Najib Tun Razak diiringi Muhyiddin Yassin dan Dr. Ali Hamsa berjalan masuk ke dewan bagi menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA ) Ke-13 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya,semalam. |
PUTRAJAYA 11 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak hari ini mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam yang dikenali
sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST).
Pelaksanaan SST, kata beliau, adalah berdasarkan kepada
perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam.
Antara perubahan di bawah SST, kata Perdana Menteri
adalah persetujuan kerajaan semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji
Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak
tiga kali berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Perdana Menteri berkata, hal yang demikian diputuskan
kerana sebanyak 182,434 penjawat awam berada di paras gaji maksimum pada 2013
dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan.
Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, bersetuju memberi
semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1
Julai ini.
''Ini bermakna setiap penjawat awam mendapat antara RM80
dan RM320 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion,'' katanya ketika
berucap sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA XIII) di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, Timbalan Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Farida Mohd. Ali dan Presiden
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk
Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.
MPPA XIII yang bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan
Awam, Merealisasikan Wawasan 2020' dihadiri hampir 8,700 penjawat awam dari
pelbagai sektor dan agensi.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju
menyambung kontrak 50,000 pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31
Disember ini setahun lagi, sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan seramai 166,541
kakitangan dalam gred gaji 1 hingga 10 akan dinaik taraf ke gred setaraf
kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Menurut beliau, perubahan itu akan memberi manfaat dari
segi laluan kerjaya dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji kumpulan
berkenaan.
Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat kumpulan
pelaksana pula akan dipendekkan berdasarkan tempoh perkhidmatan daripada 15
tahun kepada 13 tahun yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penjawat yang layak.
''Kerajaan juga secara prinsip bersetuju meluaskan kaedah
pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan
Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.
''Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan kemajuan
kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang,'' katanya.
Menurut Najib, sebanyak 81 skim perkhidmatan yang telah
ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirunding semula
iaitu bagi skim perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau penolong pegawai
dan pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam
menguasai teknologi agar mereka kekal relevan dengan peredaran semasa kerana
kemahiran komunikasi baru perlu menjadi teras kepada tugas berhadapan dengan
rakyat secara langsung.
''Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan, ketepatan,
ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima.
''Justeru penjawat awam perlu bersifat proaktif melakukan
penyebaran maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar
sistem pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya,'' katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya
memelihara integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang
menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.
Katanya, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari
ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik.
No comments:
Post a Comment