Friday, May 31, 2013

Ibu kepada bayi malang di China alami tekanan mental




BEIJING - Ibu kepada bayi lelaki yang diselamatkan daripada terperangkap dalam paip kumbahan beberapa hari lalu di China kini di hospital setelah mengalami tekanan mental sementara lelaki yang dikaitkan sebagai bapa bayi tersebut telah meminta untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Akhbar Modern Gold melaporkan, wanita itu terlalu lemah kerana kurang rehat selepas melahirkan bayi itu dan kini dia dirawat di hospital akibat menerima tekanan daripada orang ramai.

Menurut laporan itu lagi, bayi lelaki berkenaan telah diserahkan kepada datuk dan neneknya dan dalam keadaan yang sihat.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas segala pertolongan serta keprihatinan yang diberikan kepada bayi ini.

"Kami juga berharap agar masyarakat dapat memberikan kami ruang untuk membesarkan bayi ini dengan penuh kasih sayang," ujar datuk kepada bayi itu.

Sementara itu, dalam sebuah laporan China News Network, pihak berkuasa tempatan telah menjumpai bapa kepada bayi berkenaan tetapi ujian DNA perlu dilakukan bagi mengesahkan perkara tersebut.

"Ibunya telah mengesahkan siapa bapa kepada bayi itu, kami ingin memastikan perkara tersebut benar dengan memintanya untuk menjalani ujian DNA," kata seorang polis tempatan, Zhang Jianbo.

Walaupun terdapat spekulasi awal mengatakan bayi itu dibuang dengan sengaja ke dalam tandas, pihak polis mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kemalangan dan wanita tersebut tidak akan didakwa. – AFP


No comments:

Post a Comment