Thursday, April 18, 2013

Pemendu Teksi Rogol Warga Amerika Dihadap Ke Mahkamah

ANGGOTA polis membawa keluar R. Muthu (depan),
S. Prakash Kumar (belakang) dan A. Joseph Aaron
keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Inilah harga yang patut dibayar ke atas jenayah yang dilakukannya. 
1)Mencalarkan hasrat Malaysia mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 di mata dunia. 
2)Mencemar kerjaya pemandu teksi lain yang benar2 mencari nafkah dengan jujur.

Ambil juga iktibar dengan apa yang berlaku di India... Hasil pelancongan merosot teruk!

Hukuman yang menanti...




Pemandu teksi didakwa culik, rogol wanita rakyat AS

PETALING JAYA 17 April - Seorang pemandu teksi dihadapkan ke mahkamah berasingan di sini dan di Sepang atas tuduhan menculik, merompak dan merogol seorang wanitawarganegara Amerika Syarikat (AS), bulan lalu.

S. Prakash Kumar, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini atas tuduhan bersama-sama dua rakannya menculik dan merompak wanita tersebut.

Di Mahkamah Sesyen Sepang, dia juga membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan merogol mangsa yang berusia 24 tahun.

Bagi tuduhan menculik dan merompak mangsa, dia didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama pengutip besi buruk, R. Muthu, 47, dan pencuci kereta, A. Joseph Aaron, 26.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di Jalan Othman di hadapan pusat beli-belah The Curve, Jalan Persiaran Surian, Damansara di sini kira-kira pukul 6 petang, 11 Mac lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka yang bersenjatakan sebilah pisau, didakwa merompak wang tunai RM300 dan seunit telefon bimbit Samsung Galaxy milik mangsa di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Muthu dan Joseph, masing-masing mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan merogol, Prakash Kumar didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa kira-kira pukul 1 pagi, 12 Mac lalu di sebuah bilik di Lakeside Villa Homestay di No. 38, Jalan Tasik Dedap 1, Taman Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, Sepang.

Dakwaan terhadap pemandu teksi itu dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan menculik dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pertuduhan merompak pula dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan merogol, Hakim Norhayati Mohd. Yunus memerintahkan Prakash Kumar diikat jamin RM25,000 dan melapor diri di balai polis setiap awal bulan sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 6 Mei depan.

Bagi pertuduhan menculik, Majistret Surya Wati Shawal membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Sementara bagi tuduhan merompak, Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan Prakash Kumar dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Hakim Rozina Ayob pula membenarkan Muthu dan Joseph masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan semula kedua-dua kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Kamalia Yahdi, Wan Mohd. Bukhari Wan Mohd., Dhiya Syazwani Izyan Mohd. Akhir dan Dalira Din.

Pada bulan lalu akhbar melaporkan seorang wanita warga AS yang bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris telah menaiki sebuah teksi untuk pulang ke hotelnya selepas selesai membeli belah di Mutiara Damansara di sini.

Bagaimanapun, wanita berkenaan telah dibawa ke homestay berkenaan dan dirogol serta dikurung selama dua hari manakala barangan berharga dan wang miliknya turut disamun.


No comments:

Post a Comment