Usah layan bisikannya! |
Dari meja Dang Setia...
Kisah benar yang ingin dikongsikan
bersama, ambil iktibar dari pendedahan ini yang mungkin juga berlaku atas diri
kita. Jika iman takat senipis kulit bawang, maka tenggelamlah nakhoda dengan
kapal-kapalnya sekali. Tiada siapa yang mengetahui apa akan berlaku pada hari
esok. Moga kita semua dilindungiNya. Amin.
Persoalan;
SAYA suami berusia 29 tahun dan ada anak
lelaki berusia setahun. Adik ipar saya yang berusia 19 tahun tinggal bersama
untuk membantu menjaga anak.
Masalah bermula sebaik saya gagal
mengawal nafsu melihat adik ipar yang jelita dan bertubuh seksi serta berbaju
tidur nipis masuk ke bilik saya. Buat pengetahuan Dang Setia, sememangnya rutin
setiap pagi adik ipar masuk ke bilik untuk mengambil anak selepas isteri saya
yang bertugas sebagai guru pergi ke tempat kerja.
Saya yang bekerja sendiri, akan ke tempat
kerja jam 10 pagi. Jadi, saya tinggal bersama anak dan adik ipar pada setiap
hari. Biasanya adik ipar berbaju biasa bila masuk ke bilik saya.
Bagaimanapun, pada hari itu adik ipar
berani masuk ke bilik saya dengan berbaju tidur nipis yang pendek dan seksi,
membuatkan saya gagal mengawal nafsu. Pada mulanya saya bergurau dengan
mengajak adik ipar berbaring di sebelah.
Reaksinya sungguh memeranjatkan apabila
akur tanpa banyak bicara. Kami melakukan seks oral dan sejak kejadian itu, kami
sering melakukan perkara terkutuk itu ketika isteri tiada.
Kini saya bimbang perlakuan kami
diketahui isteri kerana adik ipar seakan-akan mula ketagih seks. Malah, dia
mengajak saya melakukan seks oral walau isteri ada di rumah.
Adik ipar menghantar SMS untuk menggoda
saya bila isteri mandi. Jika saya tidak melayan, dia menghantar MMS bogel dan
ini membuatkan saya tewas.
Saya tidur lewat dengan alasan ingin
menonton bola untuk memuaskan nafsu adik ipar. Namun, saya menyesal dan
bersalah terhadap isteri yang menyayangi saya sepenuh jiwa.
Bantulah saya untuk menyelesaikan masalah
ini kerana pelbagai cara saya lakukan untuk hentikan semua ini daripada
berlarutan, termasuk cuba menghantar adik ipar ke kampung.
Namun, isteri sentiasa membangkang dengan
alasan lebih selamat jika anak kami dijaga adik ipar. Saya buntu dan tertekan
selagi tidak dapat mengatasi masalah ini.
SUAMI TERTEKAN
Johor Bahru
Jawapan;
Memang tidak dapat dinafikan saudara
bukan Nabi Yusuf a.s yang mampu menepis godaan nafsu wanita secantik Zulaikha
tetapi tidak pula bermaksud saudara perlu hanyut dan tenggelam dalam arus
nafsu.
Malah, terang dan jelas Allah SWT
berfirman dalam al-Quran betapa padah jika terlalu akur mengikut kemahuan
bernafsu yang berbunyi: “Sesungguhnya nafsu itu selalu mengajak manusia pada
kejahatan.” [Yusuf: 53]
Tambahan pula tindakan mengajak adik ipar
seolah-olah menyalakan sumbu api bakal membakar saudara perlahan-lahan dalam
bara nafsu.
Lebih mengecewakan, Dang Setia tidak
sangka saudara berani memilih teman berasmara daripada kalangan darah daging
isteri saudara. Tidak tergambar betapa hancurnya hati isteri seandainya dia
mengetahui hal sebenar.
Cuba bayangkan saudara di tempat isteri,
mampukah saudara memaafkan tindakan curang seperti saudara lakukan apabila si
pelakunya ialah isteri dan saudara lelaki.
Segeralah bertaubat dengan memohon
keampunan kepada Allah. Diharap saudara masih ada kesempatan memelihara rumah
tangga.
Saudara sendiri mengakui isteri sangat
menyayangi saudara. Hargailah isteri dan cukuplah setakat ini saudara
berkelakuan curang.
Ambil tindakan segera dengan mengabaikan
segala panggilan dan SMS daripada adik ipar. Jangan tempatkan diri dalam
situasi berdua-duaan dengan adik ipar.
Jika usaha mengelak tidak difahami adik
ipar, saudara perlu bertanggungjawab dengan memperbetulkan kembali kesalahan.
Saudara perlu berterus terang dengan adik ipar bahawa saudara tidak mahu lagi
menjalin hubungan sulit kerana rasa bersalah.
Malah, jika masih bimbang dengan gangguan
adik ipar, saudara perlu berbincang dengan isteri kemungkinan berlaku perkara
tidak baik jika terus membiarkan adik ipar kekal tinggal di rumah saudara.
Insya-Allah, saudara mampu tangani masalah ini sebelum terlewat.
No comments:
Post a Comment