KESULTANAN Sulu di timur laut Nusantara dipercayai telah
wujud sejak penghujung abad ke-14.
Kemunculan Kesultanan Sulu boleh dikatakan hampir
serentak dengan kemunculan Kesultanan Melaka, Kesultanan Brunei di Borneo dan Kesultanan
Aceh di barat laut Nusantara.
Walaupun tidak ada tarikh tepat bila kesultanan ini
ditubuhkan dan siapakah tokoh sebenar yang menubuhkan Kesultanan Sulu, namun
kerajaan Sulu telahpun wujud sejak era empayar Hindu Majapahit lagi dan ia
kemudian berkembang sebagai sebuah kerajaan yang kuat di bawah Kesultanan Islam
Sulu setelah Islam tersebar di Nusantara.
Beberapa laporan menyebut, Kesultanan Islam Sulu
ditubuhkan pada 1458 oleh seorang ulama dari Johor yang dikenali sebagai Abu
Bakar yang tiba di Bwansa dekat Jolo.
Ketibaan Abu Bakar disambut baik oleh Rajah Baguinda
Buansa dan Datu serta ketua-ketua di Jolo kerana Abu Bakar juga merupakan
seorang yang berdarah raja.
Semasa berada di Sulu, Abu Bakar telah menyebarkan Islam
di kalangan kaum Tausug dan menyatukan penduduk yang tinggal di pantai dan di
bukit, yang sebelum itu berseteru.
Abu Bakar kemudian berkahwin dengan salah seorang puteri
Rajah Baguinda, Paramisali.
Selepas Rajah Baguinda mangkat, Abu Bakar kemudian
diangkat sebagai pemimpin Sulu dengan memakai gelaran Sharif ul-Hashim, dan
menjadi Sultan Sulu pertama dengan menjadikan Sulu sebagai sebuah kerajaan
Islam dan menggunakan hadis dan al-Quran sebagai undang-undang di bawah
pemerintahannya.
Sejak itu, Kesultanan Sulu menjadi sebuah kerajaan Islam
dan wilayah jajahannya meliputi Sulu, Borneo Utara termasuk Sabah, Palawan,
Mindoro dan Basilan.
Kesemua Sultan Sulu dan Datu-datu di dalam wilayah Sulu
selepas beliau kemudian mendakwa adalah waris atau keturunan kepada Abu Bakar.
Pemerintahan Abu Bakar bertahan selama 30 tahun dan
selepas kemangkatannya, anaknya Kamal-ud-Din telah menggantikannya sebagai
Sultan Sulu. Makam Abu Bakar masih lagi boleh dilawat di Gunung Tumatangis.
Ketokohan dan kehebatan Abu Bakar memimpin Kesultanan
Sulu di bawah panji-panji Islam telah menukar bangsa Tausug sebagai pejuang
Islam yang berani dan sanggup mati syahid bagi mempertahankan Islam dan bumi
Sulu daripada penjajah ketika itu.
Oleh kerana itu, penjajah Sepanyol yang menjajah Filipina
selama 333 tahun sejak kedatangan Ferdinand Magellan pada 16 Mac 1521 gagal
menewaskan tentera Kerajaan Islam Kesultanan Sulu dalam peperangan yang
berlarutan hampir tiga abad dan Sepanyol hanya berjaya menawan Sulu pada hujung
tempoh penjajahannya dengan menandatangani perjanjian dengan Kesultanan Sulu
pada 1885.
Perjanjian itulah buat pertama kalinya menyaksikan
terhapusnya Kesultanan Sulu apabila Sultan Sulu ketika itu Sultan Jamalul Kiram
II bertindak menyerahkan wilayah, kerajaan dan kedaulatannya kepada Sepanyol.
Malahan Jamalul Kiram II jugalah yang bertindak
menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat di bawah Perjanjianm
Carpenter pada 1915 menyerahkan wilayah, kedaulatan, dan kekuasaan Sulu kepada
Amerika Syarikat.
Sejak itu, Kesultanan Sulu ibarat sebuah institusi beraja
tanpa negara, kerajaan, kedaulatan dan kekuasaan.
Perjalanan sejarah Kesultanan Sulu sejak ditubuhkan
sehinggalah kejatuhannya, penuh dengan warna-warni seperti mana
kerajaan-kerajaan monarki yang lain di dunia, penuh dengan hasad dengki,
pembunuhan dan perebutan kuasa.
Walaupun Kesultanan Sulu kini hanya tinggal sebagai
sebuah institusi beraja, isu perebutan takhta ke atas institusi kesultanan itu
masih berterusan antara waris-warisnya sampai sekarang.
Kesultanan Sulu
sudah tiada, tuntutan Sabah terbatal [sinarHarian]
KOTA KINABALU - Penyertaan Sabah dalam gagasan atau
pembentukan Malaysia pada 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas negeri
ini yang dahulunya dikenali sebagai North Borneo, kata Prof Madya Dr Bilcher
Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pensyarah Sekolah Sains Sosial (Program Sejarah) itu
berkata berdasarkan perkara itu sebarang tuntutan hak ke atas negeri Sabah
ketika ini adalah terbatal.
"Tarikh penubuhan Malaysia pada tahun 1963
menghapuskan sebarang tuntutan ke atas Sabah dan pada tahun 1888, Sabah di
bawah naungan kolonial British dan pada tahun 1903 protokol telah menetapkan
jajahan Amerika Syarikat di Filipina tanpa Sabah.
"Pada tahun 1946, Sabah diserah kepada British dan
jelas pada tahun 1963 Sabah berada dalam Malaysia," katanya kepada
Bernama, di sini hari ini.
