WAJIB BACA! Jangan sampai terkena batang hidung sendiri.. Nauzubillah min zalik.
SAYA sering membaca kisah-kisah yang dipaparkan
dalam ruangan ini yang banyak mengisahkan kecurangan suami sahaja. Biasanya
kaum wanitalah yang sering mengadu tentang keburukan kelakuan, tabiat dan
perbuatan sumbang suami masing-masing.
Namun saya tak salahkan mereka kerana mereka
yang merasakan penderitaannya tentulah sakit hati dan ingin meluahkan perasaan
masing-masing. Mereka tahu cerita mereka menjadi rahsia, dan apa yang tersemat
di hati mereka cuma penulis sahaja yang tahu.
Tetapi kali ini saya ingin mencurahkan perasaan
saya. Kalau selalunya wanita berasa tertipu dengan suami masing-masing,
perasaan saya lebih sakit lagi apabila dikhianati isteri sendiri. Demikian
cerita Zain ketika penulis menghubungi beliau setelah membalas e-melnya kerana
ingin bertanya lebih lanjut lagi.
Memang terkejut tetapi bukan mustahil boleh
berlaku kerana dunia ini pentas dan kita semua adalah pelakonnya.
Apa perasaan puan bila baca cerita saya,
terkejut tak? Tentu terkejutkan! Saya rasa bukan saya seorang sahaja suami yang
berperasaan demikian. Ada lagi mungkin tidak ramai kaum lelaki yang mempunyai
pengalaman pahit seperti yang saya lalui, tetapi mereka suka mendiamkan diri.
Dulu saya pun menyimpan perasaan yang sama, tetapi semakin lama kita simpan
semakin perit, pedih dan menjadi racun berbisa.
Jadi hari ini saya luahkan kepada puan,
pertimbangkanlah. Memang benar zaman ini macam-macam perkara yang kita tak
sangka boleh berlaku. Demikian pengalaman pahit yang saya lalui.
Saya bekerja tetap tahun 70-an, oleh kerana saya
daripada keluarga susah, ramai adik-beradik, maka saya amat sayangkan kerja.
Saya bekerja tak tentu masa kerana terlalu gembira dengan tugas, sesuatu yang
saya idam-idamkan selama ini.
Walaupun saya mendapat tawaran ke U tetapi saya
tolak, sebab keluarga miskin, jadi saya berkorban supaya saya boleh bekerja
dapat duit, bantu ayah sekolahkan adik-adik. Saya bersyukur semua adik-beradik
saya berjaya dalam pelajaran, lulusan U dan semuanya memegang jawatan yang baik
juga.
Biarpun saya tidak lulus U tetapi kerana
dedikasi dan ketekunan bekerja, saya naik pangkat dan menjawat jawatan yang
baik. Ini balasan Allah daripada pengorbanan besar yang saya lakukan demi
pelajaran adik-adik saya.
Kerana terlalu sayangkan kerja, saya terlupa
usia semakin meningkat dan tak kahwin. Hidup saya cuma rumah dan tempat kerja
saja. Sebelum pukul 8 saya dah mula bekerja dan balik pukul 6 petang ada
kalanya lewat malam. Dan bila kerja banyak ada kalanya sampai pagi. Hari Ahad
dan Sabtu sama saja. Ada satu ketika rutin ini berterusan hingga 114 hari,
termasuk hujung minggu dan cuti umum, hingga risau ibu di kampung.
Saya hanya lulus MCE, tetapi nasib menyebelahi
saya. Jawatan kerajaan yang dipegang adalah idaman ramai. Pendapatannya lumayan
bagi seorang bujang umur 20-an, dapat kereta baru, dan dihormati ramai, tentu
glamor juga di mata gadis-gadis.
Tetapi kerana taksub dengan kerja, saya lupa
dunia, hiburan dan hidup berkeluarga. Akhirnya ketua jabatan, seorang pengarah
merancang konspirasi menjodohkan saya kerana tidak mahu melihat hidup saya
habis di pejabat.
Awal tahun 70-an usia dah dekat 30 tahun masih
bujang. Di pejabat, saya digelar the most
eligible bachelor. Konspirasi mereka menjadi, mereka memaksa saya berkahwin
dengan seorang gadis yang boleh dikatakan cantik juga.
Anak ulama daripada keluarga agak tersohor dan
dikenali secara peribadi oleh ketua jabatan saya. Hampir setahun berkenalan,
akhirnya saya mendirikan rumah tangga dengan Hamizan.
