SHAH ALAM - Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersedia untuk menghadapi
serangan fitnah baru dibawa Barisan Nasional (BN) khususnya Umno termasuk
cubaan melabel beliau sebagai dalang insiden warga Filipina menceroboh Lahad
Datu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Sehubungan itu tegas Anwar, walaupun sejak akhir-akhir
ini banyak tipu muslihat BN dan Umno satu-persatu terbongkar, tidak bermakna
cubaan mereka untuk menghancurkan karier politik beliau akan berhasil.
"Cara media perdana mainkan saya (kaitkan) isu Lahad
Datu, saya akan hadapinya, namun undur tidak sekali.
"...tipu muslihat mereka terbongkar satu persatu,
saya tak rancang pun, tapi ALLAH tunjukkan.
"...muncul (isu klip video) Lingam, kemudian (ahli
perniagaan permaidani) Deepak, (penyiasat bebas) Bala dan terkini bapa Saiful
Bukhari, beliau sendiri minta maaf kepada saya dan keluarga," katanya pada
majlis sambutan ulang tahun kelima pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor,
lewat malam tadi.
Menurut Anwar, pendedahan bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim
kelmarin tidak diketahuinya malah ia juga tidak dirancang kerana beliau yakin
ia adalah pertolongan ALLAH dan berkat doa yang tidak putus-putus daripada
rakyat.
Pagi semalam sambutan yang serupa diadakan di Pulau
Pinang.
Di Georgetown, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata,
dari awal lagi beliau menegaskan bahawa tidak bersalah.
"Mahkamah juga membuat keputusan yang sama apabila
ia membebaskan saya tahun lepas," kata Anwar.
"Bagi saya, tiada apa yang berubah kerana dari awal
lagi saya telah menegaskan bahawa saya tidak bersalah, bahawa ini adalah satu
fitnah yang berniat jahat," kata beliau lagi.
Dalam pada itu, Anwar mendakwa baru-baru terbongkar lagi
usaha yang dilakukan BN apabila dana sebanyak RM1.2 juta dibayar kepada seorang
penulis berbangsa Yahudi semata-mata untuk memburuk-burukkan dan memfitnah
beliau menggunakan pengaruh individu tersebut.
"Dua minggu lalu terbongkar lagi tipu daya Umno
apabila wang jutaan ringgit dibayar kepada penulis berbangsa Yahudi untuk
membuat kerja-kerja memfitnah dan mencemarkan nama Anwar.
"...dakyah dibongkarkan penulis akhbar New York
Times," dakwanya.
Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang turut hadir
pada majlis terbabit mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak
diberikan mandat dan tidak dipilih oleh rakyat.
Menurut beliau, Najib hanya meneruskan mandat Perdana
Menteri terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi secara lantikan terus sekali gus
ia tidak menjunjung semangat demokrasi yang kerap kali diuar-uarkan pemimpin
BN.
Kata Kit Siang, Najib bukan Perdana Menteri yang sah
kerana kredibilitinya dipertikaikan banyak pihak susulan beliau mengambil masa
yang lama untuk menetapkan tarikh PRU13.
"Buat pertama kali dalam sejarah negara ini yang
nasih tidak laksana pilihan raya selepas lima tahun atau habis penggal.
"...mungkin Najib takut dengan ramalan Prof Rahman
jadi kenyataan BN apabila hayat BN akan berakhir," katanya.
Selain itu, beliau yakin sekiranya rakyat bersatu padu
nescaya kawasan "fixed deposit" Umno-BN di beberapa negeri akan dapat
dipecahkan.
"Bukan senang nak ambil alih Putrajaya, tapi ia
boleh dicapai, jika rakyat bersatu padu, kita boleh pecahkan fixed deposit
Johor, Sabah dan Sarawak," tegasnya.
Seramai 2,500 penyokong hadir majlis itu manakala 10,000
orang pula melayari siaran langsung di TV selangor.
Hadir pada majlis itu Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim..
No comments:
Post a Comment