Wednesday, September 25, 2013

Nota Terakhir Mona Fandey!



Keratan Akhbar


AKU mulakan tulisan ini dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Mengasihani. Hatiku kian sebak hanya kerana Allah Maha Esa Maha Mengetahui. Kenapa? Mengapa? Kerana Allah SWT yang menentukan segala-galanya.

Sebelum ini aku tidak pernah mengerti apakah yang dikatakan bahagia. Aku bertanya kepada teman. Ada yang mendefinisinya sebagai suatu keadaan perasaan. Ya, gembira satu perasaan.

Ada pula orang kata, gembira tidak mengisi atau menepati makna bahagia. Namun, aku pasti ia suatu keluarbiasaan. Tetapi, dapatkah merasainya?

Akhirnya aku menemuinya, aku berasa sungguh bahagia, tiada kata-kata untuk diungkapkan. Bahagia ini datang menerpa jiwaku dengan tiba-tiba. Saat itu aku di dalam Masjid Nabawi di Madinah.

Pertama kali aku melangkah masuk ke masjid nan suci itu. Masjid menempatkan makam kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW, junjungan kita. (Ketika itu aku mengerjakan umrah pada 2008. Tahun berikutnya, dengan izin Allah SWT aku dapat menunaikan haji, Alhamdulillah).

Aku masih ingat lagi saat-saat itu. Pada masa itu, aku sebak, sedih bercampur. Ya, rasa ‘bahagia’ atau rasa yang menerjah kalbu. Dengan air mata, aku menadah tangan mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Ya Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, aku datang dari jauh dan mendirikan solat di Masjid Nabawi.

Di Madinah yang menyaksikan pengorbanan dan perjuangan junjungan besar kita untuk menyelamatkan kita daripada kejahilan. Aku berasa hampir dengan-Mu, Ya Allah. Di benakku, aku menghitung hari seterusnya berpeluang mendirikan solat di Masjidil Haram di Makkah pula, dengan izin-Nya. Pasti perasaan bahagia ini berulang-ulang selama aku di tanah suci.

Sebagai manusia yang mempunyai perasaan, pengalaman duniawi menjamah jiwaku. Menjalankan tugas sebagai wartawan mahkamah menemukanku dengan hamba-hamba-Nya yang tersisih daripada masyarakat. Setiap hari aku melihat pemandangan yang akan mengecutkan jiwa kecil.

Saban hari aku melihat tertuduh diberkas dan diganding untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka akan mendapat hukuman kerana melanggar undang-undang jenayah dan sivil.

Di tanah suci, ingatanku kembali kepada mereka, terutama sepasang suami isteri. Dan, hati terdetik, jikalau pasangan suami isteri itu tahu kebesaran Allah. Sedarkah mereka akibat perbuatan yang akan menerima azab Allah kelak. Azab-azab yang diulang-ulang dalam firman Allah dan hadis Rasul. Hatiku mengeluh, sekiranya mereka mengingati Allah SWT semua ini tidak akan berlaku.

Tetapi, ustaz pernah mengajar, tidak perlu kata ‘kalaulah’ kerana semua yang berlaku itu satu ketentuan Allah SWT. Aku menghadiahkan al-Fatihah kepada kedua-duanya. Ya Allah ampunkan mereka berdua, doaku untuk mereka di masjid suci itu. Umum tahu siapakah pasangan yang meninggalkan nama.

Nama sebagaimana? Nama yang dirujuk sebagai kes-kes jenayah dalam pengajian bidang guaman? Rentetan hidup pasangan ini menjadi bualan waktu itu. Mereka pergi sebagai manusia yang dikenali kerana jenayah dilakukan. Tetapi adakah orang yang terfikir untuk ambil kisah mengapa jenayah sedemikian terjadi?

Mengimbas pengalaman lama, lebih lima bulan aku dan rakan-rakan wartawan membuat liputan kes perbicaraan pasangan ini di Mahkamah Tinggi Temerloh, sekitar tahun 1994/95. Isterinya mesra dengan nama Mona Fandey. Suaminya, Mohd. Affandi Abdul Rahman. Kedua-duanya menyara hidup dengan mendakwa sebagai bomoh.

Mereka diberkas dan dibicarakan atas tuduhan membunuh Allahyarham Datuk Mazlan Idris yang pada masa itu wakil rakyat negeri Pahang. Satu pembunuhan yang teramat kejam.

Aku tidak ingin mengungkit kembali fakta yang dibentangkan dalam kes mereka. Hanya untuk membawa pembaca mengenangkan arwah Mona Fandey. Dia seorang wanita ayu. Mona Fandey seperti wanita lain juga. Dia ada impian untuk berjaya dalam hidup. Salah satu impiannya ingin jadi penyanyi.

