Pak Da tak nampak sejak semalam. Mana dia pergi? " tiba-tiba aku dengar suara garau Dali bertanya entah ditujukan kepada siapa. Tangannya mengacau-ngacau gulai dalca yang baru mula hendak mendidih.

"Pak Da kurang sihat, " beritahu Haji Suod cepat. "Aku jumpa anaknya di kedai petang semalam. Dia bagitau aku dah dua hari Pak Da demam, " tambah Haji Suod tenang. Haji Suod siak di surau kami. Badannya tegap. Dia pesara askar.

"Hai, selama ni Pak Da tak pernah demam pun. Bila dapat isteri muda demam pula," sampuk Husin Bulat sambil tersengih. Matanya menjeling ke arah Pak Ngah Ca.

"Demam terkejut, " celah pula Pak Ngah Ca. Berderai ketawa mereka yang ada bila dengar kata-kata Pak Ngah Ca itu. Aku dan Mat Kulup pandang memandang. Mengapa mereka ketawa dengar jawapan Pak Ngah Ca? Lucu sangatkah jawapan yang Pak Ngah Ca berikan itu? Hati aku tertanya-tanya.

Aku tambah seronok nak dengar cerita selanjutnya.

"Pak Ngah Ca pun akan demam kalau dapat yang muda umur dua puluhan macam isteri Pak Da tu, " usik Husin Bulat di hujung ketawanya. Lagi kuat ketawa mereka. Pak Ngah Ca tersipu-sipu bila diusik Husin Bulat begitu.

"Pak Da demam bukan sebab terkejut, tapi kerana terlalu kuat bekerja hingga tak ada rehat. Umur macam Pak Da yang sudah mencecah enam puluh tahun itu perlu banyak rehat, " Zali yang sejak tadi diam membisu memberi komen bersahaja. Dia pasti komen itu akan mendapat reaksi.

Aku dan Mat Kulup hanya dengar saja dengan mata terkebil-kebil perbualan mereka. Aku pun heran mengapa Pak Da demam pun menjadi topik perbualan yang kadang-kadang begitu melucukan bagi orang-orang kampung aku. Demam Pak Da tak samakah dengan demam orang-orang lain yang ada dalam kampungku?

Terlintas juga pertanyaan itu dalam kepalaku dan ingin aku tanyakan kepada Husin Bulat, tapi siapa aku yang berani menyampuk perbualan orang-orang tua. Budak-budak yang sebaya dengan aku tak boleh campur dengan orang tua-tua dan sekali gus tentu juga tak boleh mencelah-celah perbualan orang tua-tua. Tak manis dan kurang sopan kalau budak-budak sebaya usia aku menyampuk perbualan orang tua. Mak selalu ingatkan aku begitu sebab itu aku tak berani langsung untuk mengeluarkan satu patah perkataan pun bila orang tua-tua sedang berbual.

"Macam mana tak kerja kuat kalau tanahnya besar dan subur. Bukan nak tengok saja tiap-tiap hari. Kalau tak bercucuk tanam mana ada hasilnya nanti, " Husin Bulat berkata bersungguh-sungguh meriuhkan kembali suasana. Bab kahwin memang topik menarik bagi Husin Bulat. Dua tiga jam pun dia boleh bercakap pasal kahwin ni. Di kampung aku hanya Husin Bulat pernah kahwin dua, tapi tak lama. Isteri keduanya diceraikan setelah enam bulan berkahwin. Sebab apa mereka berpisah aku pun tak tahu.

Pak Ngah Ca tersenyum. "Kau mana tau tanahnya besar dan subur. Kau dah tengok ke? " tanya Pak Ngah Ca dalam senyum sambil membetul-betulkan ketayap putih yang dibelinya di pasar malam dua bulan lalu.

Husin Bulat tidak menjawab. Dia mengeluarkan sebatang rokok dari saku seluar dan menghisapnya. Dalam kepulan asap rokok Husin Bulat yang berlegar-legar di udara itu aku semacam nampak isteri muda Pak Da tersenyum di samping suaminya. Memang pun aku kenal isteri muda Pak Da itu sebab rumah mak ayahnya selang enam buah rumah saja dengan rumah aku. Nama isteri muda Pak Da pun aku tahu. Namanya Siti Manja. Memang manja pun orangnya. Dia berkulit hitam manis dan tubuhnya penuh berisi. Cuma jalannya sedikit agak tempang kerana tapak kaki kirinya cacat sejak lahir.


Jodoh

Memang kalau dilihat pada mata kasar Pak Da sungguh tidak sepadan digandingkan dengan Siti Manja, terutama jarak usia yang begitu jauh bezanya antara kedua mereka. Siti Manja baru masuk usia dua puluh tujuh tahun sedangkan Pak Da dah cecah enam puluh tahun dua bulan

lagi. Apa pun itulah namanya jodoh. Siapa sangka Pak Da yang kematian isteri akibat kemalangan jalan raya setahun lalu bertemu jodoh dengan Siti Manja anak sulung Paksu Deris. Khabarnya ada tiga empat orang anak muda di kampung aku gigit jari bila Pak Da diijab-kabul dengan Siti Manja.

