PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20
April sebagai hari penamaan calon manakala pengundian akan diadakan pada 5 Mei.
Dalam pada itu pengundian awal akan diadakan pada 30
April.
Ketiga- tiga tarikh itu ditetapkan pada mesyuarat khas yang
diadakan di sini sebentar tadi.
Berdasarkan keputusan hari ini, tempoh berkempen selama
15 hari diperuntukkan. Tempoh berkempen pada pilihan raya umum 2008 ialah
selama 13 hari.
Ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu, Pengerusi SPR, Tan
Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak
mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang digazetkan esok.
Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi
Parlimen dan 505 kerusi Dun.
SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk menentukan
tarikh pengundian dan pencalonan bagi PRU13 selepas Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April lalu dan Dun
antara 3 dan 5 April.
Sebelum dibubarkan, komposisi Dewan Rakyat menyaksikan BN
menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), Pas (23), PKR (23), Parti Sosialis
Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (Kita) masing-masing satu
kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.
Abdul Aziz berkata, SPR telah menerima pengisytiharan
oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 April 2013 berhubung pembubaran Dewan Rakyat.
Semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak telah
dibubarkan setakat 5 April dan menurut Fasal 4 Perkara 55 Perlembagaan
Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari
daripada tarikh pembubaran.
No comments:
Post a Comment