Terima kasih kepada teman blog ku kerana
mengizinkan aku menyiarkan satu coretan kisah benar dari pengunjung blognya.
Semoga kisah beliau boleh kita jadikan sempadan dan tauladan dalam mengharungi
hidup.
Coretan bermula....
Salam buat Saudara AHP dan semua.
Ribuan maaf dari saya buat saudara AHP kerana
lewat untuk kongsikan kisah Bagaimana saya menjadi seorang PEMBAWA HIV POSITIF.
Pertama sekali aku kongsikan kisah aku bukan
untuk menagih simpati atau berbangga diri. Bukan juga untuk mengaibkan diri dan
keluarga serta membuka ruang untuk dicemuh oleh orang lain.
Tapi aku hanya ingin berkongsi kisah suka dan
duka menjadi PEMBAWA HIV POSITIF sebagai pedoman dan hidayah buat orang lain
supaya tidak menjadi seperti aku.
Sebelum aku bercerita lebih lanjut, elok aku
memperkenalkan diri aku. Nama aku Afiq. Berumur 26 tahun dan berasal dari
negeri Utara Semenanjung. Keluarga aku tidak pernah mengabaikan pegangan dan
didikan agama untukku. Dari kecil aku diasuh menjadi seorang Islam yang
sempurna. Dosa dan pahala semuanya diceritakan kepada aku.
Mungkin ini dugaan kerana aku terlalu alpa dan
lalai dihanyutkan nikmat duniawi. Mungkin juga ini titik permulaan bagi aku
untuk sujud kepada yang MAHA ESA.
Kisah bermula apabila aku melanjutkan pelajaran
ke negeri Selatan Semenanjung. Sebelum ini aku tidak pernah berjauhan dengan
keluarga. Inilah kali pertama aku berasa bebas daripada keluarga. Perasaan
seumpama burung baru lepas dari sangkar. Aku bebas untuk melakukan apa saja.
Aku bebas keluar pada bila-bila masa.
Di Kolej ini, baruku kenal erti dunia. Dunia
yang penuh pancaroba. Dunia yang hipokrit. Dunia yang terlalu asing buatku. Aku
mula didekati kaum-kaum nyah, lelaki-lelaki gay dan terutamanya perempuan.
Atas prinsip datang untuk menuntut ilmu, aku
berjaya menghindarkan diri daripada perbuatan terlarang. Aku menganggap mereka
sebagai kawan-kawan yang sama-sama menuntut ilmu. Aku tidak pernah menyalahkan
diri mereka menjadi begitu. Aku terima mereka seadanya. Bagiku, aku tidak kisah
untuk berkawan dengan sesiapa saja.
Kisah bermula pada satu cuti semester. Selalunya
cuti semester aku tidak balik ke kampung disebabkan kekangan kewangan. Malam
itu aku tidur awal kerana keletihan. Kemudian aku terjaga kerana terasa ada
seseorang melakukan sesuatu padaku. Rupa-rupanya aku telah diliwat oleh
seniorku. Aku terkejut dan marah bahkan sehingga bertumbuk dengan beliau.
Aku tidak pernah menjangka dia juga beminat
terhadap kaum sejenis. Bagiku dia seorang lelaki macho, berbadan tegap dan
sudah mempunyai awek. Malam itu bermacam-macam perasaan timbul. Takut, sedih,
marah dan semuanya ada.
Aku sangkakan selepas kejadian tersebut, dia
tidak berani melakukan lagi perbuatan terkutuk itu. Harapkan panas hingga ke
petang, rupanya hujan di tengahari. Aku diliwatnya sekali lagi. Pada masa itu
aku mula rasa satu perasaan yang tidak pernah aku alami. Satu perasaan yang
membuatkan aku terangsang dan aku merelakan sahaja dia melakukannya.
