Wednesday, November 20, 2013

Haiyan Sebabkan Mayat Terkeluar Daripada Kubur




Seorang penduduk memerhatikan kerosakan di sebuah kawasan
perkuburan yang turut mengakibatkan mayat, rangka serta
tengkorak terkeluar daripada kubur di bandar Hernani,
wilayah Samar Timur, tengah Filipina, kelmarin. - AFP


Haiyan Sebabkan Mayat Terkeluar Daripada Kubur

HERNANI, FILIPINA 19 Nov. - Kekuatan Taufan Haiyan yang melanda negara ini dengan kelajuan angin kira-kira 314 kilometer sejam bukan sahaja membawa kemusnahan kepada harta benda, malah turut menyebabkan mayat dan rangka manusia terkeluar daripada perkuburan.

Sukarelawan, Claire Gregorio berkata, keadaan itu berlaku di bandar Hernani, wilayah Samar Timur.

"Keadaan ini tidak ubah seperti mimpi negeri apabila beberapa mayat, rangka serta batu nisan terkeluar daripada kubur akibat taufan berkenaan.

"Mayat-mayat, rangka serta tengkorak juga boleh dilihat di atas jalan akibat dibawa angin kencang, manakala kubur yang diperbuat daripada konkrit dan marmar juga pecah," katanya.

Gregorio berkata, taufan itu juga telah memusnahkan kubur dan menarik keluar mayat seorang lelaki yang baru dua hari dikebumikan sebelum taufan melanda.

Katanya lagi, Taufan Haiyan adalah taufan yang terkuat pernah melanda negara itu dan telah membunuh sekurang-kurangnya 75 penduduk di bandar itu selain 45 lagi dilaporkan hilang.

Sementara itu, seorang petani Luciano Habagat, 70, terpaksa mengharungi detik cemas apabila rumahnya dipukul ombak besar akibat Haiyan.

"Seluruh kawasan menjadi gelap ketika taufan datang dan suasana menjadi kelam-kabut apabila semua orang berlari ke sekolah dan bukit berdekatan untuk mencari perlindungan," ujarnya.

Dalam pada itu, AFP melaporkan selepas seminggu tragedi itu berlaku, seramai 3,976 orang telah terkorban, dengan 1,600 orang disenaraikan masih hilang, sementara empat juta lagi kehilangan tempat tinggal.

Penduduk juga dilaporkan terputus bekalan elektrik, air dan bekalan makanan pula dilaporkan masih terhad. – AFP


@Ingatlah, sesuatu bencana atau azab yang menimpa sesuatu kaum menurut al-Quran boleh jadi disebabkan dosa yang dilakukan. Ia juga sebagai satu ujian dan cubaan ke atas manusia.

Dalam surah al-A’raf ayat 96, Allah menegaskan kepada manusia: “Jika sekiranya penduduk kota-kota beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.”

Dalam surah al-A’raf ayat 56 kita temui firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah Allah memperbaikinya.”

Apakah kita sentiasa perhatikan peringatan Allah ini dalam liku kehidupan di dunia ini? Jadi, mulai hari ini marilah kita menghayati sepenuhnya segala pesanan Allah kepada kita.

Janganlah hanya berlaku sesuatu bencana, maka pada ketika itulah baru kita hendak menyesal.

Bencana alam tidak berlaku begitu sahaja, tetapi menghala kepada elemen sebab musababnya. Hukum alam dan ujian bencana alam semuanya datang daripada Allah. Namun, apakah yang kita ambil pengajaran daripadanya?

Insaflah bahawa segala bencana alam itu tidak berlaku dengan percuma dan berlalu dengan sia-sia, tetapi untuk dijadikan iktibar dan menimbulkan keinsafan di lubuk hati manusia.

Diberi peringatan lagi untuk renungan bersama;



No comments:

Post a Comment