Cerita Tyson dibuli di zaman kanak-kanak.
“Angkat
kotak tu!” jerkah sekumpulan remaja lelaki. Kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun
akur mengikut arahan. Setiap anak tangga dipijak dengan berat hati.
Tiba
di atas bumbung bangunan kosong itu, baru dia sedar terdapat burung merpati di
dalam kotak itu. Timbul rasa kagum terhadap haiwan berbulu putih dan terus
menyukainya.
Tapi
seorang daripada mereka mengambil merpati itu dan mematahkan lehernya sehingga
ia terkulai mati. Bukan itu sahaja, dia juga menerima tumbukan bersama merpati
itu pada mukanya.
Bagaikan
harimau yang sedang tidur dikejutkan, kanak-kanak itu Mike Tyson atau nama
sebenarnya Michael Gerard sudah tidak tahan dibuli anak jiran yang nakal itu,
lalu memukul pembulinya berkali-kali.
Sejak
itu, sikap Tyson yang pendiam dan pemalu, berubah menjadi berani dan liar untuk
sesuaikan diri kehidupan sosial di Brooklyn, kawasan yang baru dia sekeluarga
berpindah.
Peninju Berbakat
Kenakalan Mike Tyson ketika zaman kanak-kanaknya yang
juga dipengaruhi faktor keluarga kurang stabil menyebabkan dia keluar masuk
penjara juvana. Pelatih tinju terkenal, Cus D’Amato tertarik dengan bakat Mike
Tyson untuk dilatih menjadi peninju profesional. Pada 6 Mac 1985, beliau
bertanding secara profesional di Albany, New York dan menang pada setiap
pusingan pertama bagi 16 perlawanan.
Tanggal 22 November 1986, Tyson berusia 20 tahun meraih
gelaran juara kelas berat apabila dapat menjatuhkan pihak lawannya, Trevor
Berbick. Ini menjadikan beliau sebagai juara dunia ‘heavyweight’ termuda di
dunia.
Kerjaya Tyson terjejas apabila dibabitkan dengan kes
jenayah seksual terhadap peserta Miss Black America 1991, Desiree Washington
pada 10 Februari. Beliau dijatuhkan hukuman dipenjarakan selama tiga tahun.
Belajar Islam di penjara
Berita Tyson dimasukkan penjara di Indiana menjadi
tumpuan umum. Tatkala itu terdetik di hati sukarelawan, Muhammed Sadiq berkata,
‘mungkin ALLAH dah rancang untuk Tyson belajar dengannya tentang Islam’.
Muhammed pernah memberi nasihat yang berbekas di hati
Tyson: “Walaupun anda di dalam penjara, tetapi dunia di luar sana adalah
penjara yang sebenar. Ia adalah mudah mengamalkan Islam di dalam penjara
berbanding di dunia yang penuh dugaan dan godaan, mampu membelenggu kita yakni
perlu mencari perlindungan melalui Islam.”
Bagi Mike Tyson, masuk penjara tidaklah seburuk disangka.
Malah beliau dapat mengenali Islam, belajar al-Quran. berpuasa ketika Ramadan,
mempelajari agama itu lebih mendalam serta mengamalkannya di sana.
Selepas keluar penjara pada 1995, Tyson mengumumkan
keislamannya yang dipelajari selama di penjara dan nama barunya, Malik Abdul
Aziz. Selepas menjadi Muslim, Tyson dilihat lebih lebih tenang, bersederhana
dan menghormati.
Pada November 1996, beliau kembali beraksi di gelanggang
tetapi dikalahkan Evander Holyfield. Insiden Tyson menggigit telinga Holyfield
pada pertarungan Jun 1997 menyebabkan beliau didenda sebanyak RM9.9 juta.
Kehidupan Tyson diuji lagi apabila mengalami bankrap dan kariernya semakin
malap sehingga memaksanya untuk bersara pada 2005.
Pada 2 Julai 2010, menjadi detik bersejarah buat Mike
Tyson apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk mengerjakan
umrah yang diatur CDA, dengan ditemani presidennya, Shazad Mohammad. Pada masa
sama kehadiran beliau turut menjadi tarikan pengunjung di sana. Beliau berharap
peminat membiarkannya bersendirian untuk menjalani ibadah dengan penuh
penghayatan.
Doa setiap hari
Bertubuh gagah, berwajah serius dan tangkas di
gelanggang, tetapi bila Tyson dengan hanya berpakaian ihram di berada di Taman
Raudah, Masjid Nabawi Madinah, hatinya mula meruntun. Selepas 10 tahun memeluk
Islam, barulah beliau menjadi tetamu ALLAH.
“Saya tidak dapat menahan air mata apabila mendapat tahu
saya berada di dalam satu daripada taman syurga.
“Insya-ALLAH, ALLAH akan merahmati saya untuk berada di
jalan yang benar,” katanya yang berada di Taman Raudhah beberapa jam untuk
bersolat, mengaji al-Quran dan berzikir.
Beliau akui sangat takutkan ALLAH kerana banyak kesalahan
dalam hidup dan mengenangkan neraka kerana dosanya. Oleh itu beliau berdoa
memohon ampunan ALLAH setiap hari.
Menurut Shahzad, Tyson menangis lebih setengah jam ketika
berdiri di depan makam Rasullah SAW untuk mengucapkan salam sambil mengangkat
tangan.
Di Tanah Suci, Tyson turut terpesona dengan kawanan
merpati dan sempat memberi makan kepada haiwan kesukaannya itu. Ini mengimbas
kenangan ketika usianya 10 tahun, sanggup mencuri wang untuk membeli merpati
menjadi peliharaannya.
Mike Tyson mempunyai lapan anak melalui tiga perkahwinan.
Anak perempuannya, Exodus, 4, meninggal dunia pada 2009. Kini Tyson menjalani
kehidupan berkeluarga bersama isterinya, Lakiha Spicer, dan anak-anaknya di Las
Vegas.
“Saya kini gembira bersama keluarga. Tidak perlu keluar
ke mana-mana lagi. Setiap hari saya menunggu anak pulang dari sekolah,”
katanya.
Dipetik dari:ceritasemasa.com
No comments:
Post a Comment