Tuesday, February 18, 2014

Muflis Kerana Suami

Foto Hiasan


Jom kita kongsi satu kisah masyarakat ini sebagai teladan.
Orang lama selalu berpesan, Jika hendak mengenali hati budi seseorang itu, tanyalah musuhnya.
 
Pakar juga berkata, kebanyakan kes rogol dari orang yang dikenali mangsa.
Dan, yang selalu kena tipu juga dari orang yang dikenali...


Muflis kerana suami

"SAYA setuju jadi isteri Jo bukan kerana dia kaya, tetapi kerana rasa ada kesesuaian antara kami. Kedua, kerana dia rajin bekerja, kalau tak tahu, dia belajar, sebab itu dia jadi kesayangan abang Su. Masa datang dari kampung masuk kumpulan agama di Sungai Pencala dulu, dia mentah tak ada kemahiran. Abang Su yang ajar dan ambil dia bekerja.

"Tetapi bila Jo beritahu dia nak kahwin, abang Su marah. Alasan abang Su, Jo perlu banyak belajar lagi. Tapi Jo berkeras mahu berkahwin juga dan kami berkahwin di perkampungan tersebut atas bantuan ahli lain. Itu cerita Suriyati ketika kami bertemu baru-baru ini.

"Ketika tidak ada duit untuk memulakan bisnes, ayah dan emak saya jadi tempat dia pinjam duit. Bukan itu sahaja, malah ayah beri pakaiannya termasuk seluar dan kasut untuk Jo pergi bekerja dan jumpa bos-bos besar di pejabat kerajaan memohon pekerjaan. Sebab dia cuma ada tiga helai jubah putih dan serban besar itu sahaja. Kasut pun cuma selipar.

"Bermula dari situlah akhirnya dia berjaya menubuhkan syarikat sendiri, dan menerima lebih banyak projek. Saya kononnya dilantik jadi Pengarah Urusan (MD), tetapi saya tak tahu apa benda pun di pejabat tu, selain tak dibenarkan datang ke pejabat, saya tak boleh telefon pejabat, apa lagi berbual dengan staf syarikat. Dia tuduh saya ganggu perjalanan syarikat.

"Kerja saya paling penting menandatangani surat syarikat yang saya tak tahu apa butirannya. Bila saya mula tercium benda yang tak betul, Jo lakukan di pejabat, saya tak mahu tandatangan surat yang disuruh. Malangnya saya dimaki dan dipukul, kerana ingkar.
"Saya bantah, sebab saya minta dia terangkan satu persatu apa yang saya tanda tangan tetapi dia enggan beritahu selain memaksa saya terus tandatangan. Saya juga pernah dipijak kerana membantah dan menolak untuk tandatangan surat yang diberikan.

"Apa yang membimbangan saya sebelum itu Jo sudah beli sebuah lagi kereta Mercedes baru, selain beberapa buah kereta yang sedia ada seperti sebuah Perdana, sebuah 4WD, dua buah Waja. Caravan pun ada, yang saya tak tahu apa gunanya. Saya cuma diberikan sebuah Kelisa untuk menghantar dan mengambil anak sekolah. "Lebih membimbangkan saya, mana dia dapat duit begitu banyak membeli kereta mewah tersebut? Lagi pun ada beberapa buah kereta tersebut belum pun habis dibayar ansurannya. Selain itu Jo beli sebuah banglo daripada orang yang didakwa telah menjual kepadanya. Sebelum itu dia ada sebuah kondo, semuanya terletak di Damansara Damai. Jo mendakwa memiliki harta berjumlah lebih RM5 juta dan dia layak membuat pinjaman.

"Saya pelik mengapa Jo buat banyak hutang. Akhirnya, persoalan saya terjawab apabila seorang kakitangan Jo, bernama Ikin telefon beritahu Jo telah berkahwin dan ada seorang anak. Katanya, dia beritahu sebab kasihankan saya. Tetapi menurut seorang staf lain, sebenarnya Ikin buka rahsia Jo sebab marahkan Jo tak jadi kahwin dengannya.

"Bila rahsia terbongkar, saya tanya Jo apakah benar dia sudah berkahwin, Jo tak nafikan malah mahu ceraikan saya. Beberapa bulan kemudian kerana saya buat aduan di mahkamah syariah, maka dia berjanji di mahkamah syariah akan beri saya nafkah anak RM3,000 sebulan untuk tiga anak selain mutaah saya RM13,000 untuk 13 tahun kami berkahwin.

"Tak lama kemudian saya dapat tahu syarikat Jo tenat. Dia kena tipu melibatkan jumlah ratusan ribu oleh orang kepercayaannya. Ada janji nak dapatkan gelaran Datuk, janji nak bagi kontrak besar, tetapi semua itu bohong. Duit yang dilabur habis, kawan pun hilang. Akhirnya beberapa orang kakitangan jadi mangsa terpaksa diberhentikan kerana syarikat semakin tenat dan tunggu masa gulung tikar.

"Selepas diceraikan dan tak dapat nafkah, saya terpaksa bekerja jadi tukang cuci pejabat semata-mata untuk mendapatkan sedikit wang untuk makan dan belanja sekolah anak. Di sebelah malam saya jadi tukang masak di gerai. Begitulah perjalanan hidup saya yang amat susah selama 4 tahun sebelum saya mendapat satu berita mengejutkan tahun lalu.

"Saya dapat tahu saya telah muflis. Saya pergi ke Pejabat Insolvensi untuk serah diri atas nasihat kawan. Pegawai itu mengesahkan saya dan bekas suami ada berhutang sejumlah RM1.4 juta dan beliau arahkan saya bayar RM1,500 sebulan. Dia tak percaya saya tak ada duit. Malah untuk teruskan hidup saya terpaksa memohon bantuan zakat.

"Oleh kerana saya dapat RM200 daripada zakat, pegawai itu desak saya bayar RM100 sebulan. Pegawai itu beritahu saya jadi penjamin pinjaman bekas suami dari CGC sebanyak RM1.4 juta. Walaupun saya beritahu tak tahu tentang pinjaman tersebut tetapi mereka tetap desak suruh bayar, dan meminta saya mencari di mana suami saya tinggal sama ada di negeri ini atau keluar negeri supaya bayar hutang.

"Saya kesal dengan perbuatan Jo, dia hidup senang dapat berjuta ringgit, ada rumah dan kereta, tetapi mengapa saya pula yang kena bayar hutang. Saya cadangkan pihak bank atau CGC tubuhkan unit khas lengkap dengan pegawai mereka seperti detektif untuk cari orang yang berhutang, supaya mereka boleh segera bayar hutang. Mungkin bank atau CGC boleh bertindak lelong harta benda mereka untuk dapatkan duit mereka semula. Bukannya cari jalan mudah dengan memufliskan penjamin dan suruh penjamin bayar hutang. Mengapa penjamin seperti saya jadi korban untuk kesenangan orang lain? Bukan saya yang hidup senang dengan duit penipuan mereka. Ini tidak adil.

Demikian keluh Suriyati tentang masalahnya jadi muflis, sedangkan dia ingin membuat pinjaman untuk berniaga makanan dekat rumahnya. Katanya dia perlu kerja keras kerana dia ada anak yang perlu ditanggung dan diberi makan pakai selain belanja persekolahannya.

Dipetik dari artikal utusan.

No comments:

Post a Comment