Tanpa sebarang petunjuk jelas, tiada siapa yang
mengetahui di mana lokasi Boeing 777-200 MH370 meskipun pesawat terbabit
mempunyai antara kelengkapan tercanggih di dunia.
Pesawat MH370 jenis Boeing 777-200 yang berlepas dari
Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.41 pagi Sabtu lalu ke Beijing
membawa 239 penumpang, termasuk 12 anak kapal dan dua bayi. Pesawat itu
sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing jam 6.30 pagi
Sabtu dengan membawa 14 kerakyatan.
Masing-masing 152 penumpang dari China; Malaysia (38);
Indonesia (12); Australia (7); Perancis (3); Amerika Syarikat (4); New Zealand
(2); Ukraine (2); Kanada (2) dan masing-masing seorang dari Rusia; Itali;
Taiwan; Belanda dan Austria. Kedua-dua bayi berasal dari China dan Amerika
Syarikat.
Pesawat dipandu Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dengan
pegawai pertama, Fariq Ab Hamid, 27, yang kali terakhir dikesan di Latitud
065515 Utara dan Logitud 103443 Timur iaitu kawasan sekitar Kota Bharu,
Kelantan menghala ke Laut China Selatan.
Dari aspek komunikasi, timbul persoalan bagaimana pesawat
secanggih itu gagal menghantar isyarat walau sedetik dan hilang begitu saja.
Pesawat Boeing 777-200 dikenali sebagai antara pesawat
paling selamat dengan hanya dua kejadian berlaku membabitkan Asiana Airlines
dan British Airways.
Asiana Airlines terbabit dalam satu kejadian di San
Francisco, Amerika Syarikat dan menyebabkan tiga individu terkorban manakala
British Airways pula terlajak di landasan ketika mendarat, namun tiada
kemalangan jiwa berlaku.
Oleh itu, kejadian Malaysia Airlines MH370 agak
mengejutkan ramai orang dan meninggalkan misteri yang sangat besar.
Agak mustahil bagi sebuah pesawat hilang begitu saja
tanpa sebarang amaran seperti ‘mayday’ atau ‘pan pan pan’.
Selain itu, pesawat Boeing 777 dilengkapi dengan sistem
komunikasi yang canggih seperti radio VHF memungkinkan komunikasi radio
sehingga 402 kilometer (km) selain HF yang mampu berkomunikasi sehingga 1609km.
Malah, teknologi komunikasi yang disediakan termasuk
Controller Pilot Data Link Communication (CPDLC).
CPDLC menyediakan komunikasi data udara-darat untuk
perkhidmatan termasuk satu set elemen mesej pelepasan, maklumat atau permintaan
yang sesuai dengan ayat yang digunakan dalam prosedur kawalan suara trafik
udara.
Mesin ini disediakan dengan keupayaan untuk mengeluarkan
tahap tugasan, perubahan laluan, kelajuan dan tugasan frekuensi radio.
Walau bagaimanapun, menjadi misteri apabila pesawat MH370
tidak mengeluarkan sebarang panggilan kecemasan terutama pesawat Boeing 777
dilengkapi dengan CPDLC.
Marilah kita mendoakan segala yang baik bagi pesawat
MH370!
Walaubagaimana canggihpun teknologi ciptaan manusia,
tidak mampu menandingi zat yang maha pencipta. Firman Allah dalam surah Yaasin:
ayat 41-44.
Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami
membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat; (41) Dan
Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang
mereka dapat mengenderainya. (42) Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan
mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi
pertolongan kepada mereka dan mereka juga tidak dapat diselamatkan; (43)
Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup
kepada mereka hingga ke suatu masa. (44)
No comments:
Post a Comment