Thursday, October 24, 2013

HUDUD: Hukum Allah Yang Tak Tertunai Oleh Manusia



Siapakah kita yang hina ini untuk pertikaikan hukum Allah? Awas dengan Lidah yang tidak bertulang itu, sesungguhnya kata Allah;

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah amat belas kasihan kepada hamba-hambanya. (Ali-Imran: 29-30)

SHEIKH Sya’rawi berkata: “Tiada matlamat kecuali Allah SWT. Justeru, awasilah kamu daripada menipu diri kamu sendiri. Ini kerana akibatnya akan kembali kepada dirinya sendiri.”

Allah berfirman;

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (QS Al Baqarah : 30)

Allah berfirman lagi;

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah kepadaku.” (QS Adz Zariyat : 56)
Sultan Brunei

Brunei Laksana Hukum Hudud


Bandar Seri Begawan: Sultan Brunei semalam memperkenalkan hukuman hudud, termasuk merejam sampai mati mereka yang didapati bersalah kerana berzina.

Mengumumkan keputusan itu, beliau merujuk langkah berkenaaan sebagai yang bersejarah pelaksanaan undang-undang Islam sebenar di negara itu.

Sultan Hassanal Bolkiah, 67, antara lelaki terkaya di dunia, berkata, akta baru undang-undang syariah yang dikaji selama bertahun-tahun itu diperkenalkan secara rasmi semalam di negara yang kaya dengan minyak itu mengikut tempoh percubaan selama enam bulan.

Berdasarkan kes terhadap individu, undang-undang itu meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana berzina, memotong tangan kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran kandungan hingga kepada meminum arak.

Akta itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada umat Islam.

“Dengan izin Allah, dengan menguatkuasakan undang-undang ini, tanggungjawab kami terhadap Tuhan sudah ditunaikan,” katanya.

Sebagai pemimpin negara yang keluarganya menguasai negara yang kaya dengan minyak itu selama enam abad, beliau pertama kali menggesa hukuman hudud dilaksanakan pada 1996.

Brunei sebelum ini mengamalkan pemerintahan lebih konservatif berbanding negara jiran Islamnya di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Indonesia, seperti mengharamkan penjualan dan kegiatan minum arak secara terbuka. -AFP


Kata mereka...
  
Baca kupasan yang dibuat Oleh: Ustaz Nasrudin Hassan

Intro

Hudud adalah hukuman atau pembalasan ke atas penjenayah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt akan bentuk dan jumlah hukumannya dengan nas yang jelas di dalam Al-Quran Karim.

"dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata. al Ahzab ayat ke-36"

"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kamu. al Maaidah, ayat 49 "


Tujuan
Kewajipan melaksanakan hukum Hudud ini adalah berpaksi kepada prinsip perundangan Islam untuk memelihara :

a] Agama : melalui undang - undang murtad
b] Nyawa : melalui undang - undang qisas
c] Aqal : melalui undang - undang arak dan minuman yang memabukan
d] Keturunan : melalui undang - undang zina
e] Harta benda : melalui undang - undang curi dan rompak.


Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud

-Berzina - iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara'.

-Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.

-Minum arak - minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.

-Mencuri - iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.

-Murtad - iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.

-Merompak (hirabah), iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.

-Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah (Daulah Islamiyah) yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum Islam.

Namun Hukuman hudud ini hanya melibatkan Umat Islam sahaja ,orang yang bukan islam tidak terlibat sama sekali kecuali jika mereka mamilih untuk terlibat hanya orang dewasa yang berfikiran waras sahaja yang dihukum hudud,bagi kanak-kanak dan pesakit mental mereka tidak terlibat.

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
maksudnya :
"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kamu."


