DUNGUN - Tindakan biadab seorang gadis membawa pulang teman lelaki ke rumah
sewa untuk berasmara bukan sahaja memalukan jiran tetangga, malah lebih
mendukacitakan, perbuatan terkutuk itu dilakukan ketika umat Islam lain
berlumba-lumba melakukan ibadat pada malam-malam terakhir Ramadan.
Gadis terbabit yang difahamkan bekerja di sebuah restoran makanan segera di
Dungun sebelum itu dikatakan bersama teman lelakinya bersiarsiar di pusat
beli-belah sebelum pulang ke rumah sewanya kira-kira jam 11 malam.
Perbuatan itu dilakukan ketika rakan serumahnya, yang kebanyakannya
penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sudah pulang ke kampung masing-
masing sempena cuti Aidilfitri.
Ketika serbuan sepasukan pegawai penguat kuasa syariah dengan kerjasama
anggota Unit Kereta Peronda Polis kira-kira jam 1.30 pagi, pintu gagal dibuka
menyebabkan tingkap bilik terpaksa diumpil untuk membolehkan pihak berkuasa
masuk ke dalam rumah bagi melakukan pemeriksaan.
Ketika pemeriksaan dibuat, pasangan itu ditemui dalam keadaan berpelukan
antara satu sama lain tanpa pakaian atas tilam di sebuah bilik tingkat bawah
banglo dua tingkat dipercayai disewa daripada seorang pegawai kerajaan.
Kedua-duanya yang pada mulanya tidak menyedari kehadiran penguat kuasa
kemudiannya terkejut lalu bangun dari tidur dalam keadaan terpinga-pinga.
Ketika disoal siasat, pasangan itu mengakui tidak mempunyai hubungan
muhrim.
Pasangan lelaki berusia 21 tahun pula dipercayai ahli sebuah pertubuhan
bukan kerajaan berdasarkan penemuan kad ahli dalam beg duitnya.
Teman wanitanya pula berasal dari Klang Selangor, seorang bekas penuntut
IPTA berdekatan dan dikatakan saling mengenali antara satu sama lain sejak
setahun lalu.
Kedua pasangan itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk
siasatan lanjut sebelum dilepaskan melalui ikat jamin ahli keluarga.
Mereka bakal dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan perbuatan sebagai
persediaan melakukan persetubuhan.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara
tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment