SALASILAH keluarga Jamalul Kiram III daripada Kesultanan
Sulu bermula semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Kiram I (1832-1842)
bin Sultan Muhammad Alimuddin III (1808).
Daripada Jamalul Kiram I, inilah bermulanya nama Kiram
dan nama ini berakhir semasa kemangkatan Sultan Jamalul Kiram II (1884-1936)
yang mangkat tanpa zuriat ketika kedatangan Amerika Syarikat (AS) ke Sulu.
AS mula menjajah Filipina dan wilayah-wilayahnya termasuk
wilayah-wilayah Kesultanan Sulu pada 14 Ogos, 1898 apabila tentera AS berjaya
menewaskan tentera Sepanyol di Manila.
Sultan Jamalul Kiram II juga merupakan Sultan Sulu yang
menandatangani perjanjian dengan Sepanyol bagi menyerahkan wilayah-wilayah,
kedaulatan dan kekuasaan Sulu kepada penjajah Sepanyol pada 1885.
Sebelum itu sultan-sultan Sulu terdahulu bersama-sama
penduduk Sulu bangsa Tausug telah bertarung nyawa berperang selama hampir tiga
abad bagi mempertahankan kedaulatan wilayah-wilayah Sulu daripada penjajah
Katolik Sepanyol.
Daripada laporan sejarah, sultan daripada keluarga Kiram
sering membuat kesilapan dalam pentadbiran dan mengkhianti kaum Tausug, bumi
Sulu serta agama Islam.
Dalam satu peristiwa, Sultan Jamalul Kiram II pernah
merestui tentera AS membunuh lebih 4,000 rakyat Sulu yang enggan membayar cukai
kepala kepada penjajah AS ketika itu.
Kaum Tausug melihat Sultan daripada keluarga Kiram
sebagai tali barut AS yang merestui pembunuhan kaum keluarga Datu dan Syarif
Tausug di Bud Bagsak dan Bud Dahu berhubung isu pembayaran cukai kepala kepada
AS.
Sultan Kiram terakhir itu terpaksa memberikan restu
kepada AS membunuh rakyatnya sendiri berjumlah lebih 4,000 orang (termasuk
1,600 yang mati syahid, termasuk wanita dan kanak-kanak) yang memilih menentang
AS dan perintah Sultan.
Malahan ada bukti waris-waris Kesultanan Sulu menuntut
supaya bayaran pajakan Sabah dinaikkan dan difahamkan arahan itu dikeluarkan
oleh Sultan Esmail Kiram II bin Datu Punjungan.
Ramai waris-waris Kesultanan Sulu yang lain menentang
bayaran kepada sembilan waris Kesultanan Sulu daripada keluarga Kiram oleh
Mahkamah Sesyen Borneo Utara pada 1939 dan menganggap kumpulan itu sebagai
`penjual negara dan sanggup menjual tanah
kubur ayahanda mereka sendiri.
Malahan Esmail Kiram turut didakwa mengugut Malaysia
untuk menambah bayaran wang pajakan Sabah untuk kepentingan keluarganya.
Keluarga Kiram sekali lagi menjadi pengkhianat bangsa
Tausug apabila menyerahkan wilayah-wilayah Sulu kepada kerajaan Filipina di
bawah era Ferdinand Marcos pada 1962 semasa Sultan Esmail I bin Rajamuda
Mawallilwasit.
Pada 11 Februari lalu, keluarga Kiram sekali lagi
menimbulkan angkara apabila pengikut Jamalul Kiram III menceroboh Lahad Datu,
Sabah menyebabkan lebih 60 pengikutnya terbunuh dalam pertempuran dengan
pasukan keselamatan Malaysia.
Keluarga Kiram sangat ramai. Ada keluarga daripada
sebelah Puteri Piyandao bin Sultan Badaruddin I, ada Kiram daripada jalur
keluarga Sultan Esmail I bin Rajamuda Mawallilwasit (Sultan inilah yang
menyerahkan Sulu kepada Filipina pada 1962) dan ada Kiram daripada Datu Punjungan
bin Rajamuda Mawallilwasit (ayahanda Jamalul Kiram III).
No comments:
Post a Comment