KUALA LUMPUR 2 APRIL: Tawaran penghapusan 20 peratus
cukai eksais motosikal sebagaimana ditawar Pakatan Rakyat jika mentadbir
Putrajaya sudah lama dinantikan rakyat.
Warga kota
rata-ratanya pengguna motosikal menyambut baik tawaran dan tidak sabar merebut
peluang keemasan itu.
Kata mereka, tawaran itu memberi peluang untuk memiliki
kenderaan sendiri serta membolehkan lebihan wang disimpan untuk kegunaan masa
hadapan.
Pelajar tahun satu kolej swasta di ibu negara, Azmin
Syarhan, 18, berkata, penghapusan cukai eksais akan membantu rakyat yang
berpendapatan rendah untuk memiliki kenderaan.
“Di Malaysia ramai yang pakai motosikal sebab ia
kenderaan mampu milik. Tapi masih ramai rakyat berpendapatan rendah
berkira-kira mahu membelinya. Dengan penurunan ini, saya yakin ia membantu
ringankan beban rakyat,” katanya.
Sementara itu, pelajar Ekonomi UiTM Puncak Alam, Hidayah
Mohd Yusuf, 23, berkata, penghapusan cukai eksais memberi peluang kepada wanita
muda untuk memiliki kenderaan sendiri bagi tujuan keselamatan.
“Bagi wanita muda macam kami, memang lebih selamat kalau
guna kenderaan sendiri berbanding kenderaan awam terutama waktu malam.
“Dalam usia begini, nak beli kenderaan memang tak
mampu…Kalau boleh dikurangkan harga kenderaan, tawaran itu sangat baik dan
menguntungkan,” katanya.
Pekerja syarikat telekomunikasi, Jeeva Raja Gopal, 20,
berkata, penurunan harga motor akan memberi peluang kepada rakyat membeli
kenderaan tanpa perlu membayar lebih banyak faedah kepada syarikat penjual
motosikal.
“Kawan saya bayar motosikal ansuran bulanan RM200. Itu
tak termasuk faedah pinjaman RM80. Jumlah ini bukan sedikit, tapi terpaksa
sebab ia satu keperluan,” kata Jeeva.
Pelajar Kejuruteraan Komputer Universiti Kuala Lumpur, Fakhruddin
Mohd, 25, bersetuju dengan penurunan itu yang memberikan kesan pencemaran lebih
minima berbanding kenderaan pacuan empat roda.
“Kalau dibandingkan dengan kereta, motosikal lebih senang
dimudah alih kerana saiznya lebih kecil dan kapasiti asap yang terhasil juga
lebih minima serta dapat mengelakkan pencemaran udara,” katanya.
Pekerja swasta dari Shah Alam, Nurul Huda Yahya, 30,
berkata, kenderaan awam seperti LRT dan monorail kebanyakannya tertumpu di
pusat bandar. Masih banyak kawasan yang tidak mempunyai akses kenderaan awam.
“Penurunan harga motosikal sangat berkesan kepada
pengguna yang tiada rangkaian kenderaan awam seperti saya,” katanya yang
bercadang mahu membeli motosikal dengan tawaran itu.
Katanya, masa perkhidmatan kenderaan awam yang terhad
menyebabkan rakyat memerlukan pemilikan kenderaan.
“Selepas tengah malam, perkhidmatan kenderaan awam
ditamatkan. Harga teksi pula naik sekali ganda untuk caj lebih masa.
“Memang susah untuk pengguna yang tiada pilihan, sebab
itu perlunya kenderaan sendiri walaupun hanya motosikal. Kemudahan ini juga
memudahkan urusan pelajar,” kata Chong. – NS
No comments:
Post a Comment