Ikuti wawancara wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin
bersama Datuk Mohd Ariff Sabri atau lebih dikenali SakmongkolAK47 yang pernah
berjuang bersama UMNO dan kini menyertai DAP.
Sebagai orang yang berpengalaman dan lama bersama UMNO
yang kini menyertai DAP, sudah tentu Datuk dapat lihat jurang perbezaan jelas
antara perjuangan, budaya UMNO dan DAP.
Perkara jelas ialah misi dan matlamat perjuangan.
Pertama, DAP bersama Pakatan Rakyat nak tubuhkan sebuah kerajaan yang
berpaksikan undang-undang, keadilan sosial. Kita kena pegang kepada rule of law
(kedaulatan undang-undang). Itu yang melindungi semua orang. Bukan saja Melayu,
seluruh rakyat Malaysia dilindungi undang-undang. Kita hidup bersama.
Dalam UMNO, undang-undang dinodai sehingga menyebabkan
undang-undang berpihak kepada mereka. UMNO-BN sudah memanipulasikan sistem
kehakiman kita, sistem perundangan kita, semuanya, dan akhirnya rakyat,
terutamanya orang Melayu rasa perlu bergantung kepada UMNO. Kita tidak begitu.
Kita mahu setiap rakyat dalam Malaysia ini faham bahawa masa depan bukan
ditentukan UMNO atau mana-mana pihak tetapi harus sedar bahawa masa depan kita
boleh dijamin dengan sebuah kerajaan yang telus dan melaksanakan hukum menurut
rule of law.
Lagi perbezaan besar yang saya lihat antara UMNO dan DAP
adalah daripada sudut kualiti kepimpinan parti. Jelas, kita dapat tengok, ramai
pimpinan UMNO masuk parti dengan membawa agenda tersendiri dan akhirnya kita
dapat lihat mereka bergelumang dengan politik untuk kuasa. Pemimpin DAP tidak,
mereka berjuang dan berpegang pada prinsip perjuangan dengan kuat dan telus. Ini
kita dapat lihat.
Kalau kita lihat
melalui konteks ‘bangsa’, apa kelebihan orang Melayu menyertai DAP?
Persepsi kena betul. DAP bukan parti berasaskan bangsa.
Tapi kalau nak bercakap daripada sudut itu, pertama, kalau orang Melayu
menyertai DAP dan harap layanan istimewa, dapat duit, projek, jangan masuk. DAP
tidak akan bagi duit bayar anda, sebab ini adalah perjuangan, kita berkongsi
idea perjuangan yang sama.
Kedua, kalau orang Melayu ramai di dalam DAP, ia secara
langsung akan membenamkan terus imej dan persepsi bahawa DAP ini parti kaum
Cina. Ketiga apabila menyertai DAP, kita akan melalui pengalaman. Apa
pengalamannya? Iaitu kita akan tahu beza bagaimana budaya dalam DAP dan dalam
UMNO. Itu memang dapat dibezakan. Apa yang saya boleh kata, pimpinan DAP ini
komited dengan perjuangan sekaligus kurang sangat kita dengar diselit dengan
agenda peribadi sepertimana yang parah melanda UMNO.
Dalam pengalaman yang saya lalui, kalau dalam UMNO,
pimpinan bertaraf wakil rakyat, ADUN, semuanya dalam keadaan tidak selamat.
Sebab itu ramai yang di belakang mereka ‘main tikam belakang’ dan berkelahi
sesama sendiri. Sebabnya apa? Sebab, perjuangan itu diselit dengan agenda
peribadi.
Kekuatan DAP menang
di kawasan Melayu
DAP ada kekuatannya sejak ia ditubuhkan pada 1966.
Daripada permulaan lagi DAP menunjukkan komitmen dan konsistensi dalam
perjuangan. Jadi orang lihat walaupun DAP ramai pimpinan bukan Melayu, tapi DAP
mempunyai kesungguhan untuk membela keseluruhan rakyat. Ini kuncinya. Bila
masyarakat umum melihat ini dan tertarik kepada organisasi yang menunjukkan
disiplin, jarang kita dengar masalah lompat melompat dalam DAP.
Kita dapat lihat barisan kepimpinan DAP yang sanggup
harungi kesusahan, banyak kali tidak menang, tapi tetap meneruskan perjuangan.
Kemudian, kelebihannya, kita lihat di sini adalah permuafakatan antara PAS, PKR
dan DAP sangat kuat. Sekarang DAP tidak lagi bersendirian tetapi dengan teman
oposisi yang lain dalam Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan kita boleh sepakat.
