KUALA LUMPUR: Seorang lagi tokoh masyarakat mengumumkan penyertaannya ke
dalam PAS hari ini sebagai penyataan sokongan kepada Pakatan Rakyat menuju
Putrajaya.
Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir. Ismail bin Samion, adalah bekas Naib Canselor
Universiti Pertahanan Nasional (UPNN) menyerahkan borang permohonannya kepada
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Turut serta di majlis yang diadakan di Pusat Media PAS itu adalah Naib
Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Mahfuz ketika mengalu-alukan kemasukan Ismail, berkata lonjakan ini akan
memberi ruang kepada mana-mana bekas tentera untuk tampil berani bersama-sama
menyokong Pakatan Rakyat.
"Bukan sahaja bekas tentera, malah anggota tentera yang masih
berkhidmat pun perlu bersama-sama berani membuat perubahan. Sehubungan itu,
saya menyeru yang lain, khususnya TUDM untuk menjejaki langkah Datuk Ismail
ini," kata beliau kepada wartawan.
Mustafa pula menyifatkan kemasukan Ismail itu merupakan satu gambaran
kesedaran yang menyeluruh di kalangan rakyat yang mahukan perubahan.
"Saya melihat kemasukan daripada kalangan bekas pegawai kerajaan,
sama ada tentera ataupun sivil, ia satu gambaran kesedaran yang menyeluruh
untuk membuat perubahan," kata beliau.
Beliau juga berharap dengan kemasukan Ismail ini akan memperkemaskan lagi
jentera kempen Pakatan Rakyat, khususnya di Kedah.
Dilahirkan di Kuala Nerang, Kedah pada 23 Nov 1951, Leftenan Jeneral (B)
Datuk Ir. Ismail Bin Samion (TUDM) merupakan lulusan dari Universiti Reading,
UK dalam bidang kejuruteraan mekanikal pada tahun 1980.
Beliau telah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 38 tahun
sebagai seorang jurutera dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Komandan
Akademi Tentera Malaysia (MAM) dan akhirnya sebagai Naib Canselor (VC) di
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kerjayanya dalam TUDM bermula sebagai seorang jurutera junior di skuadron
pengangkutan (helikopter) dan semakin memuncak apabila dilantik ke jawatan
Penolong kepada Ketua Tentera Udara (Kejuruteraan).
Beliau dilantik sebagai ketua jurutera TUDM (1997 hingga 2000) sebelum
dilantik sebagai komandan MAM pada tahun 2001.
Apabila Akademi dinaik taraf kepada Universiti Pertahanan, pada tahun
2006, beliau telah dilantik sebagai Naib Canselor pertama. Beliau merupakan
jurutera pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor sesebuah IPTA.
Selain daripada itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting
lain di dalam berbagai sektor industri dan kejuruteraan Malaysia.
Beliau juga sangat aktif dalam menyokong aktiviti-aktiviti Industri
Pembinaan dalam sebagai seorang penilai panel (2005 hingga 2010).
Beliau juga merupakan salah seorang daripada perintis bagi Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam menilai dan mencadangkan penerima
anugerah The CEO of the Year dan The Prominent Award.
Beliau pernah mewakili Institusi Jurutera (IEM) di dalam Lembaga Panel
Tatatertib, Peguambela & Peguamcara (2010 hingga 2012) dan juga sebagai
ahli PEMUDAH Selangor (2010 hingga 2012).
Mempunyai seorang isteri, Datin Khalijah Hashim dan dikurniakan 4 orang
cahayamata. Ayah beliau, Samion bin Mohamad, adalah salah seorang bekas anggota
tentera yang terkorban ketika Kedah diserang komunis pada tahun 1954. Ibu
beliau bernama Aminah bt Ishak.
Penyertaannya ke dalam PAS hari ini melambangkan kesediaan Pakatan Rakyat
untuk mentadbir dengan dengan baik dan mendapat sokongan dari teknokrat negara.-harakahdaily
No comments:
Post a Comment