DENGAN wajah tampan, perwatakan menarik, ketinggian
sehingga 1.82 meter, sering berpakaian kemas, bersikap `gentleman' serta pandai
memujuk, Lee Chow Meng seharusnya boleh hidup mewah sama ada menjadi model,
pelakon, mengahwini wanita kaya atau anak orang kaya.
Namun, dia memilih haluan berbeza. Haluan yang tidak
mungkin sanggup dilakukan oleh manusia normal. Haluan yang menjadikannya
dicemuh masyarakat dan memastikannya mati dalam keadaan aib. Haluan itu juga
menyebabkan namanya terus terpahat sebagai seorang daripada perogol bersiri
paling kejam yang pernah lahir di negara ini.
Jatuh
Cinta
Pada tahun 1975, Lee telah jatuh cinta dengan sahabat
penanya, seorang gadis manis berbangsa cina yang berasal dari Kota Bharu,
Kelantan. Kecantikan gadis itu telah berjaya mencuri hatinya. Lee yang bekerja
di Temerloh selalu berutus surat dengan kekasih hatinya, dan kadang-kala mereka
pergi bercuti bersama dan bertemu di Kuala Lumpur. Akhirnya kekasihnya
mempelawa Lee untuk tinggal bersamanya di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Tetapi hubungan mereka itu mempunyai pasang-surutnya.
Alam percintaan mereka sering diduga dan pertengkaran sering berlaku. Kerana
sikap nakalnya, kekasih hatinya tidak lagi mampu bertahan dan bertindak
memutuskan hubungan yang mereka bina bertahun lamanya. Kekasihnya telah tawar
hati untuk kembali kepada Lee, walaupun Lee sering memujuk dan merayu masih
mencintai wanita itu. Sikap Lee yang suka perpoya-poya di Thailand menjadi
punca segalanya.
Bermulanya
Dendam Kesumat
Bertitik tolak dari insiden ini, Lee berpatah hati dan
mula menanam sikap bencinya pada wanita. Lee bertekad untuk menggoda mana-mana
wanita yang mempunyai iras kekasihnya untuk membalas dendam. Bukan niat untuk
bercinta, tetapi mempergunakan mereka untuk melampiaskan nafsunya sahaja.
Tiada kemaafan sanggup diberikan lebih 15 wanita yang
menjadi mangsa nafsu serakahnya manakala keampunan tidak mungkin diberikan oleh
keluarga mangsa pembunuhannya.
Jika bukan disebabkan sikap tamaknya yang mengugut untuk
mengedarkan gambar bogel seorang wanita jika enggan menyerahkan wang tunai
RM10,000, mungkin lelaki ini terus bermaharajalela menambah bilangan mangsanya.
Lelaki yang digelar perogol bersiri itu ditangkap di
Bercham, Ipoh, pada 1 September 1997 sekali gus menamatkan pemburuan yang
dilakukan polis terhadapnya.
Lee yang berasal dari Mentakab, Pahang, dilahirkan pada 9
Februari 1964 dan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan akibat penyakit
radang paru-paru kesan daripada virus HIV yang menular dalam tubuhnya ketika
berusia 37 tahun di Hospital Taiping (HT), Perak pada 11 April 2001.
Sepuluh tahun lalu, Lee menjadi buruan pihak berkuasa
sehingga ditawarkan ganjaran RM50,000 kepada orang ramai yang dapat memberi
maklumat sehingga dia berjaya ditangkap manakala lebih 40,000 poster lakaran
wajahnya ditampal di balai polis, kompleks beli belah dan tempat tumpuan awam
seluruh negara termasuk di sempadan Malaysia-Thailand.
Dalam tempoh setahun iaitu sepanjang 1996, Lee dikatakan
merogol lebih 12 wanita dan ada laporan sehingga 18 wanita dengan semua mangsa
disamun dan ada antaranya menjadi mayat serta dibuang pada beberapa lokasi
tersorok.
Modus operandinya mudah iaitu menerusi iklan akhbar, sama
ada dia sendiri membuat iklan berpura-pura menawarkan pekerjaan kepada wanita
atau menelefon mana-mana iklan kerja kosong yang ditawarkan oleh wanita atau
syarikat dimiliki wanita.
Apabila `temu janji' dapat dibuat, Lee akan meminta mangsa
bertemunya di tempat awam yang dipersetujui, kebiasaannya di restoran makanan
segera. Di situ, dia akan membeli air dan memasukkan sejenis dadah di dalamnya
sebelum mencadangkan mereka ke tempat lain sama ada dengan keretanya atau
kereta mangsa.
Dadah itu dikatakan bertindak pantas membuatkan mangsa
menjadi khayal dan menuruti katanya tetapi tidak menyebabkan mangsa pengsan
dengan cepat. Ini membolehkan Lee memaksa mangsa menandatangani slip pembelian
kad kredit dan memberitahu nombor pin mesin juruwang automatik (ATM), menyamun
wang tunai dan barang kemas selain meratah tubuh mangsa sepuas-puasnya.