Justeru Dr Bilcher berkata, tindakan Jamarul Kiram III
menyerang Sabah dengan alasan menuntut hak warisan Kesultanan Sulu adalah satu
jenayah yang boleh disifatkan sebagai serangan pengganas.
Mengenai bayaran yang dibuat oleh kerajaan Malaysia
terhadap waris Kesultanan Sulu, beliau berkata ia cuma pampasan atau saguhati
perjanjian "sewa mati 1787" yang tertulis pajakan kekal.
"Maka pampasan itu dibayar sampai mati (istilah
dalam perjanjian ‘selagi ada bulan dan bintang’)," katanya
Mengupas kembali sejarah Sabah, Dr Bilcher berkata
penduduk Sabah telah memilih Malaysia (pada tahun 1963) seperti yang terkandung
dalam Laporan Cobbold.
“Cuma Sultan Sulu fikir orang Sabah adalah rakyatnya.
Rakyat adalah pengakuan taat setia pengikut. Tapi orang Sabah tidak mengakui
mereka ada sultan melainkan Gabenor (kini Yang Dipertua Negeri Sabah).
"Justeru itu, tuntutan yang mendakwa dirinya sebagai
pewaris Kesultanan ulu, jika ada sultan pun, ke atas Sabah adalah terbatal
melalui beberapa peringkat perjanjian sebelum ini.
“Hakikatnya, Sulu tidak ada sebuah kerajaan atau negara
yang membolehkan "ada hak" untuk membuat tuntutan. Tuntutan ini cuma
tuntutan individu semata-mata, yang tidak melibatkan orang ramai, tetapi
individu itu telah
memperalatkan orang ramai untuk mencapai kepentingan
dirinya sendiri,” katanya.
Oleh itu, Dr Bilcher berkata tindakan menyerang negara
luar adalah jenayah dalaman negara Filipina dan jenayah antarabangsa di
Malaysia.
"Melainkan jika individu itu memiliki kerakyatan
Malaysia, maka ini adalah jenayah yang berat, setara ancaman Komunis dahulu
atau pengganas,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, semasa menjelaskan isu sama, bekas
Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata bayaran AS$5,000 (RM15,500)
setahun oleh kerajaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu sehingga hari ini
bukanlah wang sewaan atau pajakan tetapi merupakan satu bentuk wang penghargaan
yang dikenali sebagai "cession".
Katanya beliau sendiri pernah melihat cek dengan jumlah
tersebut dibayar kepada waris Kesultanan Sulu ketika menjadi Menteri Luar dari
1999 hingga 2008.
"Wang penghargaan atau cession berkenaan sama
seperti duit penghargaan yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang kepada Sultan
Kedah apabila pulau itu diserahkan kepada British," jelas beliau kepada
Bernama.
Menegaskan Kesultanan Sulu yang ada hari ini bukan
kerajaan yang diiktiraf, Syed Hamid berkata, waris keluarga itu tidak layak
membawa tuntutan Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarangsa (ICJ).
"Ini kerana ICJ hanya menguruskan kes-kes yang
melibatkan kerajaan yang sah. Kesultanan Sulu bukan satu kerajaan,"
katanya.
Syed Hamid berkata, kuasa pentadbiran dan politik yang
ada pada Kesultanan Sulu dianggap berakhir apabila Sultan Jamalul Kiram II
menandatangani Perjanjian Carpenter pada tahun 1915 dengan penjajah Filipina
ketika itu iaitu Amerika.
Syed Hamid berkata cubaan menuntut Sabah pernah dibuat
oleh Filipina ketika Malaysia dan Indonesia membawa masalah tuntutan pulau
Sipadan dan Ligitan ke ICJ pada tahun 2001.
"Filipina cuba untuk turut serta dalam tuntutan itu.
Bagaimanapun ICJ terus menolak campur tangan Filipina dalam tuntutan Sipadan
dan Ligitan yang terletak dalam perairan Sabah dengan alasan tuntutan itu tidak
ada asas. Ini
jelas menunjukkan, Filipina sama sekali tidak mempunyai
hak ke atas negeri di bawah bayu itu," katanya.
Syed Hamid menegaskan Sabah merupakan wilayah Malaysia
yang berdaulat kerana Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan sebelum pembentukan
Malaysia melaporkan
bahawa rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka di dalam
Malaysia.
Sementara itu, pakar sejarah Prof Dr Ramlah Adam
menyatakan keyakinannya bahawa pihak kerajaan mempunyai dokumen perjanjian wang
penghargaan tersebut.
"Kerajaan Malaysia memang menyimpan dokumen itu
sebab selepas kita (kerajaan) ambil alih dari British kita ambil alih juga
segala perjanjian itu sebab soal 'cession money' itu sangat penting,"
katanya.
Tambahnya, perjanjian itu menyatakan wang penghargaan
akan diserahkan kepada waris bukannya kesultanan Sulu selagi 'ada bulan dan
bintang'.
"Perjanjiannya adalah selagi ada bulan dan bintang,
bukan ada tarikh, itu cara orang dulu buat perjanjian, saya tidak tengok
perjanjian itu tetapi saya
tahu ada perjanjian.
"Ia (wang penghargaan) diberi kepada waris bukan
kesultanan. Kesultanan Sulu telah tiada. Itu yang diperkatakan dalam sejarah
Sulu. Semasa kita membuat sejarah Malaysia kita tidak pernah menyentuh tentang
kerajaan Sulu ia termasuk dalam sejarah Filipina.
No comments:
Post a Comment