Thursday, May 30, 2013

Bentong Kali: Penjenayah Berhati Binatang




Posting kali ini hanyalah imbauan lampau yang boleh dijadikan pedoman. Andai kata tersesat jalan, cepat-cepatlah kembali semula ke pangkal jalan. Berpegang kepada kata-kata orang terdahulu,...

“Buat baik berpada-pada,
Buat jahat, jangan sekali”.

BERASAL dari Bentong, Pahang, P Kalimuthu atau juga dikenali sebagai Bentong Kali. Beliau merupakan Anak kelapan daripada 11 beradik. Mula terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 14 tahun iaitu selepas dia meninggalkan alam persekolahan pada tingkatan satu. Tiada lagi alam persekolahan seperti  baik remaja lain, Kalimuthu menyertai kumpulan kongsi gelap Cina 04 dan mula mengenali dunia jenayah. Atas kesalahan tertentu, dia ditahan dan kemudian dipenjara ketika usia 19 tahun tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu.

Dipenjara pada usia muda tidak menginsafkan Kalimuthu sebaliknya kira-kira empat tahun selepas dibebaskan, dia kembali bergelumang dengan dunia jenayah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap India 08. Bersama kumpulan haram dan rakan penjenayah baru, Kalimuthu aktif mencabar undang-undang sekitar ibu kota iaitu di Brickfields, Segambut, Sungei Way dan Ampang. Dia ditahan semula pada Julai 1985 mengikut Ordinan Darurat serta pernah ditempatkan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang tetapi dibebaskan pada 1987 bersama sekatan kediaman terhad di Kuantan, Pahang.

Dunia jenayah bagaikan matlamat kehidupannya. Peluang kedua untuk mengubah hidup mengikut undang-undang diabaikannya apabila lelaki itu kembali menyertai dunia jenayah. Bagaimanapun, kali ini dia tidak lagi menyertai kumpulan jenayah sedia ada sebaliknya menubuhkan kumpulan kongsi gelap 04 yang tertumpu di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Antara kegiatan kumpulan 04 yang ditubuhkannya ialah aktif mengedar dadah dan untuk kesalahan itu, Kalimuthu ditahan lagi pada April 1990 dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya. Bagaimanapun, dia terlepas daripada hukuman apabila bukti tidak cukup untuk mensabitkan kesalahannya.

Untuk kali kedua, dia dikenakan sekatan kediaman terhad di Gopeng,Perak, selama dua tahun. Kalimuthu kemudian menghilangkan diri pada November 1984. Pada 1991, Kalimuthu dikatakan mula mengganas kembali dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan sehingga menyebabkan polis mula melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 untuk menghentikan keganasan lelaki itu. Ops Buncit disertai 200 pegawai dan anggota polis termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor digerakan secara besar-besaran membuktikan polis serius untuk memburu Bentong Kali hingga ke lubang cacing.

Lagak lelaki bernama P Kalimuthu itu bagaikan negara ini tiada undang-undang dan dia bebas berbuat apa saja mengikut kehendak nafsunya termasuk membunuh seseorang. Pemikiran songsangnya itu menyebabkan Kalimuthu atau digelar Bentong Kali menjadi antara penjenayah paling berbahaya dan diburu polis pada dekad 1990-an selepas Wong Swee Chin atau Botak Chin pada 1970-an.

Bentong Kali disyaki terbabit dalam kejadian ini kerana mangsa ditembak pada jarak dekat. Selain itu, bukti kelongsong peluru jenis 9 milimeter (mm), iaitu dari pistol jenis Sig Sauer buatan Jerman dipercayai digunakan oleh penjenayah kejam ini terhadap semua mangsanya. Peluru jenis yang sama juga turut ditemui dalam lapan kes pembunuhan berlainan yang berlaku sebelum itu.


Penjenayah gila ini melakukan jenayahnya tidak memilih mangsa. Disatu kejadian pada jam 5.30 pagi di sebuah restoran di Jalan Kelang Lama, umum digemparkan dengan pembunuhan  seorang pembuat teh tarik Abdul Samad Hameed yang telah ditembak mati dalam jarak dekat oleh P. Kalimuthu tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Pembunuhan paling dahsyat dilakukan penjenayah yang berasal dari Bentong ini adalah kejadian menembak enam orang lelaki yang menghadiri majlis hari jadi di Taman Taming Jaya. Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 malam itu, tiga orang daripada mangsa menemui ajal di tempat kejadian, seorang mati setiba di Hospital Kajang, manakala dua orang lagi mangsa cedera parah.

Rekodnya adalah 16 kes pembunuhan sehingga polis menawarkan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu. Selain rekod pembunuhan itu, Bentong Kali turut disyaki dalam banyak lagi kes jenayah termasuk mencederakan polis. Bentong Kali meninggalkan jejak jenayahnya menerusi kelongsong peluru jenis 9mm daripada pistol Sig Sauer buatan Jerman yang dijumpai dalam kebanyakan kes pembunuhannya sebelum itu.