Setelah beberapa bulan diliwat, aku mula terasa
gian untuk mengulangi perbuatan terkutuk tersebut. Aku mula menyukai kaum
sejenisku. Tetapi perasaan aku terhadap perempuan tetap wujud, tidak pernah
hilang.
Bermula daripada senior aku itu juga, aku mula
belajar pergi ke club-club gay. Dari Selatan tanah air sampailah ke club-club
di Kuala Lumpur, semuanya aku telah masuk. Di club gay, aku tidak sangka
terlalu ramai lelaki yang meminati kaum sejenis. Kalau dilihat dari mata kasar
kita memang tidak menjangka mereka begitu. Terlalu ramai dan tidak boleh
dipercayai melalui mata kasar.
Setelah beberapa tahun mengunjungi club, aku
mula menjinakkan diri pula dengan najis-najis dadah seperti pil-pil estacy,
syabu, ganja dan sebagainya. Semua telah aku rasa dan cuba. Aku mula ketagih
untuk mengambil najis-najis dadah tersebut. Habis beribu-ribu duit simpanan
aku. Aku mula alpa dengan kemewahan dunia. Inilah akibatnya apabila aku
mempunyai sifat ingin mencuba sesuatu yang baru yang merosakkan masa depan aku.
Dua tahun kemudian, aku rasa diriku telah jauh
terpesong. Aku mula menyesal dan berazam untuk berhenti daripada
perkara-perkara tersebut. Aku mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia baru
aku itu dan pulang ke negeri asalku. Aku sangkakan aku dapat berhenti daripada
melakukan perkara-perkara tersebut. Rupa-rupanya makin banyak dugaan yang
datang...
Aku kembali mengambil najis-najis dadah, malahan
aku mula belajar minum arak. Club-club masih ku jejaki. Aku terlanjur dengan perempuan
dan juga lelaki. Aku menjadi seorang bisexsual. Kedua-duanya aku sapu.
Untuk melepaskan nafsu aku mula berjinak-jinak
dan mencari kenalan di dalam chat MIRC. Dari laman chat MIRC, aku mula
berkenalan dan berjumpa dengan sesiapa saja yang menarik minat aku. Bila
nafsuku songsang aku mula mencari lelaki tapi bila nafsuku normal aku mula
mencari perempuan. Bagi aku, dunia adalah untuk berhibur dan tidak pernah
memikiran AKHIRAT.
Tahun 2007, sekali lagi aku menyesali dan
tersedar dengan perbuatan burukku. Kali ini aku nekad untuk berhenti daripada
semua perbuatan tersebut. Keterlanjuranku sudah terlalu jauh tersasar. Aku mula
meninggalkannya sedikit demi sedikit. Najis-najis dadah dan arak aku cuba
hindari.
Tetapi bukan mudah untuk meninggalkannya. Terlalu
banyak dugaan sehingga aku jatuh sakit disebabkan terlalu gian. Berkat
pertolongan sahabat baikku, aku berjaya menghindarinya. 5 tahun berlalu,
akhirnya aku ‘clean’ daripada perkara-perkara tersebut.
Awal Mac 2011, aku telah dicabar oleh rakanku untuk
menderma darah. Buat pengetahuan semua, aku allergic sikit dengan doctor, ubat,
darah, hospital dan klinik. Apa-apa saja berkaitan hospital semua aku tidak
suka. Sakit pun aku tidak pernah pergi hospital. Rehat di rumah, kemudian
semuanya akan baik.
Akhirnya buat pertama kali, aku telah menderma
darah. Niatku hanya satu, untuk membantu orang lain yang memerlukan darah.
Awal April 2011, aku menerima sepucuk surat dari
pihak Hospital meminta supaya datang segera ke hospital untuk temujanji dengan
PAKAR PATOLOGI. Perasaanku mula berasa tidak tenteram. Aku mula bertanya
rakan-rakan dan search internet mencari apa itu PAKAR PATOLOGI. Akhirkan aku
mendapat tahu pakar patologi adalah pakar dalam mengenal pasti virus-virus di
dalam darah.