Aku tidaklah berapa arif sangat kenapa setiap orang yang hidup atas dunia ini mesti kahwin bila sudah dewasa. Di sekolah cikgu belum ajar bab kahwin. Di rumah pun mak dan ayah tak pernah bercakap soal kahwin dengan aku. Yang lebih aku tak faham kenapa yang sudah kahwin dan ada isteri seperti Husin Bulat kahwin lagi satu. Tak cukupkah satu isteri? Entahlah kalau-kalau Mat Kulup tahu jawapannya dalam hal ini, tapi aku percaya Mat Kulup pun tak tahu apa-apa seperti aku juga.

Bila aku masuk darjah empat aku mula tahu sedikit-sedikit dan lama-lama aku tahu banyak perkara tentang hidup ini. Aku pun tersenyum sendiri bila ingatkan kembali peristiwa-peristiwa semasa zaman kanak-kanak di kampung dulu, terutama bila ingat perbualan Pak Ngah Ca,, Husin Bulat, Zali, Haji Suod dan Dali itu. Aku tersenyum bila ingat kata-kata Pak Ngah Ca yang kata Pak Da demam kerana terkejut. Barulah aku faham maksud kata-kata Pak Ngah Ca itu. Yang benar-benar aku tak dapat lupa bila Husin Bulat kata tanahnya besar dan subur. Ketika itu haram aku tak tahu langsung apa maksud tanahnya besar dan subur. Tanah siapa yang besar dan subur itu pun aku tak tahu siapa punya. Bila dah dewasa barulah aku tahu maksud kata-kata Husin Bulat itu. Orang tua dulu-dulu memang bijak berkias-kias bila bercakap. Itu tandanya bahasa Melayu kaya dengan perbendaharaan kata.

Ingat kembali zaman kanak-kanak memang banyak yang indah dan menyeronokkan. Rasa-rasa ingin hidup semula di zaman tersebut, tapi mana mungkin dapat berbuat demikian lagi. Kata orang zaman kanak-kanak hanya datang sekali dalam hidup kita. Kita hanya mampu mengingati zaman kanak-kanak kita tapi tak berupaya lagi untuk kita kembali berada dalam zaman yang serba indah dan menyeronokkan itu.

Yang pasti, usia kita dari hari ke hari terus meningkat menuju ke garisan penamat. Dan dalam mengenang-ngenang usia yang lepas, akhirnya aku terlelap di atas sofa diperhatikan oleh TV.

Malam itu aku bermimpi bertemu Milah anak Haji Suod. Milah menangis minta aku bawa lari dia ke sempadan dan kahwin di sana. Dia tak mahu dikahwinkan dengan orang tua, tapi Milah tak cakap siapa orang tua itu. Aku pun tak tahu kenapa Milah pilih aku sedangkan dalam kampungku ramai lagi anak muda yang lebih macho dan hebat dari aku.

Budin anak Lebai Salleh apa kurangnya. Begitu juga dengan Dol, Kassim, Hamid, Ayob, Atan dan Kadir. Semuanya macho dan kacak orangnya.

Belum sempat aku nak bersuara, tiba-tiba datang Haji Suod menyuruh Milah pulang. Dan aku pun terjaga dari mimpi. Belum pernah aku mimpi bertemu Milah sebelum ini.

Milah bukan gadis impianku, sebab itu aku tak pernah mimpikan Milah. Tapi malam ini Milah menjelma dalam mimpiku.

Aku bagai tak sabar untuk pulang ke kampung. Pagi-pagi esok aku mesti pulang. Tentu ada berita penting yang hendak ayah beritahu kepada aku bila dia sungguh-sungguh suruh aku balik.

"Ayah nak buat kenduri doa selamat sikit malam esok, " beritahu ayah bila aku tanya sebaik saja sampai di kampong.

Aku rasa kecewa. Tak berbaloi aku balik kampung semata-mata untuk hadir kenduri doa selamat. Ayah boleh buat majlis itu tanpa kehadiranku. Tak ada cacat celanya kalau aku tak ikut sama dalam majlis itu.

Aku diam saja.

"Selain itu, majlis malam esok adalah untuk menyambut dan memperkenalkan isteri kedua ayah kepada kaum keluarga kita," terang ayah tenang.

Aku terkejut besar. Aku pandang wajah ayah sungguh-sungguh.

"Ayah kahwin lagi? Dengan siapa? " aku tanya dengan nada suara yang agak tinggi.

"Isteri kedua ayah Milah anak Haji Suod, "

Sekali lagi aku terkejut. Mulut aku macam dikunci. Aku diam macam orang bisu sambil memandang lantai rumah.

Artikel dari laman sastera utusan


No comments:

Post a Comment