Mona Fandey seorang isteri yang sangat mencintai suaminya. Dia meluahkan perasaan hatinya dalam nota autograf yang aku ambil daripadanya dan kini tersimpan sebagai khazanah peribadi. Bunyinya ringkas: “Saya ingin hidup dan mati bersama suamiku.”

Ya, dia mencapai keinginannya itu. Dia mati bersama-sama suaminya. Mereka berdua dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh di bawah jenayah berat undang-undang Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sepanjang pasangan itu dibicarakan, mahkamah penuh sesak. Pada satu ketika timbul kejadian mistik yang sehingga sekarang jadi persoalan tanpa jawapan. Pada suatu pagi kes mereka, tiba giliran doktor forensik yang bedah siasat anggota mayat mangsa yang mati dalam keadaan ngeri dikerat-kerat 18.

Hadirin di mahkamah senyap sunyi. Cerita doktor terasa ngeri, seram remang bulu roma. Tidak semena-mena kedengaran bunyi ‘keruk-keruk’. Para hadirin memandang sesama sendiri.

Dada akhbar esoknya memaparkan bermacam versi yang kebanyakannya mengatakan satu bunyi menakutkan. Tetapi Utusan Malaysia melaporkan berita eksklusif. Pada petang itu, aku memperoleh maklumat daripada sumber bahawa ia adalah bunyi itik-itik jawa Mona Fandey yang mati beragan (kelaparan) di Kampung Hulu Dong, Raub.

Seorang wartawan wanita pula yang menemui Mona Fandey di lokap untuk bertanya resolusi tahun baharu, pada malamnya dikatakan mengigau menghempas muka ke lantai simen tandas hinggakan pipi dan bibir berdarah.

Aku masih ingat, Mona Fandey memberi amaran kepada wartawan supaya tidak menokok tambah apa yang dikatakannya pada masa dia bersama-sama suami dan pembantunya, Juraimi Husin dibawa menaiki trak untuk balik ke Penjara Kajang. Hukuman mati sudah dijatuhkan.

“Saya nak senyum.” Itu kata-kata akhir Mona Fandey kepadaku apabila ditanya apa yang akan dibuatnya menghabiskan sisa-sisa waktu di penjara. Manakala Mohd. Affandi pula kata, dia hendak beramal ibadat dan Juraimi mengatakan dia hendak mengaji al-Quran.

Semasa itu, fikiranku terasa berat. Mona Fandey kata dia nak senyum? Kata-katanya mengandungi amaran pula supaya tidak tokok tambah. Sepanjang perjalanan balik ke ibu pejabat Utusan, aku tidak berhenti berfikir. Apabila sampai di pejabat, aku cerita kepada Ketua Pengarang ketika itu dan beberapa editor yang memberi pandangan berbeza mengenai kata-kata Mona Fandey.

Seorang editor berpandangan, ada sesuatu yang ‘tak kena’ pada wanita ini. Namun aku jawab, tidak. Kata-kata Mona Fandey dalam maknanya. Aku beri hujah bahawa simboliknya dia pasrah nasib yang telah menimpa dirinya.

Keesokannya, keluar tajuk besar Utusan Malaysia, “Saya nak senyum.” Waktu itu akhbar Utusan Malaysia laris macam goreng pisang panas. Apabila dikenangkan, aku pun rasa nak senyum. Kenapa? Akhbar berbahasa Cina turut mengambil kesempatan memaparkan gambar-gambar yang dikatakan seolah-olah mendewakan wanita ini.

Hal ini berlaku di peringkat dia hadir perbicaraan di mahkamah. Aku masih ingat bagaimana dia menonjolkan diri dengan keterampilan berpakaian kemas bermacam fesyen pada setiap hari. Jelas dia seorang wanita yang mempunyai cita rasa tinggi kepada kemewahan.

Cita-cita yang tidak kesampaian Mona Fandey untuk menjadi penyanyi. Dalam ceritanya kepada hakim, Mona Fandey mendakwa ketika pegawai polis menyoal siasat, dia minta untuk menyanyi.

Dalam filem Hindustan, katanya, orang tidak jemu menonton sebab hero bercinta menyanyi, putus cinta menyanyi, masak di dapur menyanyi dan mengiring orang mati pun menyanyi. Apa yang menariknya, Mona Fandey meminta izin hakim agar dibenarkan dia menyanyi sebuah lagu dalam mahkamah.

Hakim bijaksana tidak membenarkan. Jika dibenarkan pasti gempar mahkamah jadi pentas hiburan. Aku berdoa kepada Allah SWT untuk mengampunkan dosa semua hamba-Nya dan diberi taufik serta hidayah kepada yang masih terpesong.

Bahagia menjelma apabila kita dapat merasai keesaan-Nya. Kebahagiaan yang abadi. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada ketiga-ketiga hamba-Nya ini.

Sumber dikutip dari;ccnetmy.blogspot.com

Ikuti kisah Mona Fandey [Di Sini].

No comments:

Post a Comment