Friday, March 15, 2013

PI Bala Meninggal Dunia


SUNGAI BULOH 15 MAC: Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) yang terlibat dalam kontroversi pembunuhan kejam wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu meninggal dunia pada jam 2.30 petang ini.

Kematian itu disahkan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dalam twitter.

Beliau memaklumkan, Bala menghembuskan nafas terakhir dalam ambulan ketika dalam perjalanan dari Rawang ke Hospital Sungai Buloh.

Menurut twitter Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin, mayat kini di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Bala.

“Takziah kepada keluarga,” kata Anwar di twitter.

Turut mengucap takziah, ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

“Saya terkejut (kematian Bala). Sampaikan salam takziah kepada keluarga mendiang,” mesej Deepak kepada Keadilan Daily.

Bala yang pulang ke Malaysia 24 Februari lalu menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Deepak bagi merungkai misteri pembunuhan Altantuya.

Sebelum ini, Bala mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan pembunuhan Altantuya, dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.

Beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada 5 Mac lalu, sehari sebelum dijadual berucap di ceramah ‘Siapa Arah Bunuh Altantuya’ di Parit Sulong, Johor.

Rabu lalu, dilaporkan tiga arteri Bala tersumbat dan separuh daripada jantung berhenti berdenyut memaksa beliau berhenti terlibat sementara dalam kempen Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya.

Bala sebelum ini berkhidmat dengan Abdul Razak Baginda, rakan rapat kepada Perdana Menteri yang menerima komisen  pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM500 juta.

Pada Julai 2008, beliau mendedahkan akuan bersumpah (SD) mengaitkan Perdana Menteri dengan kes pembunuhan Altantuya yang dikatakan menjadi orang tengah dalam transaksi berkenaan.

Dalam SD tersebut, Bala juga mendakwa Najib pernah melakukan hubungan seks dengan Altantuya, sebelum menarik balik dakwaannya dalam akuan bersumpah kedua.

Selepas itu, beliau menghilangkan diri ke luar negara dan pulang semula ke Malaysia pada 24 Februari lepas.

No comments:

Post a Comment