LAHAD DATU - Satu daripada 18 mayat penceroboh militan
yang dihantar ke Hospital Lahad Datu malam tadi, dipercayai ketua kumpulan itu
berpangkat jeneral yang dikenali sebagai Komander Musa.
"Satu mayat itu macam rupa Komander Musa," kata
Ketua Forensik Operasi Daulat ASP Hussien Omar Khan.
Beliau berkata mayat yang dibawa keluar dari Kampung
Tanjung Batu di Felda Sahabat, kira-kira 130km dari sini, telah reput dan
proses bedah siasat akan dibuat pakar patologi dari Hospital Pulau Pinang.
Musa, yang mengetuai kumpulan pengganas Sulu dikatakan
melarikan diri dari Kampung Tanduo dan memasuki Kampung Tanjung Batu sebelum
terbunuh dalam pertempuran yang turut menyaksikan 31 pengganas Sulu maut.
Ketua Polis Daerah Supt Shamsudin Mat berkata sembahyang
jenazah akan diadakan untuk pengganas yang terbunuh pada satu tarikh yang akan
ditetapkan.
"Kita sebagai umat Islam mempunyai tanggungjawab
kepada saudara sesama Islam, biarpun mereka adalah musuh kita. Kita juga
mendoakan roh mereka dicucuri rahmat," katanya, tanpa menyatakan lokasi
pengganas itu akan dikebumi. - Bernama
No comments:
Post a Comment