Monday, November 4, 2013

Awal Muharram dan Peristiwa



Esok bersamaan 5 November 2013 adalah hari Awal Muharram atau Maal Hijrah. Ia merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 muharram tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia.

Di Malaysia hari tersebut merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Juga dibacakan doa;

DOA AKHIR DAN AWAL TAHUN

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata;

"Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun"

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata;

"Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".


KISAH BERMULANYA KALENDAR ISLAM

Kalendar Islam bagi sandaran umat Islam adalah Takwim Hijrah atau Takwim Islam. Ianya merupakan takwim yang digunakan secara meluas di kebanyakan negara umat Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam. Kalendar ini merupakan kalendar lunar (berasaskan bulan), dan mempunyai kira-kira 355 hari dalam setahun. Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-Asy’ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Bermula daripada peristiwa itulah Saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu. Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar’ie.

Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.

Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah SAW untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar taqwim Islam. Walaupun tahun yang dipilih adalah tahun hijrah, ianya mencatatkan peristiwa hijrah berlaku pada bulan yang lain selain Muharram namun kalender Islam meletakkan awal bulan kalender hijrah itu sebagai awal Muharram ini kerana kemuliaan yang ada pada bulan ini di sisi orang Arab lebih-lebih lagi di sisi Allah.

Kalendar ini juga mengambil peristiwa hijrah Rasullullah SAW dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis pula dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan.
Perbandingan kalendar juga telah dibuat oleh Umar, setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik dan bersistematik. Maka dengan itu pengisytiharaan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.


PERISTIWA PENTING DALAM MUHARAM

[1]. 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).

[2]. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.


Pengajaran daripada peristiwa Hijrah

Hijrah telah melahirkan beberapa pendekatan berikut:

[1]. Sunnah Nabi keluar ke tempat jauh dengan ditemani seseorang (Saidina Abu Bakar).

[2]. Hijrah di waktu malam adalah paling sesuai untuk bermunajat kepada Allah, kerana pada waktu itu ramai di kalangan pihak musuh sedang seronok tidur.

[3]. Tidak salah mendapat dan menggunakan khidmat orang kafir bagi tujuan maslahat Islam sepertimana baginda menggunakan khidmat Abdullah Bin Uraiqit (Nasrani) menjadi petunjuk jalan ke Madinah.

[4]. Baginda mengatur strategi berdakwah agar tidak dapat dikesan oleh musuh dengan menghilangkan kesan tapak kaki dengan puluhan tapak kaki kambing yang diusahakan oleh Amir Bin Fuhairah.

[5]. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang remaja/belia dalam kerja-kerja dakwah sepertimana baginda mengarahkan Saidina Ali Bin Abu Talib menggantikan tempat tidurnya.

[6]. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang muslimah berperanan dalam memberi saham seperti Asma Binti Abu Bakar.

[7]. Memberi pengiktirafan dan kepercayaan kepada seorang remaja, Abdullah Bin Abu Bakr untuk mendapatkan rahsia bagi memudahkan kerja-kerja dakwah.

Sesungguhnya setiap daripada individu muslim, boleh memainkan peranannya sebagai anggota jamaah menurut kadar kemampuan dan ilmunya bagi memajukan Islam pada kadar yang termampu.

Perkara sunat yang dilakukan di bulan Muharam

[1]. Digalakkan berpuasa sunat pada awal Muharram.
[2]. Digalakkan berpuasa sunat pada 9 dan 10 Muharram.


Hari Asyura

Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram.

Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad SAW.

Sejarah Asyura

Menurut tradisi masyarakat Islam, Nabi Muhammad SAW melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.

Masyarakat Islam turut percaya akan berlakunya kejadian besar ketika 10 Muharram:

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

  • Hari pertama Allah menciptakan alam.
  • Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
  • Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  • Allah menjadikan 'Arasy.
  • Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  • Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  • Nabi Adam a.s. dicipta.
  • Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
  • Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
  • Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
  • Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
  • Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
  • Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
  • Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
  • Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
  • Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
  • Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
  • Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  • Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
  • Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  • Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
  • Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh kaum Syiah Kufah, dan mereka kemudiannya memfitnah Khalifah Yazid ra dari Bani Umaiyah membunuh Saiyiduna Hussain ra. Fitnah ini digembar gemburkan oleh kaum Syiah, dan mereka mengelirukan umat manusia dengan menyambut hari Asyura dengan 'pesta menyakiti diri' konon sebagai tanda kesal diatas kewafatan Saidina Hussain ra.


Sejarah Asyura bagi Perspektif Syiah

Pada masa zaman sebelum Islam, 'Asyura diperingati sebagai hari raya rasmi bangsa Arab. Pada masa itu mereka berpuasa dan bersyukur menyambut 'Asyura. Mereka merayakan hari itu dengan penuh kegembiraan sebagaimana hari Nawruz yang dijadikan hari raya di negara Iran. Dalam sejarah Arab, hari 'Asyura (10 Muharram) adalah hari raya bersejarah. Pada hari itu setiap suku mengadakan perayaan dengan mengenakan pakaian baru dan menghias kota-kota mereka. Sekelompok bangsa Arab, yang dikenal sebagai kelompok Yazidi, merayakan hari raya tersebut sebagai hari kegembiraan setelah kejayaan membunuh pemberontak kerajaan bani Umaiyyah yang diketuai cucu Rasulullah SAW iaitu Husain bin Ali dan para sahabat yang derhaka pada pemerintahan.


Syahidnya Husain bin Ali

Tanggal 10 Muharram 61 H atau tanggal 10 Oktober 680 merupakan hari pertempuran Karbala yang terjadi di Karbala, Iraq sekarang. Pertempuran ini terjadi antara pasukan Bani Hasyim yang dipimpin oleh Husain bin Ali beranggotakan sekitar 70-an orang melawan pasukan Bani Umayyah yang dipimpin oleh Ibnu Ziyad, atas perintah Yazid bin Muawiyah, khalifah Umayyah saat itu yang beranggotakan hampir 10 ribu bala tentera.

Pada hari itu hampir semua pasukan Husain bin Ali, termasuk Husain sendiri syahid terbunuh, kecuali pihak perempuan, serta anak Husain yang sakit bernama Ali bin Husain. Kepala cucu Rasulullah itu dipenggal dan diarak seluruh kota Damaskus agar memberi peringatan pada penduduk agar tidak memberontak pada kerajaan. Kemudian tawanan perang dibawa oleh Ibnu Ziyad mereka menghadap Khalifah di Damaskus, dan kemudian dikembalikan ke Madinah dan diberi tahanan rumah.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment