Friday, December 27, 2013

Kesucian Akidah Umat Islam Di Gugat





Kesucian akidah umat Islam di Malaysia mutakhir ini dilihat cuba digugat sesetengah pihak dengan pelbagai dakwaan dan anasir. Malah, sepanjang 2013 timbul beberapa fahaman dan dakyah.

Selain ajaran sesat membabitkan Tuhan Harun, Al-Arqam serta Pemuda Kahfi, fahaman seperti Syiah dan Wahhabi turut mengelirukan masyarakat Islam negara ini yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Syiah

Fahaman ini dikatakan sebagai pihak yang menyokong Saidina Ali bin Abi Talib RA sewaktu pertelingkahannya dengan Muawiyah bin Abi Sufyan RA. Golongan Syiah fanatik muncul selepas pertelingkahan antara Saidina Husain bin Ali dan Yazid bin Muawiyah.

Golongan ini terbahagi kepada pelbagai mazhab, antaranya Syiah Imam Dua Belas, Jaafariyah, Zaidiyah dan Ismailiyah yang banyak ditemui di India.

Batu Turba

Selepas lama bertapak di beberapa negara seperti Iran, Iraq, Lubnan, Bahrain dan Yaman, Syiah dilihat mula mengembangkan pengaruhnya di Malaysia.

Penyebaran fahaman ini mula dikesan di negara ini sejak 1979. Dianggarkan sehingga kini, seramai 200,000 hingga 300,000 pengamal Syiah di dalam negara.

Ada beberapa cara membolehkan fahaman Syiah mudah tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, antaranya:

  •  Kedatangan pemimpin dan imam Syiah dari luar negara ke Malaysia dan sikap rakyat yang mengikuti program Syiah di negara luar. Meskipun bertujuan untuk mengukuhkan hubungan silaturahim, ia akan diselitkan dengan ajaran dan akidah Syiah dalam pelbagai cara.
  • Penghantaran pelajar Malaysia ke luar negara seperti Iran dan Pakistan sudah lama bermula sejak 30 tahun lalu. Malah, menerusi pembiayaan biasiswa ditanggung sepenuhnya dan diasuh untuk mengembangkan Syiah sekembali dari luar negara.
  • Sokongan daripada pemimpin politik dalam negara sama ada secara terang mahupun berselindung memperjuangkan ajaran Syiah kerana menganggap pegangan Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah tiada bezanya. Namun, secara jelas mereka mudah dinilai dari segi pemikiran, sokongan dan pendirian yang berlawanan dengan akidah sebenar.
  • Peranan golongan tertentu dari pusat pengajian tinggi. Mereka membawa dakyah kepada pelajar yang mudah terpengaruh dengan cerita dan sejarah Syiah menerusi majlis ilmu, sekali gus memberi kesan negatif ke atas sikap dan akidah pelajar terbabit.
  • Penyebaran terbuka menerusi risalah, majalah dan buku Syiah yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu seperti buku ‘Nahj al-Haqq wa Kashf al-Sidq’ oleh Jamal ad-Din Hasan ibn Yusuf ibn Ali ibn Muthahhar al-Hilli.

 
Wahhabi

Fahaman Wahhabi atau Salafiah-Wahhabiah iaitu satu aliran pemikiran diasaskan Muhammad bin Abdul Wahhab bin Sulaiman pada kurun ke-18 Masihi di Najd, Arab Saudi.

Wahhabi atau Salafiah-Wahhabiah adalah istilah gabungan yang terdiri daripada dua perkataan iaitu Salafi dan Wahhabi.

Menurut buku Siapa Sebenarnya Wahhabiy yang ditulis Penolong Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Zamihan Mat Zin, tanda ketara dilihat pada golongan terbabit ialah:

  • Kerap mengkritik dan meremehkan kedudukan ulama Sunni.
  • Merasakan diri mereka lebih sunnah, suci dan baik.
  • Mudah menuduh saudara seagama dengan tuduhan bidaah dan sesat.
  • Mewajibkan menyimpan janggut dan melabuhkan kain atau kaki seluar yang mana panjangnya tidak melebihi paras buku lali.
  • Solat dalam keadaan meletakkan tangan di atas dada.


Al-Arqam

Gerakan ini sudah lama diharamkan, namun kes berkaitannya masih kedengaran. Malah, suatu ketika pernah dikatakan cuba dihidupkan semula oleh Khatijah Aam atau Ummu Jah menerusi Sidang Parlimen Roh dan Kelab Taat Suami.

Balu kepada pengasas pertubuhan Al-Arqam yang diharamkan pada 1994 ini bagaimanapun sudah mengaku bersalah terhadap pertuduhan melanggar arahan mufti. Beliau juga mengaku bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya.

