Assalamualaikum
Dato’ Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH, Julai nanti
genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun, sebelum saya
layak mengundi. Tetapi saya yakin, dalam ruang demokrasi, tidak pula
mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya
ini dibaca Dato’ Seri.
Dato’
Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu.
Keinginan saya ini, menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja
belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di
bahagian Sukan semata).
Saya
juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. ‘Singgah’
di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media
arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi
kegilaan kebanyakan remaja seusia saya kini.
Tidaklah
pula saya katakan, yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma
mahu tegaskan, saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan
kerjanya sehari-hari, makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah
remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta
ini.
Izinkan
saya Dato’ Seri, untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang
remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya.
Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH, kelak,
kamilah yang akan membuang undi!
Dato’
Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang
mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah
persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam.
“Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu
sabda Nabi SAW.
DASAR
Saya,
yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini, percaya bahawa, setiap tindakan kita
adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi
sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada
yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme
dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar
pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama
kepada setiap tindakan Dato’ Seri?
Apakah
Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?
Maaf
Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’
Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan
selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.
Saya
amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri.
Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon
penjelasan Dato’ Seri.
Saban
hari, saya dan rakan-rakan, menerima berita dari segenap pelusuk negara, samada
dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’
nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’
maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’
akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga
tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan
anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis
kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan!
HILANG Dato’ Seri, HILANG!
Saya
begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda,
untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri,
melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya
masa depan negara tercinta ini!?
PELAN TRANSFORMASI EKONOMI
Program
Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri, turut menggariskan
perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU
INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan
menarik pelancong juga, kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan
kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis
panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa
seperti Formula 1 dan MotoGP.
Kerajaan
Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala
Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota
Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8
bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung
kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul.
Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.
Maka,
menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan.
Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7
bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi
mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan
hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat
hiburan malam.
Dato’
Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis
luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana, seorang penyanyi gay
membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda, dengan kebenaran
daripada kerajaan Dato’ Seri.
Izinkan
saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca
timbangan waktu Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun
Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan
sebagai neraca timbangan?
Yang
Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar, bahawa perancangan
Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah
pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar, yang
akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda,
hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.
Iya,
Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para bijak
pandai masa depan. Dengan Dato’ Seri melambakkan pada mereka, hiburan dan
keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan, bakal dihidang dengan acara memuas
nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, hilang
upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau
apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai
kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?
IFF dan AURAT
Dato’
Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan,
“Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang
mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa
seperti terdengar SA Umar beritah demikian, kerana ia begitu meresap masuk di
hati ini.
Dato’
Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya, waktu melihat Dato’ Seri dan
isteri, melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya
tak dapat mengawal hati, untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar
pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam),
yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya
dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah ini pemahaman
Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?
Saya
dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri
‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri
tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri
tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri
berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan
silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai
perbuatan isteri Dato’ Seri ini?
JUDI
Bukan
sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen
kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia
pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak, apakah harapan Dato’ Seri dengan
pemberian lesen-lesen judi ini?
Apakah
ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira
dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa
hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?
Apakah
Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini?
Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi
kepada keluarga mereka, daripada wang yang mereka perolehi hasil judi? Apakah
budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?
Apakah
keputusan-keputusan ini, ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri
menggunakan neraca lain sebagai ganti?
KEMISKINAN dan HARGA NAIK
Dato’
Seri, orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali, jika tidak jadi Perdana
Menteri Malaysia pun, Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi
kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga, kaya raya.
Maka,
tidak kiralah, jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau Rm 10
sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu
berjerih payah.
Tahukah
Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang
menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan
pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah
sebagai penilainya, adalah pengurusan yang menghancur!
Dato’
Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’
Seri, untuk menyekolahkan anak pun, sudah membuatkan mereka terpaksa membanting
tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading
(yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu). Kadang-kadang, apabila
anak-anak yang bersekolah, meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si
ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah yuran
persekolah masih dihutang. Bukan sedikit keringat yang dicurah, demi sesuap
rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.
Kerajaan
Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai
kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat, yang terseksa dan
merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau
keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata
rakyat yang menanggungnya.
Rakyat
benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah
dipenuhi. Janji itu dan ini, sekadar untuk meraih undi. Waktu berkuasa, kami
rakyat sudah dilupai. Tinggal kami, bermatian berusaha keras sendiri.
SUARA RAKYAT
Waktu
rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi, untuk meluahkan rasa yang terbuku di
hati, dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa,
Dato’ Seri menghantar pada kami, ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah
dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban,
umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air
kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan
peritnya.
Dan
menteri-menteri Dato’ Seri, tanpa rasa bersalah, menggelarkan kami sebagai
perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang
cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu, memahami
pedihnya hati ini.
Semuanya
adalah kerana, kami rakyat, cuba untuk berkongsi rasa dengan pimpinan negara.
Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan,
ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil
untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada
pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan
berkongsi, betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.
Pernahkah
Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya
Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat
yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?
Dato’
Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan
rakyat.Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami
rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media
dibawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk
memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga
menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara, adalah
bercanggah pada sisi agama.
Dato’
Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan
anjuran Dato’ Seri, pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun
Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi
datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi
tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada
setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat
membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi sebab
untuk anak-anak muda ditangkap khalwat?
Dan
pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur
Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat
yang bersuara, sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?
REFORMASI
Saya
dan juga rakan-rakan, adalah remaja muda yang punya sikap. Punya pendirian.
Kami berazam, untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad,
seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.
Kaedah
merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal,
UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan.
Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.
Jika
sampai masanya, untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih,
percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang
layak menerima undi kami nanti.
Tidak
cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh
tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti. Agar
pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang
meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan mendapat
tempat tertinggi di negara ini.
Dato’
Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana
inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu
bersaudara?
Dato’
Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga
tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan
permohonan maaf, kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja
muda, mungkin ada silap dan salah pada gerak langkahnya. Saya juga berterima
kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil
perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti
saya.
Namun
Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini, ataupun tindakan-tindakan remaja muda
seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian, hingga mungkin
Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri,
INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!
Sekian,
terima kasih.
Yang
benar,
Muhammad
Muizzuddin Bin Zaini
http://penpatah.blogspot.com/2012/09/surat-terbuka-seorang-remaja-untuk-najib.html
No comments:
Post a Comment