Kok Liang menunjukkan gambar seorang lagi ‘Datuk Seri’
yang dikehendaki
|
LAHAD DATU : Polis mencari seorang lagi lelaki tempatan
bergelar Datuk Seri bagi membantu siasatan berhubung kes yang berkaitan Operasi
Daulat.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang
berkata Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L Karl, 57, dicari kerana
dipercayai mempunyai hubungan dengan kesultanan Sulu.
"Lelaki yang alamat terakhir di RH55, Jalan Ranau
Lama, Kampung Bawang, Tamparuli, Sabah diminta segera menyerah diri di
mana-mana balai polis berhampiran," katanya pada sidang akhbar di Markas
Operasi di Felda Sahabat 16, dekat sini Rabu.
Tanpa menjelaskan butiran lanjut lelaki itu, Tan berkata
orang ramai yang mengenali lelaki terbabit diminta menghubungi Rakan Cop atau
balai polis berhampiran.
Sebelum ini seorang lelaki bergelar Datuk Seri telah
menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor selepas
dikaitkan dengan Operasi Daulat dan dia kemudian ditahan mengikut Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Sementara itu, beliau berkata seramai 1,299 orang telah
dibenar pulang ke rumah masing-masing sejak semalam selepas tiga pusat
pemindahan di Cenderawasih, Gemala Pura dan Fajar Harapan di sini ditutup.
Kini hanya tinggal 106 orang daripada 17 keluarga masih
mendiami pusat pemindahan di Embara Budi berikutan rumah mereka mengalami
kerosakan teruk, katanya.
Tan berkata tiada pertempuran sejak 28 Mac lepas namun
kawalan keselamatan masih dijalankan di semua lokasi di bawah Operasi Daulat.
Ditanya mengenai keselamatan orang ramai menjelang
pilihan raya umum ke-13 setelah Dewan Rakyat dibubar hari ini, beliau berkata
penduduk yang layak mengundi tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi kerana
pasukan keselamatan sentiasa mengawasi keadaan.
"Kawasan operasi adalah selamat, jadi jangan takut
untuk laksanakan hak untuk keluar mengundi," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment