Friday, February 22, 2013

Untungnya Raja Ropiaah, lihat cara dia buat duit





Untungnya Raja Ropiaah, lihat cara dia buat duit     
KUALA LUMPUR: Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah, yang memiliki Awan Megah Sdn Bhd (AMSB) mendapat durian runtuh daripada perjanjian yang ditandatanganinya dengan  anak syarikat  Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Perjanjian itu ditandatangani antara Bakti Wira Sdn Bhd (BWSB), sebuah anak syarikat Boustead Holdings Berhad dan secara langsung dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat Astacanggih Sdn Bhd yang dimiliki saudagar permaidani, Deepak Jaikishan.

Menurut Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, yang menjadi seorang pemegang saham minoriti Boustead Holding Bhd untuk meneliti dokumen perjanjian, Raja Ropiaah telah “dianugerahkan” lebihan RM130 juta dalam keuntungan hasil daripada perjanjian tersebut.

"Saya benar-benar terkejut dengan beberapa urusniaga yang sebelum ini disembunyikan dari pengetahuan umum dan pemegang saham yang lain kerana tidak difailkan kepada Bursa Malaysia.

"Urusniaga-urusniaga ini dirancang dan dimeterai dengan satu tujuan iaitu memberikan durian runtuh kepada Raja Ropiaah,” kata Rafizi dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Antara fakta yang dipetik Rafizi dalam perjanjian berkenaan:

1.     Kementerian Pertahanan telah menganugerahkan kontrak tambahan
sebanyak RM15 juta kepada AMSB.

2.     23.2 ekar tanah daripada 232.2 ekar tanah yang dipindahkan kepada BWSB kekal di tangan Raja Ropiaah walaupun pembayaran sebanyak RM130 juta telah dibuat atas alasan mengembalikan tanah-tanah kepada anak syarikat LTAT.

3.     Boustead Holdings Berhad juga mendahulukan wang sebanyak RM4 juta
kepada Raja Ropiaah membeli dan menguasai 20 peratus pegangan di dalam ACSB.

4.     BWSB diarahkan untuk menjelaskan apa-apa hutang agar perjanjian usahasama di antara Raja Ropiaah dan GuppyUnip dapat dibatalkan.

Di dalam kertas perjanjian kedua melibatkan pembelian saham yang melibatkan BWSB dan pemegang saham ACSB, Rafizi mendakwa wujud syarat jelas untuk Deepak tidak membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran Boustead Holdings Berhad.

"Ia mengesahkan dakwaan saya sebelum ini bahawa perjanjian bertujuan menutup mulut Deepak," kata Rafizi.

Selain itu, Rafizi mengulangi cabarannya kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menyaman beliau.

“Buat masa sekarang, saya ingin menegaskan kembali bahawa Datuk Seri Zahid Hamidi telah gagal dalam menjaga kepentingan dan kebajikan angkatan tentera.

"Saya juga masih menunggu saman beliau yang belum lagi dihantar kepada saya, agar perkara ini boleh didedahkan juga di mahkamah,” tambah Rafizi.

-harakahdaily

No comments:

Post a Comment