Belum dua tahun berkahwin, Hamizan melahirkan
anak, disusuli seorang lagi tiga tahun kemudian dan ketiga, lima tahun
kemudian. Dalam pada itu saya dinaikkan pangkat, melayakkan saya menduduki
banglo kuarters kerajaan di KL. Saya juga dianugerahkan bintang kebesaran
Persekutuan, semua dalam tempoh kurang 13 tahun saya bertugas.
Hamizan bekerja di sebuah badan berkanun. Dia
gemar bersukan apa jenis pun dan aktif berpersatuan. Rajin menyertai kegiatan
kesenian dan kebudayaan, seperti menari dan berdrama. Kebolehannya ini
membawanya ke seluruh negara dan ASEAN dalam misi mengeratkan silaturahim
antara badan-badan yang sama antara negara tersebut.
Kerana aktif berpersatuan, dia sering pulang
lewat selepas pukul 8 malam dan kadangkala sehingga pukul 10 malam. Saya tidak
merasa syak wasangka kerana kami diketahui ramai sebagai pasangan ideal. Tetap
bergurau senda, berpegang tangan semasa berjalan dan tidak kurang menunjukkan
affection pada bila-bila masa. Kami saling sayang menyayangi.
Suatu hari lebih kurang sedekad lalu, seorang
hamba Allah menelefon saya dan bertanya mengapa saya biarkan isteri diusung
orang merata tempat. Saya jadi bingung kerana selama ini Hamizan tidak
menunjukkan sebarang tanda dia curang selain pulang lewat. Sungguhpun saya
sangsi cerita pemanggil itu, namun hati saya mula curiga. Saya bawa bertenang,
dan tidak terburu buru menyergah Hamizan. Saya cuba siasat sendiri.
Suatu hari saya pulang pukul 3 pagi, dengan
kehendak Allah jua saya ternampak bukti pertama sebuah diari di sebelah
Hamizan, ketika itu dia tertidur. Hampir pitam saya bila membelek diari itu.
Rupa-rupanya dia keluar masuk hotel dengan teman-teman lelakinya, termasuk
orang berpangkat tertinggi di jabatannya, juga berpangkat rendah.
Bila diajukan dengan bukti Hamizan tidak dapat
mengelak daripada mengakuinya. Dia menceritakan segala-galanya, termasuk
kecurangannya. Mahu saya cekik dia ketika itu. Tapi ingatkan anak-anak dan
maruah keluarga, saya mengucap berkali-kali. Ketika itu anak-anak sedang
membesar dan pencapaian pelajaran mereka amat menggalakkan. Mengenangkan masa
depan mereka, saya tidak bertindak. Kalau dulu saya berkorban untuk
adik-beradik, kali ini saya berkorban untuk anak-anak, maruah mereka dan
keluarga saya.
Walaupun marah, namun saya beri amaran keras
bahawa sekiranya perbuatan ini berulang lagi padahnya amat berat. Dia menangis
meminta ampun.
Malangnya pisang berbuah banyak kali. Hamizan
mengulangi kegiatannya meskipun tidak lagi pulang lewat. Kali ini saya menemui
bukti setelah menerobos masuk ke
e-mailnya. Kali ini temannya seorang jurutera
sebuah syarikat telekomunikasi dan seorang jeneral yang pernah dikenali semasa
remaja. Saya tak mahu marah lagi, kerana inilah sifat buruknya yang sebenar.
Mulai hari itu antara kami sudah tidak ada apa-apa.
Namun untuk meyakinkannya saya hubungi
teman-temannya itu, dan berjaya mendapatkan pengakuan bertulis mereka, ada juga
secara lisan. Saya beritahu mereka perbuatan mereka akan ada balasannya, tiada statute of limitation, bermakna
balasannya mungkin serta-merta, lepas lima tahun atau 20 tahun, bila-bila saja.
Allah maha besar.
Apa yang menghairankan saya, Hamizan bukan anak
orang sembarangan, dia anak ulama, pandai mengaji al-Quran kalau berlagu ala
qari terkenal Ismail Hashim, baca Yasin setiap malam Jumaat dari dulu sampai
sekarang, sembahyang, puasa, termasuk yang sunat, tak pernah tinggal,
bertudung, pakaian sopan. Malah kalau berzanji merdu suaranya. Setelah
difikirkan baru saya sedar, apa yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata saya
daripada melihat maksiat dan kecurangan yang dilakukan di luar.
