SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan
mengadakan mesyuarat khas Rabu depan untuk menentukan tarikh penamaan calon dan
hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata,
mesyuarat yang akan diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya itu juga akan
menetapkan tarikh pengundian awal dan menentukan daftar pemilih pilihan raya
umum berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan
pembubaran Dewan Rakyat Rabu lalu, yang akan membuka laluan kepada PRU13.
Setakat tengah hari kesemua Dun telah dibubarkan.
"SPR menerima perisytiharan oleh Yang di-Pertuan
Agong Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah berhubung pembubaran Dewan Rakyat pada
3 April (Rabu lepas). Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri kecuali
Dun Sarawak pula, SPR telah menerima perisytiharan pembubaran DUN
masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pembubaran Dewan Rakyat dan Dun itu adalah
mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri tersebut yang
memberi laluan kepada SPR untuk mengadakan PRU13.
Kamaruddin berkata menurut Fasal (4) Perkara 55
Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh
60 hari dari tarikh pembubaran itu.
"Peruntukan yang sama turut terkandung dalam
Perlembagaan Negeri-negeri tersebut bagi maksud mengadakan pilihan raya umum
bagi Dun," katanya.
No comments:
Post a Comment