Thursday, May 23, 2013

Kes Bunuh Jutawan: Pathmanabhan Dan 3 Pekerja Dihukum Mati





Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
   
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mangsa

   
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
OKT
 
Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani sementara Pathmanabhan diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi.

Sementara itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari (gambar kanan) melahirkan rasa syukur selepas mendengar tertuduh dalam kes pembunuhan ibunya, Sosilawati dijatuhi hukuman gantung sampai mati hari ini.
   
Katanya selepas menunggu hampir tiga tahun, beliau sekeluarga amat berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu yang dijatuhkan ke atas empat orang termasuk bekas peguam N. Pathmanabhan yang didapati bersalah membunuh Sosilawati kira-kira tiga tahun lepas.
   
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak mahkamah, pihak media dan semua warga Malaysia yang selama ini menyokong kami sekeluarga selepas pemergian ibu saya. 
   
"Tidak dapat membayangkan ini dengan kata-kata," kata anak sulung Sosilawati

itu ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.

  

TIGA tertuduh kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya,
R Matan (kiri), T Thilaiyalagan (dua kiri) dan bekas peguam
N Pathmanabhan (kanan) diiringi anggota polis selepas
mahkamah memutuskan menjatuhkan hukuman gantung
sampai mati, bagi kesalahan melupuskan mayat jutawan
kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain,
di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak berada di dalam mahkamah ketika penghakiman kes dibacakan, Erni Dekritawati atau lebih mesra dipanggil Rita, 28, berkata beliau tiada kekuatan untuk mendengar keputusan itu dibacakan.
   
Anak sulung daripada enam beradik itu sebelum ini dilapor berkata akan meneruskan legasi perniagaan Sosilawati untuk memenuhi impian ibunya yang mahu melihat beliau menjadi usahawan berjaya. - Bernama

Lihat Lain-lain Foto Disini

 


No comments:

Post a Comment