Aku mengambil keputusan pergi ke hospital.
Sekali lagi darah aku diambil dan diuji. Doktor bertanya padaku tentang seksualitiku.
Aku mula tertanya-tanya kenapa doktor bertanya soalan sensitif begitu kepadaku.
Akhirnya doctor dengan tenang memberitahu yang
aku merupakan PEMBAWA HIV POSITIF. Dengar saja perkataan itu, luluh, hancur dan
pedih hatiku. Perasaanku bercampur aduk antara sedih, menyesal, pilu dan blur…
semuanya ada sehingga aku tidak sedar aku menangis di hadapan doctor.
Aku tidak menjangka aku akan menjadi seorang
PEMBAWA HIV POSITIF. Bagaimana kehidupan aku? Bagaimana keluarga aku? Adakah
saat kematian aku sudah datang? Bermacam-macam andaian aku buat. Aku tidak
tenteram.
Aku mula menyalahkan diri aku. Aku menyesal apa
yang aku telah buat dan lakukan. Aku mula hilang semangat dan berasa ingin lari
dari dunia ini. Rasa dunia ini semakin gelap. Adakah orang akan menerima aku?
Adakah ini balasan untuk aku? Arghhhhhhh... otak aku buntu memikirkannya.
Aku mula search internet mencari maklumat
berkaitan HIV. Akhirnya aku terjumpa blog saudara AHP. Aku mula membaca
maklumat dari mula hingga akhir. Aku mula mendapat kekuatan, keyakinan dan
semangat untuk terus berjuang di dalam kehidupan. Aku tidak boleh mengaku
kalah. Masih banyak benda yang aku belum lakukan dan belum sempat aku membalas
jasa keluargaku.
Sekarang, kes aku telah dirujuk ke HOSPITAL
SUNGAI BULOH. Setiap bulan aku akan berada di sana untuk check status dan tahap
kesihatanku sebagai PEMBAWA HIV POSITIF. Bacaan cd4 pertama aku adalah 515 sel.
Aku harap bacaan cd4 aku tidak turun dengan cepat.
Sekarang, aku telah meninggalkan semua
perkara-perkara terkutuk dan terlarang itu. Sembahyang tidak pernah aku
tinggalkan. Dulu aku tidak pernah sembahyang. Mungkin ini ingatan ALLAH supaya
aku berubah dan bertawakal kepada-Nya.
Ya Allah, kalau ini dugaanMu aku terima dengan
hati yang tenang dan tabah. Sekarang aku tidak akan sesekali melakukan
perbuatan laranganMu. Aku mesti mendekatkan diri kepadaMu.
Terima kasih buat sahabat karibku yang banyak
membantu dan menerima aku seadanya. Aku bertuah kerana sahabat karibku dapat
menerima aku dan menjaga makan minum dan kesihatan aku. Mereka merupakan orang
kuatku untuk aku teruskan kehidupan ini. Semoga ALLAH tempatkan mereka bersama
golongan orang-orang beriman.
Sekarang, aku menerima dugaan ini dengan hati
yang tabah dan tenang. Aku mula mendapat semangat baru untuk meneruskan
kehidupan ini dan aku berharap orang-orang di luar sana tidak terjerumus dan
tidak menjadi seorang PEMBAWA HIV POSITIF. Semuanya bermula dari anda.
Buat Saudara AHP. Terima kasih tidak terhingga
kerana membuat blog ini untuk berkongsi maklumat dengan semua. Sebahagian
semangatku datang daripada blog ini.
Setiap hari aku akan membaca Blog Saudara AHP.
Semoga Saudara AHP sihat sentiasa dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan.
Aku akan sentiasa menyokong Saudara AHP.
Wassalam
Daripada,
AkuMENYESAL
12.00 am
5.5.2011
http://kisahtaubat.blogspot.com/2011/05/terima-kasih-kepada-teman-blog-ku.html
No comments:
Post a Comment