Aktivis dakwa tentera bedil roket, Rejim nafi guna
senjata kimia
Beirut:
Lebih 1,300 orang terbunuh apabila tentera Syria menggempur pinggir Damsyik
dengan senjata kimia semalam, kata pembangkang yang menyifatkannya sebagai
pembunuhan beramai-ramai dan menggesa campur tangan antarabangsa.
“Angka itu
pasti meningkat. Serbuan dan serangan berterusan,” kata Pemerhati Syria bagi
Hak Asasi Manusia (SOHR) yang beribu pejabat di Britain dan mengumpulkan
maklumat daripada aktivis dan pasukan perubatan.
“Angka itu
pasti meningkat. Serbuan dan serangan berterusan” Pemerhati Syria bagi Hak
Asasi Manusia
SOHR berkata,
serangan amat sengit dan disasarkan ke pinggir bandar Zamalka, Arbeen dan Ein
Tarma di timur Damsyik.
Ia memetik
aktivis sebagai berkata tentera rejim membedil roket dengan peledak berisi gas
beracun dalam serangan itu.
Sebuah
kumpulan pemerhati dari Britain sebelum itu berkata sekurang-kurangnya 100 maut
dalam serangan tentera ke atas kubu kuat pejuang pembebasan di pinggir ibu kota
Syria semalam, dalam apa yang didakwa sebagai serangan gas beracun.
Ratusan maut diserang
Satu kumpulan
lain, Jawatan-kuasa Penyelarasan Tempatan, berkata beratus-ratus maut atau cedera
dalam serangan itu. Perbezaan angka daripada kumpulan aktivis adalah perkara
biasa di Syria, terutama dengan kerajaan mengehadkan laporan luar dan domestik.
Dakwaan dibuat
ketika pasukan senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan 20 anggota,
diketuai pakar Sweden, Ake Sellstrom, berada di Damsyik sejak Ahad lalu untuk
menyiasat tiga kawasan yang didakwa serangan senjata kimia dilancarkan.
Kawasan yang
disiasat adalah kampung Khan al-Assal di barat Aleppo dan dua lagi lokasi yang
dirahsiakan atas alasan keselamatan.
Berikutan
laporan semalam, SOHR menggesa pasukan PBB di Syria dan semua pertubuhan
antarabangsa melawat kawasan yang teruk terjejas dan memastikan bekalan
perubatan dan bantuan tiba kepada penduduk secepat mungkin.
Ia juga
menggesa siasatan terhadap serangan itu.
Sementara itu,
pihak berkuasa Syria menafikan dakwaan tentera menggunakan senjata kimia.
“Laporan
penggunaan senjata kimia palsu. Ia cubaan menghalang pasukan PBB menjalankan
misi mereka,” lapor agensi berita SANA.
Akhbar
Al-Watan melaporkan kerajaan Syria berjanji untuk bekerjasama dan memudahkan
kerja pasukan penyiasat PBB yang melancarkan misi di negara itu kelmarin.
Britain
sementara itu berkata ia akan merujuk dakwaan penggunaan senjata kimia kepada
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dakwaan itu belum dapat disahkan. -
AFP/AP
No comments:
Post a Comment