Sunday, January 26, 2014

Denda jadi ‘lembu’ tak siap kerja rumah




MUHAMMAD Nasvinder Muhammad Amit (kanan) dan Mohd. Izat Iqbal Mohd. Harith yang dihukum secara melampau oleh guru Bahasa Inggeris di SJKC Khai Meng, Sungkai, Perak, baru-baru ini. (gambar).

Leher digantung 10 biji loceng, disuakan dengan rumput untuk dimakan dan diejek dengan panggilan lembu oleh murid lain serta guru.

Itu detik memalukan terpaksa dilalui dua murid Tahun Empat sepanjang sesi persekolahan di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) di sini, Khamis lalu, disebabkan tidak menyiapkan ‘kerja rumah’ mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Turut dirotan guru

Lebih menyedihkan, selain turut dirotan, dua kanak-kanak berusia 10 tahun itu tidak dibenarkan pulang ke rumah sebaik tamat sesi persekolahan pada jam 1.30 tengah hari, sebaliknya diminta menyudahkan tugasan yang belum disiapkan di sekolah sehingga jam 4 petang, tanpa menjamah sebarang makanan.

Anehnya, dua murid lain bukan beragama Islam yang juga tidak menyiapkan tugasan sekolah berkenaan dilepaskan daripada sebarang hukuman atas alasan ‘masalah kesihatan.’

Guru Bahasa Inggeris berusia 20-an, turut didakwa melontarkan kata-kata ‘lembu tidak buat kerja rumah, mesti kena makan rumput,’ manakala guru lain yang masuk ke kelas itu pula berkata ‘sejak bila dalam kelas ini ada dua ekor lembu,’ rakan sekelas mengejek mereka dengan panggilan lembu.

Kesal dengan perbuatan itu, ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan, membuat laporan polis di Balai Polis Sungkai pada jam 1.20 tengah hari, kelmarin.

Ibu kepada seorang kanak-kanak terbabit, Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 32, berkata beliau diberitahu rakan anaknya bahawa guru terbabit turut mengambil gambar mereka berdua memakai loceng menggunakan telefon bimbitnya dan menunjukkan gambar itu kepada murid di kelas lain, sambil mengugut akan memuat naik gambar itu dalam Facebook.

“Akibat kejadian itu, anak saya fobia ke sekolah semalam. Saya kecewa, sedih dan sakit hati anak saya diperlakukan seperti itu,” katanya ketika ditemui di kawasan Surau Awamiah, Taman Permai, di sini, semalam.

Seorang daripada murid yang turut menyertai pertemuan itu bagaimanapun mengakui mereka tidak makan rumput yang diberikan tetapi diberi amaran supaya tidak membuka loceng yang digantung di leher sehingga jam 1.30 tengah hari, jika tidak mahu dirotan sebanyak 10 kali.


Guru tak ikhlas mohon maaf

Ibu kepada seorang lagi kanak-kanak, Siti Aisyah Hashim, 32, berkata dalam pertemuan dengan guru terbabit dan guru besar sekolah berkenaan di Balai Polis Sungkai, petang kelmarin, guru berkenaan memohon maaf, tetapi seperti tidak ikhlas. Pertemuan itu turut dihadiri dua wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang.

Bapa saudara kepada seorang murid terbabit, Muktasis Hashim, 28, berkata guru itu menyatakan dua murid lain tidak dihukum kerana ada perakuan masalah kesihatan.

“Saya katakan kepadanya anak saudara saya pun ada surat doktor berkaitan asma, dia hanya diam,” katanya. Lapor bharian.

@mungkin guru ini ada masalah mental atau bergaduh dengan bf kot!

No comments:

Post a Comment