Dalam satu kejadian di Taman Taming Jaya, Balakong, pada Jun 1993, seorang penjual roti canai menegur perbuatan tidak sopan seorang lelaki yang membuang air kecil berhampiran dengan rumahnya.

Namun, tegurannya itu membawa padah. Lelaki berkenaan berang dengan teguran penjual roti canai tersebut. Tanpa diduga, lelaki berkenaan mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan satu das tembakan ke arah penjual roti canai itu.

Penduduk berhampiran yang menyedari kejadian tersebut cuba membantu dan menghantar penjual roti itu ke Hospital Kajang. Walau bagaimanapun mangsa mati ketika dalam perjalanan – itulah salah satu jenayah tidak masuk akal yang dilakukan P. Kalimuthu atau lebih dikenali sebagai Bentong Kali, penjenayah zalim di negara ini pada awal 1990-an.

Bentong Kali tidak memerlukan alasan yang kukuh untuk membunuh seseorang. Kesalahan yang kecil sudah mencukupi untuk menamatkan riwayat orang yang tidak disukainya, dan sudah menjadi tabiatnya menembak mangsanya pada jarak dekat.

Beberapa hari selepas kejadian itu, nama Bentong Kali sekali lagi disebut-sebut terbabit dalam satu kejadian pembunuhan seorang lelaki dan mencederakan seorang lelaki lain di Kampung Sungai Tepi, Jalan Klang Lama. Dalam kejadian itu, mangsa yang terbunuh ditembak dua kali di dadanya. Beberapa minit selepas kejadian pada pukul 4.00 petang itu, Bentong Kali menyerang pula seorang lelaki lain di kawasan berdekatan, namun mangsanya kali itu bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan.

Polis mengklasifikasikan profil lelaki itu sebagai bukan pembunuh upahan sebaliknya Bentong Kali yang bergerak bersama pengikutnya sekadar melakukan pembunuhan demi pembunuhan mengikut kehendak nafsu mereka. Bentong Kali juga dikatakan memiliki banyak tatu dilukis pada badan dantangannya seperti tanda palang dan ungkapan Born To Die. Pada tangan kanannya terdapat gambar kepala harimau manakala di tangan kirinya terukir gambar perempuan bogel, ular dan helang. Tatu dibahagian belakang badannya pula dilukis gambar helang dan kedua-dua pahanya ada gambar perempuan bogel. Kalimuthu turut memiliki parut kesan pembedahan di perut.

Dalam gerakan memburu penjenayah itu, poster dikehendaki polis yang antara lain memaparkan wajah Bentong Kali dan kegiatan jenayahnya mula ditampal di tempat awam. Dengan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah ganas itu, kes buruan polis itu terus menjadi berita hangat. Poster itu turut diedarkan di kawasan sempadan bagi membolehkan orangramai mengesan kehadirannya dan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dipertingkatkan bagi mengelak Kalimuthu bolos ke negara jiran.

Tindakan bijak pihak polis yang menghebahkan berita mengatakan Bentong Kali kini berada di luar negara, membuatkan bentong kali berasa selamat dan selesa. Ini membuatkan beliau leka dan keluar dari tempat persembunyiaannya.

Polis terus melancarkan gerakan memburu Kalimuthu selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Serbuan demi serbuan dijalankan untuk menjejak penjenayah itu antaranya di lokasi yang menjadi tumpuan jenayahnya iaitu sekitar Kuala Lumpur di Jalan Klang Lama, Brickfields, Taman Melawati, Ampang, Balakong, Kajang, Raub dan Bentong. Pencarian pihak berkuasa kemudian berhasil apabila Bentong Kali dikatakan keluar dari persembunyiannya dipercayai untuk mencari seorang bekas konconya di Jalan Klang Lama.

Intipan polis kemudian membawa kepada serbuan di markas persembunyian lelaki itu di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada 29 Jun 1993. Subuh menjelang apabila sepasukan anggota elit polis dari Unit TindakanKhas (UTK) Bukit Aman, mengambil posisi dan mengepung kawasan perumahan itu. Turut menyertai operasi adalah unit pemusnah bom. Situasi genting itu kemudian bertukar menjadi drama tembak-menembak. Bentong Kali bersama dua pengikutnya melepaskan dua das tembakan kepada polis yang mengepung kawasan itu.

Bagaimanapun, kedua-dua tembakan penjenayah itu tidak mengenai atau mencederakan anggota polis. Menyedari tindakan agresif penjenayah itu dan cubaan mereka untuk melarikan diri, polis mengambil tindakan pantas dengan membalas tembakan. Tembakan balas sekitar jam 6.30 pagi menyebabkan ketiga-tiga penjenayah terbabit terbunuh dengan satu das tembakan di kepala menamatkan riwayat P Kalimuthu. Kejayaan itu menamatkan episod das-das tembakan daripada penjenayah terbabit sepanjang era keganasannya yang membunuh kira-kira 16 mangsa.



Mungkin juga diminati:




No comments:

Post a Comment