Aktiviti Darul al-Arqam bermula pada 1971 hingga 1972 di Kampung Datuk Keramat dan kemudiannya bertapak di Sungai Penchala pada 1973 hingga 1975.

Ajaran ini pernah mendapat sambutan sesetengah anggota masyarakat sebelum diputuskan sesat dan diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengharamkan buku Aurad Muhammadiyah Pegangan Darul Arqam pada 1986.


Pemuda Kahfi

Kumpulan Daulah Islamiah Nusantara (DIN) atau dikenali Gerakan Pemuda Khafi sudah bertapak lebih 15 tahun di negara ini.

Ia adalah pecahan daripada ajaran kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) yang dikesan mula masuk ke negara ini awal 2000.

Pengikut ajaran berkenaan menggunakan terjemahan al-Quran yang dibawa dari Indonesia dan pembelajaran dibuat sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu.

Disebabkan terjemahan surah dan ayat al-Quran adalah mengikut logik akal, sebahagian maksud sebenar sudah disalah tafsir dan membawa kepada maksud yang salah, malah ada antaranya memesongkan akidah umat Islam.

Ajaran kumpulan ini tidak mewajibkan pengikutnya untuk beriman dengan rukun Islam dan menganggap solat tidak wajib dan sebagai pengganti, pengikut hanya perlu menggantikan solat dengan melakukan kebaikan sesama manusia.

Pada 31 Mac 2011, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menfatwakan ajaran Pemuda Kahfi sebagai ajaran sesat.


Tuhan Harun

Kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek, pada 10 November 2013 membawa kepada penangkapan ketua ajaran sesat Tuhan Harun.

Ajaran sesat Tuhan Harun mengamalkan ritual bermain muzik secara ‘live band’ setiap kali pertemuan diadakan pada waktu Maghrib dan menyanyi lagu yang liriknya memuja ketua kumpulan Tuhan Harun.

Apabila azan berkumandang, pengikut ajaran sesat itu semakin rancak mengalunkan muzik keras sambil melompat-lompat menyanyi dan menari.

Pemeriksaan JAIP turut menemui beberapa dokumen bercetak, cakera padat, risalah berkaitan ajaran itu yang bercanggah dengan hukum syarak, selain lirik lagu memuja dan mengagungkan Tuhan Harun.

Penahanan itu juga membongkar kegiatan penipuan pelaburan skim cepat kaya yang dikenali program ganda wang.


Kebanyakan negeri keluar warta sekat ajaran Syiah

Pewartaan mengenai fahaman bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah:

  • Negeri Johor Darul Takzim pada 16 Februari 2012 mewartakan fahaman Syiah perlu disekat keseluruhannya daripada berkembang mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Johor) 2003).
  • Perlis melarang umat Islam memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedar filem, rakaman audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan dan dokumen, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda yang boleh mengaitkan ajaran Syiah dengan ajaran Islam sebenar melalui perwartaan pada 7 Ogos 2012 mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006 (Enakmen 4 Tahun 2006).
  • Pewartaan pada 1 Mac 2012 bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004) menegaskan, apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman Syiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Syiah adalah bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  • Negeri Sembilan pada 27 Februari 1998 mewartakan ajaran Islam selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan dengan yang demikian penyebaran apa-apa ajaran lain selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.
  • Negeri Kedah pada 18 Februari 1999 mewartakan bahawa umat Islam di negeri itu hendaklah mengikut undang-undang Islam dan ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
  • Pewartaan pada 24 September 1998 bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam (Selangor 1989) menegaskan fahaman dan ajaran Syiah perlu disekat keseluruhannya berikutan ada beberapa percanggahan dalam fahaman itu sama ada dari sudut akidah, syariah dan lain-lain.
  • Pulau Pinang menerusi warta pada 16 Januari 1997, Enakmen 7/1993 menegaskan, fahaman dan ajaran Syiah perlu disekat keseluruhannya daripada dikembangkan berdasarkan beberapa percanggahan yang terdapat dalam fahaman itu sama ada dari sudut akidah, syariah dan lain-lain.
  • Warta pada 24 Julai 1997 menegaskan, umat Islam di Negeri Melaka hendaklah mengikut undang-undang Islam dan ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
  • Warta pada 22 September 1996 di Kelantan menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi persekutuan dan negeri-negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
  • Pewartaan pada 30 Januari 1997 bawah Seksyen 34 - Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993) menetapkan semua umat Islam warga negara ini adalah tertakluk kepada undang-undang Islam dan hukum syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah saja.
  • Terengganu menetapkan umat Islam di negeri itu hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak melalui warta yang dibuat pada 25 September 1997.

-hmetro

No comments:

Post a Comment