Semasa Pakatan Rakyat (PR) dilihat mendapat sokongan lebih meluas di
Selangor, Pulau Pinang, Kelantan manakala Terengganu serta Perak juga memberikan
tentangan yang kuat, mampu menyuntik semangat dan inspirasi kepada penyokong PR
seluruh negara.
Berbicara soal keputusan PRU13, kami agak bersepakat bahawa faktor rasuah
politik dan "proses pembodohan" umat, terutama di kawasan luar
bandar, membabitkan majoriti pengundi Melayu
masih berkesan untuk mempertahankan survival Umno.
Cabaran besar yang terpaksa diharungi sepanjang lima tahun ini adalah
untuk melahirkan masyarakat berilmu dan bermaklumat. Dengan itu tidak mudah
lagi mereka diugut atau dirasuah, atau aktiviti beli undi lainnya.
Pendedahkan beberapa pendekatan membeli undi, termasuk sindiket
membabitkan kertas undi pos. Dalam PRU13, hampir 250,000 pemilih mengundi
secara pos.
Lebih dahsyat lagi kertas undi pos itu cuba "dijual" kepada
calon-calon yang bertanding, sehingga RM300 seorang. Malah, kegiatan ini
dilakukan oleh broker tertentu, yang mengutip "komisyen" sehingga
lebih 60 peratus. Ada kes di mana pemilik kertas undi mendapat RM100, manakala
broker membolot RM200!
Di sebuah negeri di utara tanahair, diceritakan bagaimana para petugas
BN, termasuk seorang bekas menteri besar, di malam hari mengundi, mengetuk
pintu dari rumah ke rumah, seterusnya menyogok sejumlah wang, selepas memetrai
"perjanjian" dan keesokan harinya ramai pengundi tidak keluar
mengundi.
Malang sekali. Rupanya politik rimba, politik lama, politik kuno masih
mengakar dalam amalan pilihan raya kita. Retorik politik baru, transformasi dan
pelbagai istilah yang mahu menggambarkan pembaharuan dicipta untuk mengangkat
pemerintahan Najib Razak, ternyata palsu.
Dalam perkembangan berkaitan, tulisan Dr Zahid Hamidi, Naib Presiden
Umno, yang baru dilantik Menteri Dalam Negeri yang menang Kerusi P105, Bagan Datok
dengan majotiti hanya 2,108 undi sahaja, disiarkan Utusan Malaysia mendapat
reaksi panas.
Zahid dan Hishammuddin Husein, masing-masing rapat dengan Najib Razak,
bertukar posisi di kementerian kanan, Pertahanan dan Dalam Negeri, walaupun
pretasi kerja kedua-duanya buruk, seperti dibuktikan dalam kes pencerobohan di
Lahad Datu dan peningkatan kadar jenayah.
Zahid mencabar golongan yang mengkritik sistem First-Past-The-Post (FPTP)
serta mereka yang menimbulkan undi popular yang memihak Pakatan: "Jika
golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable vote
seperti mana digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah
ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik
mereka."
Cabaran kepada "pengkritik" supaya berhijrah ke negara luar
atau dicabut terus kerakyatan, selain ditahan tanpa bicara semasa ISA masih
mengamuk dulu, hanya menunjukkan
kebebalan, kedunguan dan keangkuhan yang tiada batas.
Daripada pencacai Umno di kampung, atau bertaraf ketua bahagian, juga
pemimpin KeADILan yang dibeli termasuk yang pernah memegang jawatan Timbalan
Ketua Menteri atau ahli Parlimen melompat parti sehinggalah Menteri Dalam
Negeri berkelulusan doktor falsafah, semuanya menunjukkan kecenderungan yang
sama, mungkin disebabkan diternak dalam "kandang" yang serupa.
Respons Dr Mohamad Agus Yusoff kepada Zahid menarik sekali: "Mengapa
DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini? Apakah salah jika rakyat
mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang ada? Apakah Perlembagaan menghalangnya? Setahu saya, Perkara 10
Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun
dan berpersatuan.
"Tidak ada satu klausa pun dalam Perlembagaan yang membenarkan
menteri untuk memberitahu rakyatnya supaya berhijrah ke negara lain hanya
kerana berbeza pendapat dalam politik. Jika kita akui negara kita adalah negara
demokrasi, maka berdemokrasilah secara jujur.
"Sebagai menteri, DS Zahid sepatutnya membangkitkan kasih sayang dan
semangat patriotik rakyat kepada negara, bukannya mengeluarkan kenyataan
sebegini. Sebagai menteri DS Zahid sepatutnya menggunakan masa untuk merancang
mengatasi masalah keselamatan, jenayah, social ills dalam negara, daripada
menyerang rakyat yang mempunyai perbedaan politik dengan parti kerajaan."
Saya tidak pasti apakah Zahid berhasrat mahu menghalau lebih 52 peratus
penduduk negara ini (berdasarkan undi popular yang diperolehi Pakatan Rakyat
dalam PRU13) keluar daripada Malaysia hanya kerana mereka mungkin tidak
bersetuju dengan sistem pilihan raya yang penuh ketempangan dan penipuan itu?
Sambil menyifatkan tulisan Zahid itu sebagai kenyataan sombong yang
menghina rakyat, Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim, semasa berpidato di
perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri Sembilan, Jumaat lalu,
beliau mempersoalkan: "Kamu (Zahid) ingat negara ini bapa kamu punya?" -harakahdaily
No comments:
Post a Comment