Walaupun saya begitu marah tetapi memukul tidak
sekali-kali. Saya bawa bertenang kerana memikirkan anak-anak kami ketika itu
sedang membesar. Tetapi sedihnya peristiwa pahit dalam kehidupan saya, belum
berakhir. Satu hari anak kedua saya Nuraine yang melanjutkan pelajaran dalam
bidang kejuruteraan di IPTA pulang bercuti. Sampai di rumah dia terus memeluk
saya dengan tangisan. Katanya, dia bukan anak saya. Darah kami berlainan.
Saya terkejut besar. Bila saya tanya mana dia
tahu, katanya ketika menderma darah dia dapati jenis darahnya tidak ada
persamaan dengan darah saya. Saya langsung tidak terfikir kecurangan Hamizan
sampai ke tahap ini.
Hamizan ketika ditanya menafikan, namun ujian
darah membuktikan bahawa Nuraine adik-beradik dengan anak-anak saya yang lain,
satu emak tetapi lain ayah. Hamizan tetap berdegil tidak mengakui kesahihan
ujian tersebut, meskipun saya dapat agak siapa sebenarnya ayah Nuraine.
Malah pernah rakan-rakan sepejabat Hamizan ada
mengatakan wajah Nuraine sama seperti salah seorang pegawai tinggi di
pejabatnya. Tetapi Hamizan menafikan. Bukan sekali dua wajah Nuraine menjadi
pertanyaan ramai, banyak kali.
Hamizan kini masih sebumbung dengan saya, tetapi
saya tidak pernah menyentuhnya sejak hampir 10 tahun lalu. Anak-anak tidak
menghormatinya lagi. Mereka enggan bertegur sapa, tidak bercakap sopan, kalau
bercakap pun dengan kasar, membuatkan Hamizan menangis.
Anak-anak tahu perbuatan keji emak mereka dan
tahu pengorbanan saya demi menjaga hati, maruah dan pembelajaran mereka. Anak
sulung saya kini star-performer di
jabatannya. Nuraine mewakili syarikatnya bertugas di Eropah sementara anak
ketiga akan tamat pengajian tidak lama lagi. Inilah pengorbanan saya. Biar hati
lebur asal anak-anak bahagia.
Yang penting saya tidak mahu korbankan masa
depan mereka dengan sikap saya yang tidak sabar dan mengikutkan rasa saya.
Nuraine hampir setiap hari menelefon saya
bertanya khabar. Anak-anak lebih sayangkan saya dan lebih suka berbincang dan
berbual dengan saya daripada emak mereka. Inilah sebabnya saya masih tidak
menceraikan Hamizan.
Saya tetap tidak mengampunkan Hamizan. Biar dia
nazak dan meminta maaf atau saya sedang nazak dan dia sujud menangis meminta
ampun, saya tetap tidak akan memaafkannya. Saya tahu Allah Maha Pengampun, Nabi
Muhammad juga mengampunkan umatnya. Namun, saya bukan Allah dan saya juga bukan
Nabi Muhammad. Saya seorang biasa dan tidak akan melakukan sesuatu untuk
menyamai Allah atau Nabi.
Ada saya terbaca bahawa ibadah seseorang isteri
tidak diterima Allah sekiranya dia melakukan dosa besar terhadap suaminya dan
tidak mendapat pengampunan daripadanya. Jika benar, saya tidak akan
mengampunkan apa juga dosa Hamizan. Sungguh saya tidak menyangka kebahagiaan,
kesenangan, kesetiaan dan kepercayaan yang saya curahkan kepada dia
disia-siakan.
Kalaulah membunuh bukan satu kesalahan dan tidak
membawa aib kepada keluarga, sudah lama saya cincang-cincang Hamizan untuk
menjadi jamuan anjing-anjing liar di tepi jalan dengan daging busuknya,
demikian cerita Zain.
Nampaknya Zain telah melakukan pengorbanan besar
bukan sahaja untuk adik-beradiknya, anak-anaknya malah menjaga nama baik dan
maruah mentuanya. Namun saya tertanya-tanya apakah Zain sudah bertanya kehendak
Hamizan untuk masa depannya? Mungkin dia ingin menjadi burung yang terbang
bebas? Kepada pembaca, dapatkah anda pertimbangkan jika mempunyai isteri yang
curang seperti ini?.
No comments:
Post a Comment