Balasungkawa Nelson Mandela
Nelson Mandela atau nama sebenarnya Nelson Rolihlahla
Mandela (18 Julai 1918 - 5 Disember 2013) telah dilahirkan di Mvezo, sebuah
desa kecil di tepi Sungai Mbashe, di daerah Umtata, ibu kota Transkei (kini
sebahagian wilayah Eastern Cape), Afrika Selatan pada 18 Julai 1918. Beliau
meninggal dunia pada 5 Disember 2013.
Sejarah awal Mandela
Ayahnya, Gadla Henry Mphakanyiswa, merupakan Penasihat
Pengadilan Tinggi di Thembuland di bawah pemimpin tertinggi David Dalindyebo.
Selepas ayahnya meninggal dunia, Mandela dibimbing oleh pemimpin tertinggi dan
dididik untuk menjadi seorang pemimpin.
Mandela menamatkan pendidikan menengahnya di Healdtown
Methodist Boarding School dan mendapatkan ijazah sarjana muda di bidang
perniagaan di Universiti Fort Hare. Sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar
(SRC) dia bersama dengan mendiang Oliver Tambo pernah menentang aparteid dengan
mogok pelajar meski akhirnya dibuang dari universiti tersebut pada tahun 1940.
Dia kemudian melanjutkan pendidikan melalui program jarak jauh di University of
South Africa (UNISA) di Johannesburg. Setelah mendapat ijazah dalam bidang
perniagaan, dia mendaftar dalam program LLB (Sarjana Muda Undang-Undang) di
University Witwatersrand.
Pembentukan Liga Pemuda ANC.
Pada tahun 1944, Mandela membentuk Liga Pemuda Kongres
Kebangsaan Afrika (ANC Youth League), di mana program kegiatannya telah
ditetapkan oleh parti ANC pada tahun 1949. Mandela dilantik Ketua Sukarela
Kebangsaan untuk program yang dikenal sebagai Kempen Penentangan (Defiance
Campaign) pada 1952. Dia telah menjelajah satu negara dalam mengobarkan
semangat penentangan terhadap undang-undang aparteid. Pada tahun itu juga,
Mandela bersama Tambo menubuhkan firma guaman kulit hitam yang pertama di
Afrika Selatan, dengan tujuan membantu kaum kulit hitam yang ditindas oleh
undang-undang kejam kaum kulit putih.
Penahanan Nelson Mandela
Parti ANC diharamkan selepas pemberontakan di Sharpeville
pada tahun 1960, dan Mandela sebagai tokohnya ditangkap dan dipenjarakan pada
tahun 1961. Namun semangat perjuangannya tidak padam begitu saja. Mandela masih
meneruskan perjuangannya dan menjalankan aktiviti bawah tanah sambil memimpin
organisasi menuntut kehidupan kebangsaan yang baru, bebas daripada pengaruh
aparteid.
Umkhonto we Sizwe (MK), sayap militer parti ANC dibentuk
pada tahun yang sama dengan Mandela sebagai pemerintah tertingginya. Di bawah
pimpinannya, dia melancarkan sabotaj terhadap pemerintahan dan ekonomi negara.
Setahun kemudian, Mandela meninggalkan tanah airnya untuk mendalami latihan
ketenteraan di Algeria dan mengadakan latihan untuk ahli-ahli MK yang lain.
Setelah dia kembali, dia terus ditahan dengan alasan
meninggalkan negara secara haram dan mengobarkan semangat rakyat untuk
bermogok. Dia didakwa bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama lima tahun
pada bulan November 1962. Sewaktu di penjara, dia didakwa dalam perbicaraan
Rivonia , atas tuduhan melakukan sabotaj dan dipenjarakan seumur hidup.
Penjara yang diduduki Nelson Mandela di Robben Island
Sedekad sebelum dipenjarakan, Mandela telah membidas
pengenalan program Pendidikan Bantu, dan mencadangkan semua aktivis masyarakat
menjadikan "setiap rumah, setiap pondok atau setiap struktur yang usang
menjadi pusat ilmu".
Pulau Robben, di mana dia dipenjarakan, telah dijadikan
pusat perkembangan ilmu, dan Mandela merupakan orang utama mengadakan kelas
pendidikan politik. Sewaktu dipenjara, Mandela tidak pernah mengkompromikan
prinsip politiknya dan menjadi sumber kekuatan banduan-banduan yang lain.
Pada tahun 70-an, dia menolak tawaran pengurangan
hukumannya sekiranya dia mengiktiraf Transkei sebagai sebuah penempatan
(settlement) dan bersetuju untuk tinggal di sana. Manakala pada 1980-an, dia
enggan menerima tawaran Presiden Botha untuk membebaskannya dari penjara
sekiranya dia menolak keganasan.
Berakhirnya aparteid
Setelah menolak beberapa tawaran bersyarat rejim Afrika
Selatan, Mandela akhirnya dibebaskan pada 11 Februari 1990. Akibat tentangan
hebat parti ANC dan tekanan antarabangsa, Presiden F.W. de Klerk terpaksa akur
dan membebaskan semua tahanan politik termasuk Mandela dan juga mengakhirkan
pengharaman parti ANC.
Pada 10 Mei 1994, Nelson Mandela dipilih sebagai Presiden
kulit hitam pertama di Afrika Selatan.
Perkahwinan Mandela
Perkahwinan pertama Mandela dengan Evelyn Ntoko Mase
berakhir dengan perceraian pada 1957. Perkahwinan itu bertahan selama 13 tahun.
Pernikahan keduanya bersama Winnie Madikizela selama 38 tahun juga berakhir
dengan perceraian pada 1996. Pada ulang tahunnya yang ke-80, Mandela berkahwin
pula dengan Graça Machel, janda bekas Presiden Mozambique, Samora Machel, yang
juga seorang kawan di ANC.
Kematian Mandela
Setelah lama sakit, Mandela meninggal dunia akibat
jangkitan peparu pada 5 Disember 2013 di rumahnya di Houghton, Johannesburg. Kematian
beliau diumumkan Presiden Jacob Zuma. Beliau dijangka dikebumikan selepas 12
hari.
Baca lanjut di sini;
http://en.wikipedia.org/wiki/Nelson_Mandela
Lihat juga artikal berkaitan;
No comments:
Post a Comment