Jenis Hukuman
Hukuman Hudud adalah suatu hukum yang tertakluk dengan 6 atau 7 jenis kesalahan dan jenayah. [saya ringkaskan dari Kitab Mugni al Muhtaj karya Alimul Allamah Syeikh al Khatib asy Syarbaini rhm dan Kitab Perlaksanaan Hukuman Hudud karya Sohibus Samahah Tuan Hj Said bin Hj Ibrahim mantan Mufti Negeri Sabah rhm.]


a] Zina : iaitu persetubuhan tanpa nikah yang sah menurut syariat Islam dan hukumannya apabila sabit kes ialah sebat sebanyak 100 kali. Draf undang-undang mengenainya telah termaktub di dalam surah an Nuur ayat 2 :

    الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."


b] Qazaf : Tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dalam masa yang sama gagal membawa 4 orang saksi lelaki yang adil. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat sebanyak  80 kali sebatan. Firman Allah swt di dalam surah an Nuur ayat 4 :

    وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik"


c] Syarbul Khamr : Minum arak atau minuman yang memabukkan. Samada ianya dalam jumlah yang sedikit ataupun banyak demikian juga mabuk ataupun tidak. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat tidak lebih  dari 80 kali dan tidak kurang dari 40 kali. Hukuman ini berasaskan dalil dari hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah :


    جلد رسول الله صلى الله عليه و سلم أربعين و أبو بكرٍ أربعين و عمرُ ثمانبن و كلٌّ سنَّةٌ و هذا أحبُّ  إليَّرواه مسلم
"Rasulullah saw telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan Saidina Abu Bakar rha telah menyebat sebanyak 40 kali sebatan dan Saidina Umar al Khattab rha telah menyebat sebanyak 80 kali sebatan. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw dan inilah yang lebih aku sukai."


d] Mencuri : Mengambil atau memindah secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat menghilangkan harta tersebut dari jagaan tuannya. Hukumannya apabila sabit kes ialah potong tangan pencuri tersebut. Nasnya di dalam surah al Maaidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) sistem cegah dan kawah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."


e] Murtad : Keluar dari agama Islam atau membatalkan aqidahnya dengan perbuatan, perkataan atau iktiqad [keyakinan]. Hukumannya apabila sabit kes dan ia enggan kembali kepada Islam dalam tempoh yang ditetapkan oleh syara' adalah bunuh. Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas rha.

"Sesiapa yang menukar / meninggalkan agamanya maka bunuhlah ia."


f] Hirabah : Merompak samada secara individu atau secara berkumpulan dengan senjata untuk tujuan merampas harta atau membunuh atau menakut-nakutkan atau mengugut dengan kekerasan. Hukumannya apabila sabit kes adalah seperti berikut :

Hukuman mati : apabila perompak membunuh orang yang dirompak tanpa mengambil harta orang yang dirompaknya.

Hukaman mati di kayu palang apabila perompak telah membunuh dan mengambil harta orang dirompaknya.

Hukuman potong tangan kanan dan kaki kiri apabila perompak hanya mengambil harta orang yang dirompak tanpa membunuh dan mencederakan orang yang dirompaknya.

Hukuman buang negeri apabila perompak hanya menakut-nakut orang sahaja seumpama di kawasan laluan awam.

Bentuk hukuman ini telah dimuktamadkan oleh Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 33 - 34 :

    إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
"Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar."

    إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


g] Bughah : segolongan ummat Islam yang melawan dan menderhaka kepada pemerintah [imam / ulil amri] yang adil dan menjalankan hukum syariat Islam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al Quran dan Sunnah. Mereka tidak dianggap keluar dari ajaran Islam [murtad] tetapi mereka diperangi dengan kaedah  dan syarat tertentu. Firman Allah swt di dalam surah al Hujurat ayat 9 :

    وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."


Nota : Sebahagian ulama' tidak memasukkan hukum Bughah di dalam kategori hukuman Hudud kerana mempunyai perbahasan dan pendekatan hukum yang tersendiri serta tidak ditetapkan secara terperinci di dalam al Quran bentuk dan jumlah hukuman yang dikenakan ke atas bughah.

Ringkasan 6 jenis jenayah hukuman Hudud tambah satu dari jenayah bughah yang telah saya paparkan di atas adalah bersifat umum untuk memudahkan pembaca memahami terlebih dahulu skop jenayah yang disabitkan dibawah hukuman Hudud ini tanpa saya menafikan masih banyak ulasan tambahan, perbahasan dan khilaf berkait dengan kaedah penghukuman dan sebagainya.

www.mohamadazhan.com

No comments:

Post a Comment