SEORANG isteri tergamak menggunakan darah haidnya dan air
mani gajah untuk menyihir suami supaya menurut segala perintahnya, manakala dia
bebas melakukan apa saja.
Selain dua bahan jijik itu, isteri durjana berkenaan
turut menggunakan minyak pengasih, tangkal pengikat nafsu dan wafak (gambar
rajah yang dilukis di atas kain kuning dalam bentuk tulisan Jawi dengan
menggunakan kalimah ALLAH) supaya dia kelihatan hebat pada pandangan orang
lain.
Bagi memastikan kemujaraban tangkal darah haid itu,
ia dibalut dalam kertas bertulisan Jawi
dicelup dalam minuman suami.
Apabila meminum air itu, suami menjadi lemah, tidak mampu
melawan kata-kata isteri, menurut arahannya atau menjadi pak turut, selain
mengalami sakit badan dan kepala serta jiwa yang tidak tenteram.
Kesengsaraan itu diceritakan seorang suami yang mahu
dikenali sebagai Halim, 30-an, apabila menjadi mangsa sihir isteri sejak lima
tahun lalu.
Dia yang berasal dari daerah Lipis dan pernah bekerja di
Petaling Jaya, Selangor, mendakwa menjadi mangsa kezaliman isterinya sejak
sebelum berkahwin sehingga rahsia ilmu hitam yang dipraktikkan itu terbongkar
Disember lalu.
Menurutnya, dia terkejut apabila menemui pelbagai jenis
tangkal yang disimpan di rumah, termasuk didakwa darah haid yang digunakan
untuk menundukkannya.
“Selama ini memang banyak perubahan berlaku pada diri
saya. Saya jadi malas hendak bekerja, bila bergaduh dengan isteri saya cepat
mengalah meskipun ada ketika dia salah, selalu sakit badan dan kepala, manakala
hati selalu tidak tenteram.
“Segala masalah itu terbongkar apabila saya menemui nota
jampi serapah di atas meja isteri. Hasil pencarian di dalam rumah, saya menemui
pelbagai jenis tangkal yang dia simpan rapi di dalam sebuah kotak.
“Saya turut menemui SMS isteri yang dipercayai menjalin
hubungan sulit dengan suami orang yang juga pelanggannya. Sebenarnya dia mahu
kelihatan berkuasa dan pernah berkata kepada saya, jika dia hendak sesuatu dia
akan lakukan walau apa cara sekalipun. Mungkin kerana itu, saya menjadi
sasaran,” katanya di sini, kelmarin.
Halim berkata, dia ada bertanya isterinya mengapa sanggup
berbuat demikian, tetapi seperti diduga wanita itu menafikan dia melakukan
perbuatan berkenaan.
“Menurut sepupu saya, sebelum kami berkahwin lagi isteri
saya sediakan sejenis air untuk saya yang tidak diketahui tujuan. Rakan yang
pernah datang ke rumah kami juga berasa tidak sedap hati apabila hendak masuk.
“Apabila saya bertanya isteri, dia tak mengaku dengan
memberi pelbagai alasan. Saya tidak tahu mengapa dia sampai hati menyihir
saya,” katanya.
Dia berkata, akibat perbuatan isteri, kerjayanya sebagai
perunding dana amanah terjejas sehingga bayaran bulanan rumah tertunggak
sembilan bulan.
“Kerja saya terjejas teruk. Jika dulu pendapatan mencecah
RM20,000 tetapi sekarang jauh merosot, malah pernah dapat tidak sampai RM2,000
sebulan. Apabila hendak jumpa orang, saya malas pergi apabila tiba masanya.
“Sebaliknya isteri saya yang bekerja bidang sama mampu
memperoleh RM20,000 ke RM50,000 sebulan, malah dalam bidang ini dia terkenal
antara yang berjaya mencatat perolehan tertinggi,” katanya.
Halim berkata, apabila keadaan itu berlaku isterinya
hidup dalam serba kemewahan, tetapi dia sebaliknya.
“Apabila isteri hidup dalam keadaan bertuhankan duit, dia
mula berubah, rasa diri hebat, bongkak, meninggi diri serta sombong. Saya
seperti orang suruhan dia. Begitupun sebagai suami, saya masih menjalankan
tugas dan tanggungjawab saya,” katanya.
Menurutnya, selepas mengetahui dirinya disihir, dia
menemui empat bomoh, termasuk pakar perubatan Islam, untuk membuang sihir
berkenaan.
“Ada yang saya jumpa beritahu, saya sudah lama kena
(sihir). Melalui seorang ustaz, saya diberitahu, dalam satu tangkal, isteri
saya menggunakan darah haidnya manakala tangkal lain menggunakan minyak kelapa,
kertas wafak yang didakwa ada jin serta tulisan jampi serapah.
“Ada juga memberitahu, tangkal itu dihasilkan daripada
air mani gajah,” katanya.
Menurutnya, tangkal berkenaan diserahkan kepada pengamal
perubatan Islam untuk `dimatikan’ sihirnya dan dia kini masih mendapatkan
rawatan pemulihan berterusan.
“Saya masih sayangkan isteri demi anak kami yang berusia
tiga tahun namun, melihat isteri semakin jauh menyimpang, saya tiada pilihan
selain memfailkan permohonan nusyuz di mahkamah. Buat sementara ini juga saya
masih bercuti di kampung untuk memulihkan semangat,” katanya.
Halim yang berharap akan pulih segera daripada ilmu hitam
itu merancang membina kembali kerjayanya, selain hidup dalam keadaan tenang dan
bahagia.
-sinarharian.
No comments:
Post a Comment