Tuesday, November 26, 2013

Perkahwinan Janda Termahal


SHAH ALAM – Majlis perkahwinan pelakon Rozita Che Wan bersama pasangannya pelakon sensasi, Mohamad Zain Mohd. Saidin bulan depan mencatat sejarah tersendiri dalam dunia hiburan tempatan apabila ia mendapat tajaan berjumlah RM13 juta.

Rozita atau lebih sinonim dengan panggilan manja Che Ta, 40, bakal melangsungkan perkahwinan paling mahal dalam sejarah tanah air yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini pada 11 Disember depan.

Beliau berkata, syarikat barangan kemas terkenal Habib Jewels merupakan penaja utama apabila sanggup menaja set barangan kemas berjumlah RM10 juta untuk perkahwinan tersebut.

Katanya, barangan kemas Habib Jewels itu akan diperagakan semasa majlis berinai, akad nikah dan resepsi.

Penajaan lain bernilai RM3 juta adalah daripada 27 pihak lain yang sudi memeriahkan perkahwinan pasangan tersebut.

“Majlis perkahwinan kami ini bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya setiap tajaan yang kami perolehi ini merupakan satu rezeki.

“Kami memang tidak menyangka apabila ramai pihak sudi untuk menjadi penaja.

“Pada awalnya kami cuma merancang untuk mengadakan majlis yang ringkas, misalnya upacara akad nikah pun sudah memadai.

“Mungkin dengan pelbagai tajaan yang diterima ini membuatkan majlis ini kelihatan besar dan meriah,” katanya pada sidang akhbar di SCCC semalam.

Lagi berita...

TEKA-TEKI mengenai tarikh perkahwinan pasangan pelakon Zain Saidin dan Rozita Che Wan akhirnya terjawab apabila mereka bakal disatukan sebagai suami isteri pada 11 Disember ini.

Selain pengumuman mengenai tarikh perkahwinan pasangan tersebut, sidang akhbar yang berlangsung turut mengumumkan mengenai jumlah tajaan yang diterima bernilai RM13 juta.

Che Ta dan Zain bercakap pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam semalam tentang majlis perkahwinan mereka tersebut.

Kosmo!: Nampaknya majlis perkahwinan anda dan Zain mencipta sejarah dengan penajaan bernilai RM13 juta. Boleh jelaskan mengenai penajaan tersebut?

CHE TA: Pertama sekali, saya dan Zain tiada sebarang niat untuk menunjuk-nunjuk mengenai persiapan perkahwinan ini. Cuma, kami sangat terharu dan berterima kasih kerana banyak pihak yang sudi tampil untuk menjadi penaja. Perkara ini dianggap sebagai satu rezeki yang tidak dijangka memandangkan pada asalnya kami sekadar mahu membuat secara kecil-kecilan. Mungkin dengan tajaan yang diperoleh ini menyebabkan majlis kami ini kelihatan lebih gah.

Adakah anda atau Zain tidak mengeluarkan satu sen pun untuk perbelanjaan perkahwinan kalian berdasarkan jumlah tajaan yang diterima?

Sebenarnya kami tetap mengeluarkan wang sendiri untuk perkahwinan ini, misalnya membeli barang-barang hantaran, bayaran kepada penyanyi yang membuat persembahan dan pengacara majlis.

Walaupun terdapat beberapa artikel sebelum ini menyatakan jumlah wang yang kami belanjakan, namun saya dan Zain sepakat untuk tidak mendedahkannya kepada umum atas faktor-faktor tertentu.

ZAIN bakal memberi Che Ta wang hantaran sebanyak RM23,200.
Boleh jelaskan perbelanjaan yang digunakan dengan wang sendiri?

Selain pembelian untuk barang hantaran, saya akan menerima wang hantaran daripada Zain sebanyak RM23,200. Angka tersebut dipilih sempena tarikh lahir Zain yang jatuh pada 23 Februari 1984. Selain itu, saya turut menerima mas kahwin sebanyak RM9,300 serta sebentuk cincin yang ditempah khas daripada Habib Jewels bernilai RM93,000. Kedua-dua angka tersebut pula merupakan tarikh kelahiran saya iaitu 9 Mac 1973.

Bagaimanakah perasaan anda apabila akan kembali bergelar seorang isteri?

Sudah tentu perasaan berdebar itu tetap ada memandangkan tanggungjawab yang digalas selepas ini pastinya akan menjadi lebih berat. Jika dahulu fokus saya hanya terhadap kedua-dua anak, kini saya perlu menjalankan kewajipan sebagai seorang isteri pula.

Apakah perasaan anak-anak apabila anda mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Zain?

Pada mulanya mereka berasa agak risau kerana takut kasih sayang saya akan beralih pula kepada suami. Bagaimanapun, saya sudah jelaskan segala-galanya kepada mereka tentang tujuan saya kembali berkahwin dan akhirnya mereka faham.

Adakah anda akan terus aktif dalam kerjaya selepas bergelar seorang isteri?

Selepas berkahwin nanti saya masih lagi meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon dan pengacara. Namun begitu, untuk lakonan saya perlu menjadi lebih selektif dan hanya menerima tawaran tertentu.
-kosmo.com.my

@Doakan mereka kekal dalam alam rumah tangga selamanya. Ambil yang positif jer..


No comments:

Post a Comment