AGAK menarik untuk membayangkan apabila BN kalah di Pusat
dalam PRU13 nanti. Senario kekalahan itu jika dapat diceritakan kepada rakyat,
boleh memberi motivasi kepada mereka untuk menukar kerajaan kerana suasana yang
berbeza daripada kebiasaan, selagi tidak menggugat kehidupan mereka, juga
adalah impian sebahagian besar manusia
Hari ini, saban waktu kita menghadap televisyen hanya
versi sebelah pihak yang diperolehi. Jika mereka melaporkan program kerajaan
maka ia memang wajar kerana aktiviti kerajaan mesti diberi liputan.
Namun laporan berita yang dibuat tidak dapat membezakan
antara kerajaan dan parti politik yang memerintah.
Perhimpunan Agung Umno mendapat liputan siaran langsung
dan fokus selama berhari-hari. Persidangan Parlimen pun tidak mendapat liputan
sehebat itu.
Rakyat umumnya naik muak setiap kali berlangsungnya
Perhimpunan Agung Umno. Selepas ini tiada lagi liputan istimewa seperti itu
untuk Umno.
Maka selepas ini liputan untuk PAS, KeADILan atau DAP ada
dalam televisyen, radio dan akhbar tetapi tidaklah menjolok mata seperti
perhimpunan Umno sekarang.
Sebelum ini, menjelang PRU atau pilihan raya kecil
kerajaan BN turun atas nama kerajaan Pusat. Seluruh jentera kerajaan dikerahkan
berkempen untuk BN dengan menggunakan peruntukan kerajaan.
Selepas ini tiada lagi. Semua parti politik sertai
pilihan raya dengan menggunakan jentera serta kekuatan parti.
Hari ini, BN menjadi parti yang sangat berkuasa.
Keangkuhan mereka cuma tidak mengatasi Firaun yang mengaku menjadi Tuhan.
Mereka kononnya boleh memberi segalanya kepada rakyat.
Kerajaan dan BN atau Umno sudah jadi sinonim. Apa yang
menjadi hak kerajaan adalah hakmilik BN sehingga pejabat parti pun dalam balai
raya milik kerajaan.
Selepas PRU nanti, BN kehilangan semua itu kerana mereka
hilang kerajaan Pusat. Tiada tempat untuk bertenggek. Untuk bermesyuarat atau
merancang aktiviti mungkin boleh dibuat di bawah pokok tetapi untuk membiayai
program parti mereka tiada sumber kewangan.
Tauke dan korporat tidak mahu lagi membantu kerana mereka
tidak berhutang budi apa-apa lagi dengan pihak BN. Berapa hari agaknya mereka
mampu bertahan?
Selama ini ramai yang menyokong Umno atau BN kerana
kepentingan. Kerana projek, kedudukan, jawatan atau sekurang-kurangnya kerana
mahu bernaung di bawah BN yang menerajui kerajaan.
Golongan berkepentingan ini akan meninggalkan BN yang
kalah dan menyokong Pakatan yang menerajui Pusat.
Gerakan ini berlaku secara besar-besaran di seluruh
negara. Parti Umno di semua peringkat akan runtuh satu demi satu macam komunis
di era kejatuhannya. Satu demi satu negara komunis menuntut kemerdekaan.
Bagaimanapun diramalkan Umno tidaklah hancur terus.
Mereka akan diberi nafas baru oleh kumpulan ekstremis
seperti Perkasa, Jati, Pekida dan sebagainya. pada masa itu Umno mungkin
kehilangan wajah 1-Malaysianya. Perjuangan mereka menjadi semakin rasis, apatah
lagi antara yang berkongsi kuasa pada masa itu ialah DAP.
Katalah dalam PRU nanti Pakatan menang dengan majoriti
mudah. Ia tiada masalah asalkan boleh membentuk kerajaan dan seorang ahli
Parlimen Pakatan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Selesakah ahli Parlimen BN untuk menjadi pembangkang
setelah berpuluh-puluh tahun dalam posisi senang lenang sebagai orang kerajaan?
Seorang demi seorang akan melompat menyertai parti kerajaan
kerana tidak mampu bertahan sebagai pembangkang. Akhirnya kerajaan Pusat dapat
ditegakkan dengan majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat.
Jika Pakatan menang di Pusat, mungkin tidak semua negeri
akan turut dimenangi.
Jika ada negeri yang dikuasai BN, apakah mereka mampu
bertahan sebagaimana Pakatan mampu mempertahankan empat negeri sehingga
berakhirnya penggal?
Saya menjangkakan tidak, kerana mereka mereka tidak
pernah mendapat tarbiyah sebagai pembangkang yang memulakan episod politik
tanpa kerajaan. Mereka tidak pernah merasa susah, lalu memilih jalan lebih
senang. jalan mudahnya ialah bersama kerajaan yang memerintah Pusat.
Tanpa perlu 'dibeli' para Adun BN itu akan melompat
menyebelahi Pakatan sehingga tiada lagi kerajaan BN yang memerintah negeri.
Bagaimana halnya dengan negarawan ulung Tun Dr Mahathir
Mohamad yang berkempen siang malam untuk mempertahankan kerajaan BN.
Ada yang meramalkan bahawa beliau dan keluarga akan
meninggalkan negara sebelum keputusan diumumkan. Itupun andaian menarik yang
ingin dilihat rakyat. Banyak sudah kesengsaraan yang ditanggung oleh Dato' Seri
Anwar Ibrahim angkara Mahathir.
Takkanlah sepanjang 22 tahun memimpin kerajaan, tiada
satu dakwaan pun boleh dikenakan terhadapnya.
Apakah nasibnya nanti sama dengan Suharto atau Hosni
Mubarak? Atau Perdana Menteri pada masa itu berjiwa besar, memberi pengampunan
kepadanya.
Itu semua andaian yang sangat menyeronokan untuk diikuti
nanti.
Tidak mustahil untuk ia berlaku dan rakyat kena berusaha
jika mahu melihat ia berlaku. Selepas berusaha kita bermunajat memohon Allah
menyempurnakan cita-cita kita untuk melihat ia terjadi. Allah mempunyai kuasa
mutlak untuk menjatuh atau menaikkan sesebuah kekuasaan. -
http://www.kedahlanie.info
No comments:
Post a Comment