Sunday, April 7, 2013

Aku janji BN untuk bela rakyat




KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto Barisan Nasional (BN) dalam majlis yang penuh bersemangat di hadapan kira-kira 50,000 orang di Stadium Putra Bukit Jalil di sini malam tadi dengan jaminan menunaikan janji-janji kerajaan untuk membela rakyat dan memajukan negara.

Najib yang juga Pengerusi BN menegaskan, beliau lebih cenderung menggunakan istilah aku janji memandangkan kerajaan sangat serius dalam merealisasikan apa yang terkandung dalam manifesto yang mengandungi 17 bidang itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Saya tidak mahu kata manifesto kerana pembangkang kata manifesto bukan janji, sebab itu nama manifesto tidak berapa sesuai.

"Saya nak kata bukan manifesto tetapi aku janji kepada rakyat Malaysia," kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Janji 1Malaysia, Rakyat Didahulukan sempena pelancaran manifesto BN itu yang bertemakan Menepati Janji Membawa Harapan.

Manifesto itu antara lain mengandungi janji-janji BN seperti mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat serta menambah baik langkah-langkah dalam bidang ekonomi, infrastruktur dan kemudahan asas, pendidikan, keselamatan, pengangkutan awam, wanita, belia dan perkhidmatan awam.

Najib yang tiba pada pukul 8.30 malam disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin dan kemudian suasana dalam Stadium Putra semakin bersemangat apabila lagu Inilah Barisan Kita dimainkan.


 Najib tiru manifesto Pakatan tapi tak akan laksanakan – Anwar

KELANTAN 7 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoal dari mana datangnya idea isi kandungan manifesto BN kalau bukan ditiru dari manifesto Pakatan Rakyat.

“Hari ini, BN bentang manisfesto, apa dia kata, harga kereta akan turun. Aikk? Dia (Umno BN) belajar dari siapa?

“Kemudian, semua permit akan diberi kepada pemandu teksi. Aikkk? Baru sekarang tahu? Kalau betul Najib percaya permit teksi patut diberi, pasal apa 50 tahun tak bagi?” katanya.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata demikian pada ceramah depan lebih 10,000 orang di Jeli, Kelantan malam tadi selepas menyampaikan tazkirah di Masjid Geluk, Pasir Mas.

Datuk Seri Najib Razak pada malam sama membentang manifesto BN yang menyerupai manisfesto Pakatan sekalipun pemimpin Umno lantang mengkritiknya sebelum ini.

Paling ketara, pengumuman harga kereta diturunkan antara 20 hingga 30 peratus sedangkan Pakatan sudah lama mempromosi kempen ‘Turun Harga Kereta’.

Mengikut formula Pakatan, harga kereta diturunkan 20 peratus setiap tahun secara berperingkat selama lima tahun melalui penghapusan cukai eksais.

Pakatan sudah lama berjanji memberi permit individu kepada pemandu teksi berikutan ia selama ini dibolot pemimpin Umno BN.

Pakatan membentang ‘Manifesto Rakyat’ di konvensyen pada 27 Februari lalu dengan memberi tumpuan kepada kebajikan seluruh lapisan masyarakat.

Pada ceramah sama, Anwar percaya Najib tidak akan melaksanakan manisfeto BN sebaliknya hanya bertujuan meraih sokongan dan undi pada PRU 13.

“Dia (Najib) tidak akan lakukan. Sebab itu, saya minta kawan-kawan, ambil keputusan bijak. Sekarang patut (su)dah buat keputusan (undi Pakatan),” katanya.

No comments:

Post a Comment