Amatlah bertuah Jika seseorang wanita itu memiliki;
1] Memiliki tubuh yang langsing lagi menawan,
2] Ditambah pula mewarisi wajah yang cantik, dan,
3] Berbudi bahasa yang bersikap sopan,
100% jodoh itu akan datang bertalu-talu, tapi jika...
1] Memiliki ketiak dan bau badan yang masam atau,
2] Mulut yang berbau busuk pula akan memadam 3 kelebihan di atas dan 'saham' akan jatuh merudum dan sudah pastinya jodoh juga akan ikut lari...
Masalah ini sebenarnya bukan menjurus kepada kaum hawa saja, kaum Lelaki dan pondan juga tidak dapat lari dari masalah ini. Jom ikuti permasalahan ini dari pengamatan Pakar Dentis,
Dr. Naseem Banu Sadruddin.
Dr. Naseem |
"SEBENARNYA
banyak perkara yang menyumbang kepada berlakunya nafas berbau dan permasalahan
ini juga boleh dikategorikan sebagai tanda diri kita berpenyakit." Itu
antara kenyataan awal diberikan oleh Pakar Pembedahan Pergigian, Pusat
Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr. Naseem Banu Sadruddin, sebaik sahaja
diajukan persoalan adakah masalah nafas berbau merupakan simptom awal seseorang
itu menghidap penyakit dalaman atau sebaliknya.
MENURUT Dr. Naseem Banu, sekiranya masalah tersebut bukan
terhasil daripada penyakit dalaman yang dialami individu tersebut, ia
sebenarnya adalah disebabkan oleh bakteria yang berkumpul di dalam mulut akibat
daripada penjagaan oral yang tidak betul.
Begitupun, penurunan kandungan air liur di dalam mulut
juga adalah antara penyebab nafas berbau. Disebabkan itu juga Dr. Naseem Banu
menasihatkan, individu yang mengalami masalah nafas berbau perlu menjalani
pemeriksaan terlebih dahulu sebelum boleh diklasifikasikan sama ada ia hanya
disebabkan penjagaan oral yang tidak betul atau merupakan satu penyakit
berpunca daripada dalam badan.
"Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang penyakit
mulut seperti tonsil, resdung, sakit tekak, selesema, demam, kencing manis,
penyakit hati, penyakit buah pinggang, kanser mulut, dan sebagainya, nafas berbau
ini selalunya berpunca daripada penjagaan oral (mulut) yang tidak betul.
"Bau tersebut terhasil daripada proses pereputan
sisa-sisa makanan yang terselit di antara gigi dan gusi.
"Oleh yang demikian, penjagaan oral dengan betul
adalah penting dalam usaha memastikan nafas sentiasa segar dan tidak
berbau," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Dr. Naseem Banu lagi, tidak perlu bersusah payah
memberus gigi atau berkumur dengan pencuci mulut setiap kali habis makan bagi
memastikan sisa-sisa makanan tidak melekat pada celah gigi, sebaliknya cukup
sekadar berkumur dengan air bersih dengan cara yang betul.
Bagaimanapun, sekiranya ingin juga memberus gigi juga
selepas makan, disyorkan dilakukan 30 minit selepas itu.
Memberus gigi dua kali sehari sudah memadai untuk
mengelakkan sebarang masalah lain timbul seperti gigi menjadi nipis.
Pada masa yang sama, Dr. Naseem Banu turut memberitahu
pembersihan lidah juga adalah penting kerana kebanyakkan bakteria busuk suka
berada pada penghujung lidah.
Seboleh-bolehnya bersihkan lidah dengan menggunakan berus
gigi tetapi dengan cara yang lembut.
"Sekiranya tidak dapat berkumur atau memberus gigi
pada masa-masa tertentu, cuba kunyah gula-gula getah kerana boleh membantu
melonggarkan makanan yang terselit di antara gigi serta menutup bau busuk nafas
anda.
"Tetapi awas, anda dinasihatkan agar mengunyah
gula-gula getah tanpa gula kerana gula getah bergula akan memburukkan lagi bau
nafas," katanya.
Tip segarkan nafas
Dalam hal ini, Dr. Naseem Banu memberikan beberapa tip
untuk menyegarkan kembali nafas, antaranya seperti pengambilan yogurt (yang
masam) kerana makanan ini mengandungi vitamin D yang boleh melawan bakteria
yang mengakibatkan nafas berbau.
Walaupun nampak kuno, beliau turut menjelaskan daun sirih
juga sebenarnya mengandungi klorofil yang menyegarkan nafas jika dimakan secara
konsisten, tidak ketinggalan mengunyah beberapa helai daun kari dan juga daun
pudina.
Selain itu, beliau turut menyarankan agar berkumur dengan
air suam yang telah dicampurkan dengan serbuk penaik (tulen yang tidak dicampur
dengan bahan kimia) selama 30 saat dalam usaha menjaga masalah nafas berbau
ini.
Ini kerana kandungan serbuk penaik mampu menyeimbangkan
asid yang terkandung dalam badan dan seterusnya menyegarkan semula pernafasan.
Apa yang pasti, Dr. Nassem Banu berkata, punca utama yang
menyebabkan masalah nafas berbau bagi mana-mana individu yang tidak mengalami
sebarang penyakit ialah makanan.
"Dalam hal ini (masalah nafas berbau), makanan
merupakan punca utama kepada permasalahan ini kerana makanan harian hari ini
terdapat lebih karbohidrat selain makanan yang berprotein lebih kepada jenis
yang bergoreng.
"Jika kita lihat masyarakat kampung yang hidup dalam
suasana yang tidak tercemar dan makan makanan yang segar dan asli, mereka
jarang mengalami masalah nafas berbau ini.
"Jadi selain penjagaan oral dengan betul, pilihlah
makanan yang betul untuk mengelakkan nafas anda berbau," katanya menutup
bicara.
@Disedut dari Artikel Utusan Melayu.