BALASUNGKAWA
Kematian Nelson Mandela bukanlah sesuatu yang
tidak diduga. Dia jatuh sakit sudah lama dan pada usianya yang cukup tua dan
begitu uzur pula, keluarga yang menyayangi, rakyat yang menghormati dan dunia
yang mengkagumi ketokohannya memang sudah bersedia untuk melepaskan dia pergi.
Bila-bila masa.
Tetapi apabila saat itu akhirnya tiba, Afrika
Selatan sangat merasai kehilangannya. "Negara kita kehilangan puteranya
yang terbaik. Rakyat kehilangan seorang bapa," kata Presiden Jacob Zuma
yang tampak sebak menahan air mata semasa mengumumkan berita duka itu kepada
negara.
Kehilangan itu juga dirasai di serata benua
yang ikut berdukacita. Bendera turut dikibar separuh tiang di banyak negara
tanda menghormati pemergian seorang pemimpin yang diterima sebagai milik dunia.
Seorang demi seorang pemimpin dunia mengucapkan belasungkawa.
Dia "sebutir cahaya paling terang yang
kini terpadam". Dia "pahlawan sepanjang zaman". Dia
"berpengaruh dan berani". Dia telah "berkorban tanpa ada tolok
bandingnya". Dia "inspirasi orang tertindas" yang akan terus
hidup dan "memberi petunjuk kepada pejuang kebebasan serta memberi
keyakinan kepada pejuang keadilan".
Dia yang berpegang kepada cita-cita
kebebasan, keadilan dan kesamarataan.
"Kita tidak akan melihat ada lagi orang
sepertinya," kata seorang di kalangan mereka. "Kami akan merinduimu
tetapi kami tahu kau akan selalu ada membimbing kami menuju masa depan yang
lebih baik dan adil dengan semangat dan teladan yang kau tinggalkan," kata
seorang yang lain pula. Dia "tokoh politik terhebat zaman moden ini,"
kata seorang lagi.
Lalu apakah yang boleh kita kutip daripada
perjalanan hayat seorang tokoh seperti Mandela?
Dia yang dikurung di sebuah penjara terasing
di tengah laut yang apabila selepas 27 tahun, melangkah bebas tanpa menyimpan
sekelumit dendam. Dia yang memaafkan mereka yang pernah berbuat dosa kepadanya,
yang merampas 27 tahun hidupnya. Dia yang sangat memahami harga yang harus dia
bayar untuk kebebasan, keadilan dan kesamarataan.
Selama dipenjara, dia memendam rasa dan membungkam
derita kehilangan dua orang tercinta - anak lelaki sulung dan ibunya yang
meninggal dunia. Pada hari kematian mereka, dia tidak ada dan tidak mengiringi
perjalanan akhir mereka ke pusara. Ketika itulah dia bertanya kepada dirinya
sendiri apakah erti jadi pejuang kalau terpaksa derita.
Dia melangkah keluar penjara sebagai orang
yang sangat jauh berbeza 27 tahun sebelumnya - lebih dewasa, bijaksana dan
besar jiwanya.
Dia dengan mulia hati menziarahi balu kepada
pemimpin kulit putih yang mencampakkannya ke dalam penjara. Dia menjadikan
kemaafan sebagai senjata; melepaskan dendam ke atas musuh-musuhnya dengan
menghulurkan maaf kepada mereka. Dia sedar tanpa kemaafan itu, selama-lamanya
dia akan terpasung dalam penjara masa lalunya sendiri.
Untuk itu, dia menyatukan rakyatnya yang
berbenci-benci kerana warna kulit yang berbeza. Dia tidak pernah
membeza-bezakan manusia. Dia selalu cepat melangkah ke hadapan menunjukkan
contoh teladan bagaimanakah seharusnya mereka yang berbeza warna kulit itu
harus mencuba untuk hidup bersama.
Dia dipaksa menjinakkan kemarahan dan
meredakan ketakutan. Dialah yang tegak berdiri dan dengan lembut tetapi tegas
mengingatkan jangan ada yang berbunuh-bunuhan kerana dendam dan tidak ada
apa-apa yang perlu ditakuti atas nama pembalasan.
Dia tidak berpaut pada kuasa; turun dari
puncak takhta hanya selepas sepenggal cuma jadi ketua negara sebelum kuasa itu
merosakkan dirinya atau lebih malang lagi, meruntuhkan negara.
Tetapi dia juga lelaki yang kecewa dengan
cinta dan hanya menemukan cinta dalam perkahwinan yang ketiga pada penghujung
hayatnya setelah menempuh dua perkahwinan yang berakhir dengan perpisahan -
kedua-duanya kerana politik.
Dia disanjung kerana melakar sejarah baru —
sejarah bangsa dan negaranya, serta sejarah dunia sejagat dan kemanusiaan. Dia
mewariskan perubahan daripada cita-cita perjuangan yang menghumbannya terperuk
ke dalam penjara. Potret Mandela adalah sebuah lukisan kisah masa silam. Ia
sebuah sejarah yang kini hanya jadi kenang-kenangan.
Kenang-kenangan itu tidak akan menghapuskan
realiti yang membelenggu Afrika Selatan - kemunduran, kedaifan dan seribu satu
macam krisis yang menekan rakyat.
Memang dialah antara manusia hebat yang
pernah lahir di kalangan kita. Tetapi dia juga manusia biasa - dengan segala
kelemahan, kekurangan dan selebihnya, kegagalan.
Dia menyedari keterbatasan itu apabila dia
mengatakan: "Aku bukanlah seorang wali, melainkan kalau kamu fikir wali
itu adalah seorang pendosa yang selalu terus mencuba."
Kebimbangan itu selalu bermain dalam
kepalanya semasa dia merengkuk 27 tahun dalam penjara - betapa citra mengenai
dirinya mungkin tanpa sengaja memberikan gambaran yang salah kepada dunia dan
membentuk mitos bahawa kononnya dia seorang yang mulia.
Lihat juga artikal berkaitan;
Wajah-Wajah Nelson Mandela
Gurauan Mandela
Bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela bergurau
bersama anak muda sewaktu sambutan ulang tahunnya yang ke-89 di Yayasan
Kanak-kanak Mandela di Johannesburg. Foto AFP
|
Bersama wanita
pertama AS
Nelson Mandela (kanan) bergambar bersama wanita pertama
Amerika Syarikat Michelle Obama di rumahnya di Johannesburg pada 21 Jun 2011.
Foto AFP
|
Wajah Mandela
Ukiran wajah Mandela dipersembahkan pada 4 Ogos 2012 di
Howick, selatan Durban bersempena ulang tahun ke-50 ukiran Mandela oleh polis
Apertheid.
|
Bersama pemenang
Oscar
Pemenang Anugerah Oscar Charlize Theron (kanan) terharu
sewaktu menerima pelukan Mandela pada 11 Mac 2004 di Johannesburg. Foto AFP
|
Bersama Hillary
Clinton
Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham
Clinton bertemu Nelson Mandela, 94, di rumahnya di Qunu, Afrika Selatan pada 6
Ogos 2012. Foto AFP
|
Lihat artikal berkaitan;
No comments:
Post a Comment