SHAH ALAM, 11 MAC:
Menghairankan. Walaupun konflik
berdarah di Lahad Datu terus dimanipulasi media kawalan UMNO-Barisan Nasional
(BN) mengaitkannya dengan pimpinan Pakatan Rakyat (PR), tetapi semakin ramai
pula mantan jeneral tentera menyertai PR.
Terkini ialah penyertaan Ketua Turus Angkatan Tentera
Darat, Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein bersama PKR pada 6 Mac lalu,
sebelumnya Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, Brig Jen (B) Datuk Abdul
Hadi Al-Khatab, Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid dan Brig Jen (B) Datuk
Najmi Ahmad secara terbuka mengisytiharkan sokongan mereka kepada PR.
Fenomena ini sudah tentu memberi gambaran jelas wujudnya
krisis keyakinan yang parah terhadap pentadbiran BN berhubung isu pertahanan
dan keselamatan negara.
“Siapa dua tahun lalu terfikir bahawa lima orang Jeneral
(tentera) termasuk yang berpangkat tertinggi memilih untuk menyokong Pakatan
Rakyat? Siapa dua tahun lalu yang terfikir Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin,
pendakwa kes saya pada 1998 dan ketua pendakwa kes pada 2008 sekarang menjadi
peguambela saya?
“Siapa yang menjangka bapa Saiful (Azlan Lazim) tiap hari
keluar masuk mahkamah sekarang memohon maaf kepada saya, Azizah dan keluarga,
dengan menyatakan ada konspirasi yang melibatkan pegawai pejabat Perdana
Menteri dalam kes Liwat II. Semua ini tidak akan berlaku tanpa iringan doa dari
rakyat,” ujar Anwar.
Mengulas isu pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Ketua
Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumpahan darah boleh dielak jika
kerajaan bertindak segera menghantar pasukan tentera.
“Mana boleh kita biarkan (pencerobohan), ini soal maruah
dan kedaulatan rakyat dan negara yang kita kena pertahankan,” tegasnya ketika
berucap pada Majlis Sambutan 5 Tahun Kerajaan Negeri Selangor, malam tadi.
Menurut Anwar, seperti yang dijelaskan kepadanya oleh
seorang daripada bekas jeneral angkatan tentera, kerajaan lewat menghantar
pasukan tentera sehingga menyebabkan pertumpahan darah.
Sehubungan itu, Anwar kecewa apabila isu keselamatan
negara terus dijadikan mainan politik media kawalan UMNO-BN dengan memberi
gambaran buruk sehingga lagu “Tanya sama Najib” yang sering dinyanyikan beliau
di majlis PR dikaitkan dengan pencerobohan gerombolan bersenjata ‘Sultan Sulu’
di Lahad Datu.
“Dalam lagu itu, saya maksudkan rakyat Sabah nak tolak BN
pada pilihan raya dan bukannya nak bagi Sabah kepada kumpulan penceroboh.
Itupun (lagu) ditayangkan tidak habis,” jelas beliau di hadapan lebih 5,000
orang.
Justeru itu pada 8 Mac baru-baru ini, beliau memfailkan
saman berjumlah RM100 juta terhadap Utusan Melayu Bhd dan TV3 berikutan laporan
fitnah yang mengaitkannya dengan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.
Hadir sama dan turut berucap ialah Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul khalid Ibrahim, Yang Dipertua PAS Selangor, Dr Abdul
Rani dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment