Kalau melihat gadis cantik berjalan, pasti kita
tak terlepas pandang untuk menoleh sedikit, terutama kaum lelaki, untuk melihat
keindahan ciptaan Tuhan. Itu perkara biasa.
Jika disoal maksud cantik, sukar untuk
didefinisikan kerana ia subjektif dan boleh dinilai daripada banyak faktor
seperti perwatakan atau mungkin faktor X yang terdapat dalam diri individu
terbabit. Oleh itu, ia membolehkan masyarakat melihat kecantikan menerusi
pandangan yang berbeza.
Cantik yang ingin dibincangkan di sini lebih
kepada kecantikan fizikal yang boleh dilihat melalui pandangan mata. Berwajah
menarik persis selebriti atau mempunyai darah kacukan pasti membuatkan
seseorang wanita itu menjadi perhatian ramai. Tak kisahlah sama ada di sekolah,
kuliah, bahkan tempat kerja sekali pun akan ada mata yang memerhati.
Tapi tahukah anda, individu yang tergolong dalam
kategori cantik mempunyai tekanan tersendiri dalam kehidupan seharian apatah
lagi sekiranya kecantikan itu dimanipulasi oleh orang sekeliling. Orang sering
berkata, ‘senang hidup kalau jadi wanita cantik’ namun hakikatnya banyak yang
perlu diharungi mereka.
Terperangkap
Mengimbas semula seawal zaman persekolahan
hinggalah ke alam pekerjaan, gadis dengan rupa paras menarik sering menjadi
tumpuan ramai. Contoh yang paling jelas apabila golongan ini akan dipilih untuk
menjadi penyambut tetamu ketika aktiviti sekolah, pembawa sepanduk ketika hari
sukan dan sebagainya.
Situasi ini diakui beberapa gadis yang sudi
berkongsi pengalaman dengan penulis. Mereka berpendapat, bukan setakat itu saja
cabarannya malah ia terpaksa ditempuhi hingga ke alam pekerjaan. Menjadi
pengiring orang kenamaan dan VIP pada majlis anjuran syarikat adalah perkara
biasa. Lebih tertekan apabila individu yang sama akan diberi peranan terbabit
setiap kali berlangsungnya aktiviti atau acara syarikat.
Harapkan muka
saja cantik
Rata-rata masyarakat menganggap perempuan lawa
atau perempuan yang perasan lawa akan mempunyai sifat dalaman kurang menarik
kerana apabila mendapat gelaran cantik tentulah egonya tinggi. Dengan rupa
paras lebih menarik berbanding gadis kebanyakan, sifat ego ini membawa kepada
kesombongan dan kebodohan sekali gus mereka dianggap bongkak hingga menutupi
kecantikan fizikal.
Begitupun, ia hanyalah tanggapan. Jika
diperhatikan, ramai juga gadis cantik berjaya dalam hidup malah ia dianggap
pakej kerana kelebihan intelektual digandingkan dengan rupa paras yang manis
menjadikan mereka dipandang tinggi. Sebagai contoh, pemain tenis antarabangsa
Maria Sharapova berjaya mengubah pandangan masyarakat dengan kegemilangan
dikecapinya. Bukan hanya pandai memegang raket tenis tetapi dia juga bergaya
apabila menjadi model produk terkemuka dunia.
Selain itu, golongan ini juga dipandang sinis
terutama dari segi perhubungan. Ada yang menganggap, jejaka yang mempunyai
teman wanita cantik hanya menjadikan mereka sebagai barang perhiasan untuk
ditayang kepada rakan. Bangga mempunyai ‘awek’ cantik tapi ‘isi dalam’ kosong.
Itu antara sebahagian tanggapan negatif diberikan kepada wanita cantik selain
daripada pujian menggunung yang sudah lali didengari mereka setiap hari.
Maria Sharapova |
Penyebab lelaki
tertekan
Isu mengenai wanita cantik menjadi perhatian
dunia bahkan ada kajian dilakukan mengenainya. Satu kaji selidik dilakukan di
Sepanyol mendapati lelaki berdampingan dengan wanita cantik yang tidak dikenali
menjadi satu cabaran kepada mereka.
Para penyelidik mendapati jika si jejaka itu
berkongsi ruang dengan wanita cantik walaupun hanya lima minit ia boleh
menyebabkannya rasa tertekan. Tekanan ini bertambah jika lelaki merasakan
mereka tidak berada dalam liga yang sama (setaraf) dengan wanita terbabit.
Hasil kajian turut menjelaskan, jumlah adrenalin
yang dilepaskan oleh lelaki semasa berbual dengan wanita cantik sama tingginya
dengan seseorang yang akan melakukan terjunan payung terjun. Bayangkan debaran
yang perlu ditanggung dalam keadaan begitu.
Stres ini bertambah parah jika lelaki ini hidup
bersama si cantik. Antara kesannya kepada kesihatan ialah myopathy, adult-onset
diabetes, tekanan darah tinggi dan lemah tenaga batin.
Banyak belanja
Tanggapan banyak belanja atau ‘high maintenance’
ini boleh dikatakan sinonim kerana ia kenyataan biasa yang dikeluarkan oleh
masyarakat kita. Gadis cantik akan cenderung untuk lebih bergaya, ikut
perkembangan terkini dengan baju berciri moden, beg tangan berjenama dan mahal.
Secara tidak langsung ia akan mencipta persepsi bahawa golongan ini
mengutamakan barangan mahal kerana dilihat sepadan dengan rupa paras mereka.
Hakikatnya, ramai wanita jelita yang hidup
sederhana. Mungkin apa yang dipakai nampak berjenama kerana aura kecantikan
mereka mengaburi pandangan sekali gus menjadikan ia tampak mahal.
Menjadi wanita perlu kelihatan sempurna, tak
kisah anda dalam kategori jelita atau hitam manis. Dari penjagaan kuku hingga
ke hujung rambut perlu diutamakan. Namun perkara ini lebih mudah tertumpu
kepada wanita jelita hingga menyebabkan mereka dilihat ‘high maintenance’.
Walau apa juga tanggapan diberikan, gadis jelita
tetap mempunyai tarikannya. Kelebihan dan aura yang ada mungkin membuatkan anda
dicemburui ramai tetapi beruntunglah jika anda dikategorikan sebagai wanita cantik
kerana ia umpama anugerah tambahan diberikan Pencipta. -Hmetro.
Oleh Shuhada Mansor
No comments:
Post a Comment