Bila rakyat tengok kita boleh sepakat, dia ada keyakinan dan orang Melayu pun
tidak perlu risau dengan kehadiran DAP. Orang Melayu dalam PAS dan PKR tidak
akan duduk diam kalaulah kepentingan orang Melayu tergugat. Lagipun DAP tidak
pernah sentuh isu kepentingan mahu pun hak istimewa Melayu. DAP tidak pernah
usik. Ini fakta. Semua yang buruk kita dengar daripada UMNO cuma permainan
politik saja.
Saya selalu tekankan, ramai orang Melayu dalam PAS dan
dalam PKR. Dalam DAP pun ada Melayu juga. Kita sendiri tahu bahawa faktanya
majoriti penduduk negara ini adalah orang Melayu. Siapapun pegang kerajaan, dia
terpaksa akur, kena terima realiti ini. Jadi tidak ada apa yang hendak
ditakutkan.
Semakin bergelombang
rakyat mahu perubahan, makin banyak provokasi dilakukan mereka..
Ya betul, tapi dia tak tahu segelintir penyokong
ekstrimis fanatik sekadar menyakitkan hati orang yang duduk di sekeliling,
masyarakat tengok, “macam ni ke UMNO respon kepada partii oposisi yang nak bagi
ceramah?”
Hujah, kamu tak boleh ke balas dengan hujah? Penyokong
biasa UMNO, terutamanya orang atas pagar pun fikir kenapa UMNO buat macam ni.
Jadi dia tak tahu dia merugikan diri dia sendiri. Dan kita juga mahu pasukan
keselamatan kita, polis menjalankan tanggungjawab dengan professional. Kalau
dia lihat ada orang buat provokasi, tangkap orang itu.
Kita kena matang, semua parti yang ada pun menawarkan
sesuatu pilihan kepada rakyat dan kamu hujahkanlah pilihan yang kamu hendak
tawarkan kepada rakyat supaya rakyat buat keputusan buat pilihan. Jangan ganggu
gugat.
Apa ramalan Datuk
untuk Pilihan Raya Umum ke-13 ini
Saya yakin akan berlaku perubahan besar dalam pilihan
raya umum akan datang berdasarkan pengamatan dan pengalaman politik saya. Kalau
BN tidak kalah, kedudukan mereka takkan lebih baik daripada sekarang. Kalau
mereka boleh menang mereka akan menang tipis. Bila mereka menang tipis.
Kemungkinannya banyak.
Dalam rekod UMNO, lompat-melompat ini perkara biasa.
Kalau dia tengok mesej yang dihantar rakyat dia boleh baca dengan ikhlas dan
dia tahu kemenangan tipis yang diperoleh BN secara tidak beretika, saya rasa
mungkin mereka yang masih ada kesedaran akan melakukan perubahan bersama dengan
suara rakyat terbanyak.
Politik baru dan
generasi muda
Generasi muda sedar. Mereka lihat kerajaan sepatutnya
melabur untuk masa depan mereka dan negara. Pelaburan masa depan antaranya
ialah membina dan mengukuhkan institusi yang menjaga demokrasi. Institusi yang
membolehkan generasi baru berkembang kepada tahap terbaik.
Juga buat pelaburan dalam menyatupadukan rakyat yang berbilang
bangsa dan saya lihat generasi baru pentingkan perkara ini.
DAP banyak menunjukkan perkara yang boleh disokong
generasi baru. Sebahagian besar dasar yang dibawa DAP menuju ke arah itu kerana
DAP mempunyai barisan kepimpinan yang faham terhadap tuntutan masa depan.
Pesan kepada orang
Melayu
Orang Melayu jangan taksub dan terikat kepada fahaman
bahawa kalau UMNO-BN tidak ada atau kalah, orang Melayu akan mati, orang Melayu
musnah, tidak! Sekarang ini kita perlu lihat ke hadapan, kita ada pilihan terbaik
yang menawarkan pentadbiran yang lebih baik daripada BN samada dalam manifesto
atau prinsip dan perjuangan yang diamalkan. Kita telah buktikan di negeri
pentadbiran PR.
DAP parti masa depan
Malaysia
Ya, saya yakin DAP adalah parti masa depan dan kita mesti
bergerak dengan permuafakatan yang erat dalam gabungan Pakatan Rakyat. Secara
tradisional, Melayu lebih selesa di bawah PAS, selagi DAP boleh bina
permuafakatan dan kefahaman dengan kumpulan yang mewakili pemikiran tradisional
orang Melayu, saya rasa DAP boleh bersama-sama dengan parti lain pada masa yang
sama pula lebih ramai orang Melayu akan menyokong atau menjadi
ahli.-Roketkini.com
No comments:
Post a Comment