Jika permintaannya tidak dipenuhi, Lee akan bertindak
ganas menyerang dan menamatkan riwayat hidup mangsa yang sebahagian besarnya
adalah wanita bekerjaya dan profesional selain pelajar dan seorang wanita dari
Taiwan.
Sepanjang Lee `mengganas' dari Januari 1996 sehingga Ogos
2007 sebahagian besarnya di sekitar Lembah Klang, dia menggunakan pelbagai nama
untuk mengelirukan mangsa seperti Alex, Jackson, Khoo, S K Lim dan Tan.
Dia turut dikaitkan dengan kes kehilangan lima wanita
iaitu Yong Siew Ling, 45; Lim Phaik Lian, 33; Tan Poh Peng, 29; Lim Yee Lengg @
Elane E Leng, 26, dan Jenny Cheng Chen-ni, 23.
Rangka mayat Siew Ling yang juga seorang akauntan, ditemui
di satu kawasan berhampiran Empangan Sungai Tua, di Kilometer 9, Jalan Sungai
Tua, Hulu Yam dekat Batu Caves, Selangor manakala mayat pengusaha salun
kecantikan, Phaik Lian, yang sudah reput ditemui di pangkal pokok kelapa sawit
ditindih sebatang pokok reput dan ditutup dengan daun di Jalan Matang, dekat
Taiping.
Dua mayat reput yang ditemui dengan kepala diikat pita
pelekat manakala sebahagian tubuh tertimbus dalam longgokan batu dan pasir di
satu kawasan kuari di Kilometer 48 Jalan Ipoh-Tapah berhampiran Kampar, dikenal
pasti sebagai ejen insurans, Yee Leng dan Penyelia Akaun, Poh Peng. Seorang lagi mangsa iaitu Jenny tidak ditemui sehingga
sekarang.
Lee berjaya ditangkap susulan daripada laporan polis yang
dibuat seorang wanita di Kluang, Johor, yang mendakwa menerima ugutan pada 28
Ogos 2007 supaya menyerahkan wang tunai RM10,000 jika tidak mahu gambar
bogelnya diedarkan.
Anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis
Daerah Kluang ketika itu, Koperal Chung Yaw Kai yang ditemani suami wanita itu
mengekori mangsa yang memandu kereta seorang diri untuk berjumpa Lee di
Bercham, Ipoh, kira-kira jam 12.30 malam pada 1 September 2007.
Sepandai
Tupai Melompat, Akhirnya Jatuh Jua
Sikap buas Lee sampai ke penghujungnya hasil serbuan di
situ yang dibantu anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. Dia
cedera di paha kanan kerana terkena tembakan polis ketika cuba melarikan diri.
Pada 3 September 1997, Mahkamah Majistret Ipoh
membenarkan polis menahan reman Lee selama 14 hari untuk menjalankan siasatan
dan disambung beberapa kali iaitu pada 13 Oktober, 27 Oktober dan 23 November
sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada 5 Disember tahun yang
sama dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu melakukan
pembunuhan dengan niat menyebabkan kematian Phaik Lian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 9.30 malam 29
Januari 1997 dan jam 1.30 pagi 30 Januari 1997 di sebuah kebun kelapa sawit di
Kilometer 11.6 Jalan Matang, Kuala Sepetang, dekat Taiping.
Pada 22 Februari 1999, Hakim Mahkamah Tinggi Taiping,
Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin menjatuhi hukuman penjara 15 tahun terhadap Lee
selepas dia mengaku salah terhadap tuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (1)
yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Nasib seperti menyebelahi Lee apabila dia hanya didakwa
dengan satu tuduhan itu saja dan terselamat pula daripada tali gantung
seolah-olah kes lain yang dikaitkan dengannya sebelum itu sukar untuk
dibuktikan. Begitupun, takdir menentukan bahawa dia tetap menerima
padah akibat perbuatan dilakukannya dengan mati ketika dipenjarakan.
Dia yang disahkan positif HIV, jatuh sakit dan dimasukkan
ke HT pada 30 Mac 2001 dan selepas 12 hari menerima rawatan, Lee akhirnya
menemui ajal pada 11 April tahun yang sama. Hasil bedah siasat mendapati
kematiannya disebabkan jangkitan retrovirus iaitu radang paru-paru.
Ketiadaan Lee secara tidak langsung menyelamatkan
masyarakat negara ini daripada dibayangi kehadiran perogol kejam. Bagaimanapun,
trauma yang dihadapi mangsa rogol dan keluarga mangsa bunuh akibat perbuatan
Lee mungkin sukar diubati sehingga sekarang.
Sehingga di hari kematiannya, Lee memang berminat dan
sentiasa memikirkan tentang seks. Permintaan terakhirnya Lee meminta beliau
disemadikan dengan dua naskah majalah seks kepunyaannya. Permintaannya itu
dipenuhi oleh pihak penjara.
Mungkin juga diminati:
No comments:
Post a Comment