Saturday, September 14, 2013

Jawapan Dari Isteri Yang ‘Disayangi’




Setelah dijadikan ‘punching bag’ dari laki yang sayang bini, hanya insan yang sakit mental saja dapat menerima hakikat itu. Wanita harus dilindungi, bukan disakiti. Jika sudah bosan, hantar saja cara baik. Tentu ada hati yang tak terluka.   

'Saya Tidak Akan Kembali Kepadanya'

BUKIT MERTAJAM 13 Sept. - "Itu ayat dia nak minta simpati. Saya tekad tidak akan kembali ke pangkuannya," kata wanita yang dibelasah suaminya di dalam lif sebuah hospital di Bandar Perda di sini, bulan lalu.

Mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang berkata, perbuatan lelaki itu terhadapnya sebelum ini cukup menyedihkan.

"Saya sudah tidak ada lagi perasaan sayang kepadanya, begitu juga dengan anak-anak yang tidak lagi bertanya mengenai ayah mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wanita itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Muhammad Affandi Ismail, 36, semalam bahawa dia masih menyayangi isterinya dan mahu keluarganya hidup bahagia.

Pegawai veterinar itu kini berdepan tuduhan membelasah isterinya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 36 tahun dalam lif di Hospital KPJ, Bandar Perda di sini pada pukul 4 petang, 12 Ogos lalu.

Pada 12 Ogos lalu, pengguna internet di negara ini digemparkan dengan rakaman video sepanjang 2 minit 20 saat yang memaparkan kejadian seorang isteri dibelasah oleh suaminya di hadapan dua anak mereka yang masing-masing berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif yang dikongsi melalui akaun Facebook.

Lebih malang lagi dalam video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak turut menunjukkan aksi lelaki berkenaan yang dikatakan seorang pegawai veterinar bertugas di Jerantut, Pahang itu menendang isterinya sehingga tersungkur sebaik sahaja pintu lif terbuka.

Ditanya sama ada anak-anaknya ada bertanyakan mengenai ayah mereka, mangsa itu berkata, anak-anaknya tidak lagi bertanya di mana ayah mereka.

Pasangan itu memiliki tiga anak berusia empat hingga sembilan tahun hasil perkongsian hidup selama 12 tahun.

Ditanya mengenai kes permohonan cerai, mangsa berkata, perkara tersebut masih dalam proses. – utusan.

No comments:

Post a Comment