Seorang tentera gugur, dua pengganas mati dalam
pertempuran di Sungai Nyamuk
LAHAD DATU: Seorang anggota tentera gugur manakala
seorang lagi cedera dalam pertempuran lima jam dengan kumpulan penceroboh
militan di Sungai Nyamuk dekat Tanjung Batu di sini, hari ini.
Dua penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran bermula
9 pagi itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.
Jenazah prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dijangka tiba
di Pangkalan Tentera Udara di Subang pagi esok.
Bercakap pada sidang akhbar pada pukul 8 malam ini, Hamza
berkata anggota tentera yang cedera kini dalam keadaan stabil dan dirawat di
Hospital Sandakan.
Beliau berkata, bilangan musuh dalam pertempuran itu
dipercayai lima orang dan seorang lagi musuh mungkin cedera.
"Kami menemui dua mayat," katanya.
Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin
pagi ini memberitahu bahawa pasukan keselamatan diserang hendap oleh kumpulan
pengganas dan selepas itu mereka melarikan diri sebelum dijejaki pasukan
keselamatan.
Hamza berkata, dengan pertempuran pagi ini, pasukan
keselamatan menembak mati 56 musuh.
"Seramai 97 individu ditahan kerana disyaki
mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh manakala 156 orang ditahan kerana
berada di zon larangan Operasi Daulat," katanya.
Beliau berkata, pasukan keselamatan akan memperketat
kawalan di kawasan itu kerana Sungai Nyamuk berada di luar Kampung Tanduo dan
berhampiran Tanjung Batu.
Sementara itu, Hamza turut memberitahu bahawa seorang anggota
tentera maut apabila trak yang dipandunya terbabas di Jalan Lahad
Datu-Cenderawasih, hari ini.
"Anggota itu cedera parah dan meninggal dunia ketika
menerima rawatan pasukan perubatan," katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment